Wednesday 15 January 2014

Sejarawan-Sejarawan Islam : Urwah bin al-Zubayr

Urwah dilahirkan pada tahun 22 Hijrah atau 23 Hijrah atau 26 Hijrah atau 29 Hijrah merupakan anak sahabat Nabi Muhammad s.a.w iaitu Zubayr al-Awwam dan Asma' binti Abu Bakar iaitu, ipar kepada baginda Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan seorang yang rajin beribadat, berpuasa dan menuntut ilmu pengetahuan dengan berulang-alik dari Mesir ke Damsyik bagi mencapai hasratnya mendalami ilmu (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Sesetengah sejarawan menganggap beliau sebagai pengasas pensejarahan Islam zaman tradisi terutamanya tentang biografi dan sejarah Nabi Muhammad s.a.w yang dipanggil sebagai al-Maghazi. Beliau yang banyak menghabiskan masa dengan belajar dan mengajar telah mencatat hadis Nabi Muhammad s.a.w dan juga sumber-sumber lain daripada orang kenamaan yang berada di Madinah seperti Saidatina Aishah binti Abu Bakar, Usamah bin Zayd dan Abdullah bin Abbas. Beliau juga telah dianggap sebagai pakar dalam bidang sejarah al-Maghazi oleh masyarakat umum sehingga kepakarannya telah diiktiraf oleh Kerajaan Bani Umayyah (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Selain al-quran dan hadis, Urwah juga turut menggunakan sumber-sumber lain seperti cerita lisan dan syair-syair yang berkaitan dengan peristiwa sejarah. Contohnya, syair Waraqah bin Naufal, Syair Saidina Abu Bakar dan Bilal bin Rabah. Jika beliau kurang yakin terhadap sesuatu sumber itu sama ada benar atau tidak, beliau akan menggunakan perkataan (diceritakan daripada) atau (mereka mendakwa). Dengan menggunakan perkataan-perkataan tersebut, jelas bahawa Urwah merupakan seorang sejarawan yang begitu teliti dari segi membezakan antara sumber yang sahih dan sebaliknya (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Di samping itu, sumber bertulis seperti surat-surat Rasulullah s.a.w yang dikirim kepada pihak-pihak tertentu turut digunakan. Walau pun Urwah turut menggunakan sumber-sumber berbentuk lisan, namun beliau amat memandang berat terhadap kesahihan dokumen atau sumber-sumber sejarah terutamanya sumber bertulis seperti surat-surat peribadi Rasulullah s.a.w. Ini kerana sumber bertulis lebih jelas akan kebenarannya berbanding dengan sumber lisan yang mudah dan boleh diselewengkan oleh manusia (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Jelasnya Urwah yang terkenal sebagai seorang tabiin yang masyhur, pengasas pengajian sejarah dan berjaya mengumpul hadis-hadis sejarah bukan sahaja telah menulis al-Maghazi yang menceritakan tentang peristiwa-peristiwa sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w sahaja, tetapi turut memaparkan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Khulafa' al-Rashidin dan juga kebudayaan masyarakat pada masa itu (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).


Rujukan :

Arba'iyah Mohd Noor (2006). Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment