Sunday 3 August 2014

Kisah Yahudi Di Zaman Rasulullah Yang 'Keras Kepala'

Pada zaman Rasulullah s.a.w, terdapat seorang Yahudi yang alim dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan penduduk Yahudi di Madinah. Nama beliau adalah Abdullah bin Salam. Apabila Abdullah mendengar mengenai kehadiran Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah, beliau telah datang menemui baginda.

Sebaik dapat berjumpa dengan Rasulullah, lalu Abdullah mengajukan beberapa soalan kepada nabi Muhammad. Soalan-soalan itu tidak semua orang mengetahuinya kecuali mereka yang tertentu. Tujuan beliau untuk menguji Nabi Muhammad sama ada benarkah baginda seorang utusan Allah s.w.t. Semua pertanyaan Abdullah bin Salam itu lalu dijawab oleh baginda. Ternyata Abdullah bin Salam berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. itu. Abdullah juga berpeluang melihat sendiri 'khatamun nubuwwah' yang menjadi tanda bahawa Rasulullah adalah seorang nabi akhir zaman. Lalu beliau memeluk agama Islam. Abdullah meyakini bahawa Rasulullah benar-benar nabi akhir zaman yang disebutkan dalam kitab Taurat. Abdullah bin Salam berkata kepada Rasulullah :

"Sesungguhnya orang Yahudi adalah kaum yang suka mengada-adakan cerita. Kalaulah mereka tahu keislamanku sebelum kamu tanyakan mereka, tentu mereka akan menuduh yang bukan-bukan mengenai diriku kepada kamu, wahai Rasulullah,"

Mendengar itu, lalu Rasulullah menjemput pemimpin Yahudi bersama beberapa orang pengikutnya untuk menemui baginda. Abdullah bin Salam yang berada bersama Rasulullah segera ke belakang dan menyembunyikan dirinya. Rasulullah pun menyampaikan seruan dakwahnya kepada para pemimpin Yahudi itu. Diminta oleh Rasulullah agar mereka mengakui kekuasaan Allah dan serta diri baginda sebagai pesuruh Allah. Walau bagaimanapun, mereka enggan berbuat demikian.

Rasulullah lalu bersabda : "Baiklah jika kamu tidak dapat menerima seruan dakwahku, tetapi aku ingin bertanya siapakah di antara kamu yang bernama Abdullah bin Salam ?

Para pemimpin Yahudi itu lalu menjawab, "Dia adalah pemimpin kami yang paling kami hormat, kerana dialah yang paling alim dan paling kuat beramal dalam kalangan kami. Dia juga seorang yang baik,"

Nabi Muhammad pun teruskan bersabda : "Apa pandangan kamu jika aku katakan bahawa pemimpin kamu itu Abdullah bin Salam telah memeluk Islam ?"

Lalu mereka menjawab berulang kali sambil menyatakan perasaan marah, "Kami berlindung kepada Allah daripada demikian itu,"!. Kami berlindung kepada Allah demikian itu,"!

Apabila mendengar kata-kata mereka itu, Abdullah bin Salam pun keluar dari persembunyiannya lalu berkata di hadapan para pengikutnya itu, "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan juga aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah pesuruh Allah,"

Sebaik mendengar kata-kata Abdullah bin Salam, Orang Yahudi itu menjawab dengan nada suara yang nyaring, "Oh! Tidak, Abdullah adalah orang yang paling jahat dalam kalangan kami dan dia juga sebenarnya adalah anak orang yang paling jahat,"

Mereka pun terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Abdullah. Abdullah sebaliknya berkata : "Wahai sekalian kaum Yahudi, bertakwalah kamu terhadap Allah. Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya dan kamu benar-benar tahu bahawa Muhammad ini adalah Rasulullah yang datangnya untuk kebenaran kepada kita semua,"

Lalu mereka menjawab, "Kamu pembohong besar,! Kamu pembohong besar,!"

Jelas terbukti bahawa apa yang dikatakan oleh Abdullah bin Salam kepada Rasulullah adalah benar belaka. Tidak sampai beberapa minit, mereka terus berubah dan enggan menerima kebenaran. Itulah Yahudi yang sememangnya keras kepala dan tidak mahu menerima kebenaran. Peristiwa ini ada diriwayatkan oleh Bukhari.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


No comments:

Post a Comment