Sunday 12 January 2014

Kaedah Asas Sejarawan Islam

Peringkat awal sejak kelahiran negara Islam lagi, pengumpul al-Quran telah cuba mengumpul semula semua ayat al-quran yang pernah ditulis dan dihafal oleh sahabat-sahabat Nabi. Pada peringkat seterusnya dalam perkembangan pensejarahan Islam ialah kritikan terhadap al-quran (Ayba'iyah Mohd Noor, 2006). Mereka cuba mengkritik sesuatu ayat yang mungkin bercanggah dengan al-quran yang diturunkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, sahabat-sahabat nabi cuba mencari segala sumber yang benar (sahih) untuk ditulis semula. Begitu jugalah dengan hadis-hadis yang dikumpulkan, mereka cuba sedaya upaya mencari perawi yang cukup kuat daya ingatannya sebelum menulis semula hadis-hadis yang hendak mereka kumpulkan itu.

Para sahabat amat berhati-hati dalam pengumpulan al-quran, hadis mahupun sumber-sumber yang lain agar apa apa yang ditulis tidak mengandungi dongengan dan prasangka sahaja (Arba'iyah Mohd Noor, 2006). Mereka amat berpegang pada ajaran al-quran yang melarang hambanya daripada bersikap prasangka atau ragu-ragu tentang sesuatu yang dibuat oleh mereka sendiri. Kepatuhan mereka itu berdasarkan beberapa larangan dalam beberapa ayat al-quran (Arba'iyah Mohd Noor, 2006). Antaranya ialah dalam surah al-Hujarat ayat 12 yang bermaksud :

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kamu daripada banyak berprasangka, sesungguhnya berprasangka itu adalah dosa dan janganlah mencari-cari kesalahan orang lain."

Dalam surah al-Imran, ayat 71 :

"Hai ahli kitab, mengapakah kamu mencampuradukkan yang haq dengan yang bathil, dan menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahui."

Ayat-ayat tersebut adalah sebagai teladan kepada mereka terhadap sikap kaum-kaum yang tidak mahu menerima Islam supaya mereka berhati-hati tentang segala fakta yang diterima dengan menyelidiki kebenaran sumber yang diterima. Al-quran juga banyak menasihati masyarakat Islam agar membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang bathil serta melarang orang Islam daripada mengikuti jejak ahli-ahli kitab yang suka mencampuradukkan antara yang benar dengan yang salah. 

Inilah antara kaedah asas yang telah digunakan oleh mereka ketika mengumpulkan al-quran dan hadis nabi. Pertama, mereka cuba menilai sama ada sumber yang diterima itu ada kebenarannya ataupun tidak. Ini dilihat melalui latar belakang sebenar perawi hadis terutamanya dari segi pandangannya dan hubungannya sekiranya beliau hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w (Arba'iyah Mohd Noor, 2006). Kedua, mereka tidak mencampuradukkan antara sumber palsu dengan sumber yang benar. Mereka hanya menulis segala fakta yang didapati daripada sumber-sumber yang benar. Kaedah yang sama juga turut digunakan oleh sejarawan dalam menulis sejarah Islam walaupun tidaklah sepenuhnya diikuti dan dilaksanakan oleh mereka seperti yang dibuat oleh pengumpul al-quran dan para muhadisun (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).


Rujukan :

Arba'iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.





No comments:

Post a Comment