Wednesday 13 November 2013

Di Ambang Maut : Malaikat Maut Dan Sakaratul Maut

Malaikat maut adalah malaikat yang ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk mencabut nyawa manusia apabila sampai ajal kematiannya (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad), Nyawa kamu akan diambil oleh malaikat maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan). [Surah as-Sajadah ayat 32:11].

Malaikat maut ini dikenali juga dengan nama Izrail yang bermaksud 'abdul jabbar' (hamba kepada Tuhan Yang Maha Memaksa). Malaikat maut atau Izrail ini dalam sebahagian kitab digambarkan sebagai malaikat yang besar, menggerunkan dan sungguh menakutkan. Malaikat maut tidak hanya ditugaskan mencabut nyawa manusia, tetapi juga makhluk-makhluk Allah yang lain.

Manakala sakaratul maut pula bermaksud kepayahan dan kesengsaraan yang mencengkam manusia dan menguasai akalnya ketika ia hampir mati (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Kepayahan ini akan dirasai oleh semua manusia sama ada mukmin atau bukan beriman (kafir) serta para nabi dan rasul. Dalam riwayat at-Tarmizi, ada menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w ketika baginda sakit lalu baginda berdoa yang bermaksud :

Ya Allah, bantulah aku untuk berhadapan dengan sakaratul maut.

Melihat kesakitan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. pada saat hampir kematiannya, maka Sayyidatina Aisyah berkata :

Aku tidak berasa iri hati kepada seseorang dengan kematian yang mudah, setelah apa yang aku lihat beratnya kematian Rasulullah s.a.w. [Riwayat at-Tarmizi].

Menurut Imam Ibnu al-Arabi : Sesungguhnya Allah s.w.t dengan kuasa dan kebijaksanaan-Nya boleh memudahkan keluarnya roh dan boleh menyukarkannya bergantung kepada keadaan hamba-Nya. Allah s.w.t menyukarkan keluarnya roh daripada hamba-Nya kerana adakala ia sebagai satu azab dan itu adalah bagi orang kafir. Ada kalanya sebagai Kafarah [penebus dosa] dan itu adalah bagi orang mukmin yang berdosa. Ada kalanya juga untuk mengangkat darjat dan menambahkan kebaikan. Itu adalah bagi para wali. Dan ada kalanya sebagai hujah kepada makhluk dan juga sebagai contoh serta qudwah, sebagaimana kesusahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w.

Bersedia atau tidak, Bolos Saja Dinding itu [Zizan Razak] gurau je ...
Bersedia atau tidak, Kematian pasti akan datang [Ahmad Adnan Fadzil]

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment