Monday 18 November 2013

Pandangan Ulama Terhadap Pemikiran Sayyid Qutb : Pro dan Kontra

Hari ini, pengkaji cuba membicarakan kisah Sayyid Qutb yang dilahirkan di Mosya, Mesir. Ada pro dan kontra mengenai perjuangan atau pemikiran yang dicetuskan oleh Sayyid Qutb. Menurut Hasan al-Hudaibi sebagai Mursyidul Am (Ikhwan Muslimin) : Beliau tidak menolak pemikiran Sayyid Qutb dan beliau memahami maksud sebenar kenyataan Sayyid Qutb dan al-Mawdudi walaupun pada awalnya beliau telah mengkritik dan melakukan kesilapan apabila beliau bukan sekadar menolak pembawaan golongan al-Takfir, tetapi juga menolak istilah al-hakimiyah.

Kesilapan yang dilakukan oleh al-Hudaibi akibat keterlanjurannya mengkritik istilah al-Hakimiyah secara umumnya telah dipergunakan dan diperbesar-besarkan oleh pihak yang tidak sealiran dengan Ikhwan Muslimin dan Sayyid Qutb. Mereka mendakwa konsep al-Hakimiyah yang diutarakan oleh Sayyid Qutb adalah berlatarbelakangkan kepentingan politik peribadi Sayyid Qutb dan tidak ada kena mengena dengan Ikhwan Muslimin (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Menurut Ibnu Khatir pula : Beliau berpandangan bahawa Allah s.w.t sangat murka kepada sesiapa yang keluar daripada hukum-Nya yang jelas dan menyeluruh iaitu meliputi aspek kebaikan dan mencegah segala kejahatan, dengan mengikuti hukum yang lain daripada syariat Allah s.w.t. sebagaimana Orang Jahiliah menghukum dengan hukuman yang berdasarkan kesesatan dan kejahilan.

Hal ini juga dapat dilihat dalam kalangan Orang Tartar (Monggol) yang menguasai pemerintahan negara. Mereka menjalankan hukuman berdasarkan undang-undang yang diambil daripada undang-undang ciptaan Genghis Khan, pengasas Kerajaan mereka yang dinamakan Yasak. Undang-undang ini merupakan satu himpunan yang dicampuradukkan daripada syariat Islam serta lain-lainya. Sebahagian besar daripadanya merupakan adat tradisi kaumnya yang berdasarkan hawa nafsu semata-mata. Oleh itu, Undang-undang Yasak itu menjadi satu syariat yang mesti dipatuhi oleh masyarakat pada masa itu. Sesiapa yang memerintah negara dengan menggunakan undang-undang sedemikian adalah kafir dan wajib diperangi untuk memastikan syariat Allah s.w.t dijadikan pegangan hidup oleh seluruh lapisan masyarakat (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Berbeza pula pandangan Hassan Ali al-Nadwi : Al-Nadwi mengkritik penekanan al-Mawdudi dan Sayyid Qutb dari aspek al-Hakimiyah dalam al-Tauhid. Menurutnya, penekanan itu hanya meletakkan hubungan antara Allah s.w.t dan manusia dari sudut al-Hakim dan mahkum sahaja yang baginya merupakan juzuk yang kecil daripada sifat-sifat Allah s.w.t.

Menurut al-Nadwi lagi, hubungan al-khaliq dan makhluk, dan juga antara Abd dan ma'bud lebih menyeluruh, lebih luas dan lebih mendalam daripada hanya membatasi perhubungan dari sudut al-Hakim dan mahkum, al-Amir dan ma'mur. Malah beliau melahirkan kebimbangan terhadap penekanan yang lebih kepada al-hakimiyah kerana beliau menganggap ia merupakan asas kepada hak-hak al-Uluhiyyah dan boleh membawa kepada penyelewengan dari sudut akidah. Beliau menegaskan di sini bahawa Sayyid Qutb tidak memahami kandungan kalimah syahadah melainkan makna mengembalikan al-hakimiyah kepada Allah s.w.t dalam seluruh persoalan dan mengesakannya dari sudut ini (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Bagi pandangan Yusuf Al-Qaradhawi : Beliau melihat bahawa Sayyid Qutb juga berusaha untuk memperbetulkan kefahaman akidah masyarakat yang telah menyeleweng dan menyimpang daripada jalan yang lurus kerana bagi Sayyid Qutb kita tidak mungkin dapat memperbetulkan amalan seseorang apabila kefahaman akidahnya menyeleweng dan menyimpang, bak kata pepatah bagaimana mungkin sebuah bangunan akan lurus, apabila kayunya bengkok. Tambahnya lagi, kemungkaran yang paling besar bagi Sayyid Qutb adalah menolak perundangan dan sistem hidup Islam. Justeru, penolakan perundangan Islam ini mesti diperangi terlebih dahulu sebelum menghapuskan kemungkaran yang kecil tadi (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Bagi pandangan pengkaji pula, pengkaji tidak dapat menentukannya dengan penilaian dan mata kasar pengkaji sendiri. Seperti Hang Tuah dan Hang Jebat, ada pro dan ada kontranya. Sesungguhnya Allah s.w.t maha mengetahui lagi maha bijaksana. Berikut adalah kata-kata hikmat Sayyid Qutb :

Aku berasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon keampunan kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun perkataan-perkataan itu akan dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sekali-kali aku tidak akan mengucapkannya. Aku lebih rela kembali menemui Allah s.w.t dalam keadaan redha. Andainya pemenjaraanku ini adil dan dilakukan secara hak, aku bergembira dengannya dan ini adalah takdir Allah s.w.t tetapi andainya aku dipenjara secara batil aku tidak sekali-kali akan melutut memohon keampunan atau keringanan.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Mohammad Kamil Majid (2010). Sayyid Qutb : Cetusan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.





No comments:

Post a Comment