Monday 11 November 2013

Nabi Ibrahim a.s Berdebat Dengan Hakim dan Raja Namrud

Nabi Ibrahim a.s merupakan anak kepada Azar Bin Sam Bin Nuh. Nama sebenar ayahnya ialah Tarikh Bin Sam. Ayahnya terkenal dengan gelaran Azar kerana pekerjaannya mengukir patung berhala yang dijadikan penyembahan mereka (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Menurut Muhammad Abdul Wahab (2011) lagi, Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada tahun 2295 sebelum masihi, dinegeri Mausul, Palestin pada zaman Raja Namrud. Beliau seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada satu kaum di negara Iraq pada ketika itu dikuasai oleh Raja Namrud. Tambahnya lagi, Raja Namrud mengamalkan pemerintahan tanpa sebarang kecundang sebagaimana situasinya ketika itu. Raja Namrud seorang raja yang zalim dan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kaum Raja Namrud mempercayai dan mengamalkan penyembahan berhala. Nabi Ibrahim a.s menyeru mereka untuk menyembah Tuhan yang sebenarnya.

Setelah Nabi Ibrahim memulakan dakwahnya dalam menegakkan syiar Islam, beliau kemudiannya merencanakan sesuatu sebagai membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar. Beliau menyatakan bahawa berhala dan patung-patung mereka benar-benar tidak berguna bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri (Muhammad Abdul Wahab, 2011). Ketika kaum Raja Namrud mengadakan pesta dan tempat penyembahan mereka ditinggalkan seketika, pada masa itu Nabi Ibrahim mengambil kesempatan untuk menghancurkan patung-patung berhala mereka. Beliau kemudian menendang dan menampar patung berhala tersebut lalau dihancurkannya. Beliau memotong patung tersebut dengan kapak yang berada digenggamannya (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Selepas peristiwa tersebut, terdapat individu yang mengetahui bahawa Nabi Ibrahim memasuki perkarangan itu. Keterangan tersebut disampaikan kepada Raja Namrud. Akhirnya, Nabi Ibrahim a.s dihadapkan ke muka pengadilan.

Hakim Mahkamah : Apakah engkau yang menghancurkan dan merosakkan Tuhan-Tuhan penyembahan kami ?
Nabi Ibrahim : Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu, siapakah yang menghancurkannya ?
Hakim mahkamah : Engkau telah mengetahui bahawa patung-patung itu tidak mampu bercakap atau berkata-kata, mengapa engkau minta kami untuk bertanya kepadanya ?
Nabi Ibrahim : Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manafaat atau menolak kemudaratan, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan ? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu dan menciptakan alam ini ?
Hakim Mahkamah : Selepas Nabi Ibrahim berpidato, akhirnya hakim telah memutuskan bahawa Nabi Ibrahim mesti dibakar hidup-hidup kerana menghina Tuhan mereka dan menghancurkan Tuhan mereka. 

Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim a.s terselamat daripada api yang panas itu dengan izin dan kekuasaan Allah s.w.t. Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Wahai api! Jadilah engkau sebagai dingin dan selamatkan Nabi Ibrahim." (Surah al-Anbiya : ayat 59)

Selepas peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s. dan terselamatnya Nabi Ibrahim, sekali lagi Raja Namrud telah berdebat dengan Nabi Ibrahim. Berikut adalah perdebatan antara mereka berdua :

Raja Namrud : Ibrahim! Siapakah yang menjadikan alam ini ?
Nabi Ibrahim : Alam ini merupakan kurniaan Zat yang dapat menghidupkan dan mematikan serta berkuasa atas segala-galanya. 
Raja Namrud : Aku juga berkuasa, barang siapa yang aku perintahkan untuk membunuhnya, maka matilah ia, dan apabila aku tidak bunuh ia, maka hiduplah ia.
Nabi Ibrahim : Tuhan kami ialah yang menerbitkan matahari dari sebelah timur, maka cubalah kamu putar terbitannya dari arah barat.

Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu, Raja Namrud tercengang dan tidak dapat menjawab. Akhirnya Raja Namrud dan pengikutnya menerima azab Allah dengan didatangi nyamuk yang sangat banyak tidak terkira. Raja Namrud sendiri dimasuki nyamuk hingga ke lubang telinganya sampai mati. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Muhammad Abdul Wahab (2011). Kisah Hidup 25 Nabi dan Rasul. Selangor : Berlian Publications Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment