Thursday 16 January 2014

Al-Zuhri

Al-Zuhri merupakan generasi pengasas ilmu sejarah di Kota Madinah selepas Urwah al-Zubayr. Beliau dilahirkan pada tahun 50 Hijrah atau 51 Hijrah atau 56 Hijrah atau 58 Hijrah merupakan anak didik kepada ulama hadis kenamaan seperti Urwah, Aban bin Uthman, Said al-Musayyab dan Ubaydillah bin Abdullah (Arba'iyah Mohd Noor, 2006). Beliau bukan sahaja merupakan seorang sejarawan yang terkenal dengan karyanya yang penting iaitu al-Maghazi tetapi juga seorang muhaddith dan faqih pada zamannya. Beliau telah merujuk catatan Urwah al-Zubayr dan sumber-sumber lain daripada Ibn Ka'ab bin Malik, Anas bin Malik, Ibn Abbas, Abdullah bin Amru, Said al-Musayyab dan Ubaydillah sebagai asas utama dalam penulisan al-Maghazi (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Seperti juga Urwah, al-Zuhri adalah juga seorang yang mempunyai kelebihan yang tiada tolok bandingan. Beliau yang dikatakan seorang sejarawan tradisi yang warak, berakhlak mulia, dan luas pengetahuan telah berusaha mengumpulkan semua ilmu pengetahuan yang tidak pernah dilakukan oleh orang sebelumnya. Jika dilihat latar belakangynya, al-Zuhri merupakan seorang sejarawan besar, muhaddith dan faqih telah menanamkan minat yang tinggi dalam bidang-bidang tersebut. Beliau telah mempelajari dengan tekun segala ilmu yang didengar dan mencatatkannya pada papan, batu atau kertas-kertas agar dapat membantu daya ingatannya. Pengajian sejarahnya pula bukan sahaja berkisar tentang teori sejarah dan tentang sejarah awal Islam sahaja malah beliau telah memperkembangkannya dengan mencatat hadis-hadis sejarah untuk manafaat generasi akan datang (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Selain itu, beliau juga telah menggunakan kaedah penyelidikan seperti yang dilakukan oleh Urwah dan para muhadisun iaitu membuat penyelidikan dengan begitu teliti untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Di samping itu juga, beliau turut menggunakan al-quran dan hadis sebagai sumber penyelidikannya selain menemubual beberapa saksi yang difikirkan layak tentang sesuatu peristiwa sejarah. Bagi peristiwa hijrah, perang badar, perang uhud, peristiwa penaklukan Kota Mekah dan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w beliau telah menggunakan pendekatan kronologi (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Walaupun al-Zuhri menggunakan sumber-sumber yang sahih, namun beliau turut juga memasukkan cerita rakyat yang berupa pengalaman manusia dan syair-syair. Ini bertujuan untuk menyedapkan lagi jalan cerita, sebagai hiasan atau cara menghiburkan pembaca sahaja (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).


Rujukan :

Arba'iyah Mohd Noor, 2006. Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment