Saturday 4 January 2014

Cabaran Umat Islam : Cabaran Akidah, Undang-Undang Islam dan Politik

Pejam celik, pejam celik akhirnya kita melangkah ke Tahun baru 2014. Apabila berada di tahun baru, sudah pastinya tahun lalu 2013 menjadi kenangan dalam hidup samaada ia meninggalkan satu kenangan pahit ataupun sebaliknya. Setiap manusia akan menghadapi cabaran hidup. Itulah lumrah kehidupan. Begitu juga seluruh umat Islam yang berada di muka bumi ini akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Antara cabaran-cabaran tersebut adalah :

(i) Cabaran Sekularisme 
Sekularisme merupakan ancaman besar terhadap umat Islam. Menurut Sayyid Qutb, ia merupakan fahaman yang cuba memisahkan urusan keduniaan dengan urusan akhirat. Ia meninggalkan peranan agama dan Tuhan daripada segala urusan kehidupan manusia. Dalam takrif ini, ia juga memberi  maksud memisahkan ilmu pengetahuan daripada pengaruh dan tuntutan agama secara mutlak. Tegas beliau lagi, Islam menentang fahaman ini kerana, pertama konsep yang diketengahkan itu jauh terasing daripada Islam yang sebenar sama ada yang berkaitan tentang aktiviti kehidupan mahupun cara beribadat. Masyarakat Islam mempunyai had-had tertentu yang berada dalam lingkungan bidang kuasa syariah yang amat jauh berbeza dengan fahaman sekularisme. Kedua, Islam menolak sama sekali fahaman sekularisme ini kerana ia berkonsepkan dualisme. Sebaliknya, Islam tertegak atas dasar tauhid. Sayyid Qutb menegaskan lagi bahawa dalam Islam adanya hubungan antara kehidupan dunia dan akhirat. Malah, kehidupan dunia penting bagi menentukan kehidupan di akhirat.

(ii) Cabaran Liberalisme
Menurut Sayyid Qutb, liberalisme merupakan aliran pemikiran yang bertujuan untuk menggugat kebebasan yang diberi kepada individu. Fahaman ini lebih memberikan kebebasan kepada individu dalam bidang ekonomi, politik, perundangan dan sosial. Menurut pandangan Zamihan Mat Zin (2013) pula, golongan Islam Liberal menganggap bahawa kenabian Rasulullah s.a.w hanyalah menggambarkan kemampuan seseorang manusia yang memimpin kelompok tertentu. Bagi mereka, sesiapa sahaja mampu mengambil alih sifat kenabian apabila memimpin manusia ke arah kebaikan malah golongan ini tidak menghormati ulama. Bagi mereka ulama hanyalah manusia biasa yang terikat kepada pentafsiran jumud ulama sebelumnya. Selain itu, ulama dianggap menyembah teks. Fahaman seperti ini juga adalah ditolak oleh ajaran Islam.

(iii) Cabaran Pluralisme
Fahaman pluralisme ini pula ialah semua agama adalah sama. Tiada beza di antara satu sama lain. Yang parahnya adalah Islam disamakan dengan agama-agama lain. Sebagai contoh, hak suami menjatuhkan talak boleh dilupuskan, kes penceraian hanya boleh diputuskan hakim mahkamah biasa, poligami dilarang, wanita diberikan hak sama rata dalam persaksian jenayah, kes hudud boleh diubah mengikut zaman, arak tidak haram jika tidak memabukkan, waktu ibadat seperti solat boleh diubah mengikut keperluan individu dan menutup aurat hanyalah peradaban di zaman awal Islam sahaja. Menurut Zamihan Mat Zin (2013), jelaslah bahawa aliran ini memberi ancaman besar terhadap ketulenan Islam. Ia produk barat yang bertentangan dengan akidah Islam bahkan boleh menjadikan seseorang itu sesat dan terkeluar daripada landasan agama.

(iv) Cabaran Kapitalisme
Dalam membicarakan soal Kapitalisme, Sayyid Qutb menjelaskan bahawa Islam menolak sistem Kapitalisme barat dengan alasan bahawa Kapitalisme itu teori ciptaan manusia. Ia banyak bertentangan dengan syariat ciptaan Allah s.w.t. Hanya peraturan Islam yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk menerapkan peraturan yang terbaik dan sesuai dalam masyarakat pada setiap zaman. Tegas beliau lagi, sistem Kapitalisme amat jauh terpesong dengan ajaran Islam kerana sistem ini membolehkan golongan kaya memakan riba dan menganggap riba suatu yang penting dalam kehidupan mereka. Islam melarang sama sekali amalan tersebut dalam segala bentuk.

(v) Cabaran Komunisme
Menurut  Mohd Kamil Majid (2010), Sayyid Qutb berpendapat bahawa aliran komunis sebagai masyarakat jahiliah. Keadaan ini disebut olehnya setelah melihat kepada beberapa sebab. Pertama, masyarakat komunis mengingkari Allah s.w.t dan kewujudannya sama sekali, mengembalikan corak kehidupan ekonomi dan penghasilannya. Kedua, masyarakat komunis membuat peraturan pengabdian yang hanya ditujukan kepada kumpulan tertentu, bukannya Allah s.w.t. Undang-undang Islam menolak fahaman komunisme kerana secara keseluruhannya, komunisme merupakan tindakan manusia untuk merebut hak Allah s.w.t. Manusia sebagai makhluk tentu tidak sanggup membuat undang-undang yang akan diterapkan kepada dirinya sendiri. Oleh itu, komunisme merupakan ancaman besar umat Islam yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran.

Kesimpulannya, kesemua fahaman di atas merupakan satu ancaman kepada umat Islam dan boleh merosakkan akidah. Oleh itu, kita (semua umat Islam) dan pihak berwajib seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, Pertubuhan Islam serta golongan cendikiawan Islam perlu bergabung tenaga dalam usaha menangkis dan membongkar penyelewengan golongan ini.


Rujukan :

Mohd Kamil Abd. Majid, Norafifah Abd. Hamid & Norhidayah Mohammad. 2013. Sayyid Qutb, Cetusan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zamihan Mat Zin. 2013. Ancaman Liberalisme dan Pluralisme. Harian Metro 30/12/2013, halaman 12.




No comments:

Post a Comment