Tuesday 12 November 2013

Golongan dan Orang-Orang Yang Dijanjikan Nikmat Dalam Kubur

Menurut Ahmad Adnan Fadzil (2012), golongan yang tidak disoal oleh Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur adalah :
  1. Golongan para Nabi dan Rasul
  2. Para as-Siddiqin 
  3. Orang Gila
  4. Kanak-kanak kecil yang meninggal sebelum baligh
Selain daripada di atas, orang-orang yang mendapat nikmat di alam kubur ialah :

(a) Orang Yang Mati Pada Malam Jumaat - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah s.w.t akan menyelamatkannya daripada fitnah atau ujian kubur.

(b) Orang Yang Mati Syahid - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Bagi orang yang mati syahid ada enam kelebihan di sisi Allah s.w.t iaitu akan diampunkan dosanya bermula daripada pancutan pertama darahnya, diperlihatkan tempat duduknya di dalam syurga, dilindungi daripada azab kubur, diselamatkan daripada kegemparan yang besar, dipakaikan di kepalanya mahkota kemuliaan, dikahwinkan dengan 72 bidadari dan diberi keizinan untuk memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya.

(c) Orang Yang Mati Kerana Sakit Perut - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Sesiapa mati kerana penyakit di dalam perutnya, ia tidak akan di azab di dalam kuburnya.

(d) Orang Yang Mati Kerana Musibah - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Orang-orang yang mati syahid itu ada enam selain berperang ke jalan Allah iaitu seorang yang mati kerana taun, seorang yang mati kerana lemas, seorang yang mati kerana sakit perut, seorang yang mati kerana terbakar, seorang yang mati tertimpa runtuhan dan wanita yang mati kerana melahirkan anak.

(e) Orang Yang Mati Kerana Membela Hak - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya dia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya dia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya dia adalah syahid.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment