Sunday 29 December 2013

Isu Ikan Tamban Di Lahad Datu : Sengaja Cetus Panik

Harian Metro, 30 Disember 2013 - Oleh, Rukut-Rukut (Mohd Razlan Mat Salleh) : Kehadiran ribuan ikan spesies tamban yang naik ke darat baru-baru ini bukan saja menggemparkan penduduk setempat, malah di seluruh negara. Fenomena luar biasa itu menyebabkan ada penduduk memberi andaian kononnya negeri ini bakal dilanda Tsunami besar. Tambahan pula ia berlaku awal sehari daripada kejadian Tsunami di Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan ribuan nyawa. Apa yang penulis mahu perkatakan adalah sikap 'nakal' beberapa pemilik laman sosial yang menyebarkan pelbagai cerita tidak benar semata-mata mahu mencetuskan panik. Pasti ramai menerima maklumat ombak besar yang menghampiri pantai barat Sabah, kehadiran ikan paus pula yang naik ke pantai. Tidak cukup dengan itu, disertakan juga foto kononnya diambil dari pelantar minyak Brunei, melalui helikopter dan paling melucukan apabila mengaku merakam sendiri kejadian itu sedangkan penyebar itu sendiri tidak pernah ke laut.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sudah mengesahkan tiada sebarang gempa bumi yang boleh mencetuskan Tsunami. Di sini, kita dapat melihat dan menilai sendiri mentaliti pemilik akaun facebook atau laman sosial yang sengaja mahu mencetuskan perasaan panik. Sikap sebegini perlu dikikis kerana bukan saja menyusahkan orang ramai tetapi pada masa sama turut menyebabkan ramai sesawang hilang kepercayaan terhadap anda. Selamat Tahun Baru 2014. RUKUT-RUKUT.


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Sengaja Cetus Panik. Halaman 6.




No comments:

Post a Comment