Sunday 29 December 2013

Jangan Pandang Rendah Orang Lain

Harian Metro, 30 Disember 2013 - Oleh Wan Jemizan Wan Deraman & Mohd Ridwan Roslan (Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd) : Hakikatnya semua manusia adalah sama, tanpa mengira sama ada seseorang itu memiliki harta, pangkat dan rupa paras ataupun tidak. Semua mempunyai hak dan amanah yang perlu ditunaikan dan disempurnakan. 

Walaupun seseorang itu membesar di rumah buruk yang kecil dan seorang lagi membesar di istana, sebenarnya ia tidak memberi sebarang perbezaan di sisi Allah s.w.t. Penilaian Allah s.w.t hanya terletak pada takwanya. Firman-Nya dalam surah al-Hujarat, ayat 13 yang bermaksud :

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya."

Jadi, mereka yang beriman kepada Allah hendaklah memandang mulia pada setiap orang. Ini kerana kita tidak tahu kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Islam mencegah kita daripada merendahkan darjat orang lain, meremehkan dan mengungkit keburukan atau kekurangannya, apatah lagi sekiranya ia menjadi bahan ketawa seperti meniru-niru percakapan dan perbuatan dengan maksud menghina. 

Justeru, janganlah kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengeji dan memperlekehkannya atau tidak memberi layanan baik kepadanya. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w ditegur Allah s.w.t kerana tidak mempedulikan sahabat yang buta, Abdullah bin Makhrum RA yang bertanyakan soalan kepada baginda s.a.w. Teguran itu dirakamkan dalam Surah Abasa, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud :

"Dia memasamkan muka dan berpaling, kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tujuannya, wahai Muhammad ? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu) ataupun dia mahu mendapat peringatan supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang berasa keadaannya lebih cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya."

Pengajaran daripada ayat ini ialah kita perlu memberi layanan yang adil kepada semua manusia. Allah s.w.t mengharamkan kita berbuat zalim sesama manusia walaupun terhadap orang yang kita benci.

Namun senario dwistandard masih berlaku termasuklah dalam organisasi. Sering kali kita dapati apabila suatu permohonan dibuat seseorang berkedudukan, prosesnya pantas dan diberi layanan terbaik. Sebaliknya apabila permohonan itu daripada orang tidak berpangkat, prosesnya lama. Tidakkah kita merasakan ini juga adalah suatu kezaliman ?

Begitu juga sekiranya sebuah organisasi itu didominasi sesuatu bangsa atau kaum, kakitangan daripada bangsa lain akan disisihkan, malah tidak diberi layanan dan hak secara adil. Oleh itu, marilah kita menjauhi sikap suka memandang rendah pada orang lain. Anggaplah pangkat, kedudukan harta dan rupa paras itu sebagai pemberian daripada Allah s.w.t yang mungkin akan ditarik balik pada bila-bila masa sahaja.


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Jangan Pandang Rendah Orang Lain. Halaman 12.





No comments:

Post a Comment