Monday 7 April 2014

Kisah Tauladan : Setiap Yang Berlaku Pasti Ada Hikmahnya


Pada zaman dahulu, ada seorang Raja yang hidupnya aman sentosa. Baginda suka pergi memburu ke hutan bersama dengan Bendahara. Suatu hari, baginda telah mengasah kerisnya di balairung istana. Tanpa diduga, keris yang diasahnya tadi telah jatuh diibu jari kakinya yang menyebabkan kakinya telah luka dan berlaku sedikit kecacatan. Selepas berlakunya peristiwa itu, maka baginda pun telah menemui Bendahara bagi meminta pandangan apa sebenarnya yang berlaku disebalik kejadian itu.

Raja : Apakah sebenarnya yang berlaku disebalik peristiwa ini ? Tanya Raja kepada Bendahara.
Bendahara : Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Keesokan harinya, baginda menemui Bendahara.

Raja : Apakah sebenarnya yang berlaku disebalik peristiwa ini ? Tanya Raja kepada Bendahara.
Bendahara : Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ulang Bendahara lagi.

Hari berikutnya, baginda telah menemui Bendahara sekali lagi.

Raja : Apakah sebenarnya yang berlaku disebalik peristiwa ini ? Tanya Raja kepada Bendahara.
Bendahara : Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ulangnya lagi.

Sejurus selepas itu, Raja itu pun telah menangkap Bendahara lalu memasukkannya ke dalam penjara. Tiba-tiba Bendahara itu pun berkata,

Bendahara : Tuanku, mengapakah tuanku memasukkan patik yang hina ini ke dalam penjara ?
Raja : Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Selang beberapa hari, maka Raja itu pun telah pergi ke hutan berseorangan. Ketika baginda dalam perjalanan, baginda telah ditangkap oleh sekumpulan (Hanibal). Hanibal tersebut telah mengikat Raja itu dan mereka cuba memanggang Raja itu seperti daging kambing. Akan tetapi, ketua Hanibal itu ternampak kaki Raja itu cacat, maka Hanibal itu pun telah melepaskan Raja itu kerana mereka tidak memakan daging manusia yang cacat. Mereka hanya memakan daging manusia yang sempurna. Apabila raja itu dilepaskan, baginda pun terus pulang menuju ke istananya. Dalam fikirannya," Barangkali inilah yang dikatakan oleh bendahara, setiap yang berlaku ada hikmahnya, Tetapi, apa pula hikmahnya beta penjarakan bendahara ?" Maka baginda segera menemui bendahara.

Setelah baginda menceritakan apa yang berlaku ke atas dirinya ketika beliau ditangkap oleh Hanibal, baginda pun bertanya kepada bendahara.

Raja : Apakah hikmahnya beta penjarakan tuan hamba ?
Bendahara : Jikalau patik bersama tuanku pada masa itu pergi memburu bersama-sama, nescaya patik yang akan mati kerana tubuh patik tidak cacat. Maka, Raja itu pun terpaku mendengar ulasan Bendaharanya. Selepas itu, Raja itu pun telah melepaskan bendahara dari penjara.

Moral dalam cerita ini , Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Tinta oleh Tongkat Besi.




No comments:

Post a Comment