Friday 15 November 2013

Roh Dibawa Naik Ke Langit

Selepas malaikat maut mencabut roh, malaikat maut akan membawa roh naik ke langit. Jika roh itu milik orang yang beriman, ia akan dibenarkan memasuki langit untuk bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan yang redha dan diredhai. Kemudian roh itu akan dikembalikan ke bumi kepada jasadnya untuk menghadapi soalan di dalam kubur (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

[Setelah dicabut roh orang beriman itu], malaikat-malaikat akan membawa roh yang berbau wangi itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya, Siapakah roh yang amat baik keadaannya ini ? Malaikat-malaikat yang membawa roh itu menjawab, Roh si pulan bin pulan. Dengan menyebut nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Sehinggalah sampai di langit dunia, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan untuk mereka (melaluinya). Di setiap pintu langit, roh orang mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai ke langit ketujuh. Maka datanglah firman Allah kepadanya, tulislah ketentuan hambaku di dalam Illiyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya Aku menjadikan mereka, kepadanyalah Aku akan kembalikan mereka dan daripadanya juga Aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (apabila berlakunya kiamat). Maka dikembalikanlah roh itu kepada jasadnya. [Riwayat Ahmad].

Adapun roh orang kafir, munafik, zalim dan orang yang tidak beriman, tidak akan dibukakan kepadanya pintu langit. Oleh yang demikian, roh itu akan dikembalikan kepada jasadnya dengan penuh penghinaan. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan yang angkuh daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk melalui lubang jarum. Demikianlah kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada Api Neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (daripada api neraka). Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim disebabkan keingkarannya. [Surah al-Araf ayat 7:40].

Amru bin Dinar menceritakan : Tidak ada satu mayat yang mati melainkan rohnya dipegang oleh malaikat sedang ia melihat akan jasadnya bagaimana dimandikan, bagaimana dikafankan, bagaimana dibawa ke kubur dan bagaimana jasadnya duduk di dalam kubur.

Menurut Abu Al-Hassan al-Qabisi pula : Apabila mayat dimandikan dan dikapankan, rohnya dikembalikan dan diletakkan atas kain kapan dan jasadnya. Apabila diusung ke perkuburan, ia mendengar ucapan orang ramai siapa yang mengucapkan yang baik tentangnya dan siapa yang mengucapkan yang buruk tentangnya. Apabila sampai di kubur, dikembalikan semula roh kepada jasad dan mayat itu diletakkan dalam keadaan mempunyai roh dan jasad. Kemudian datang kepadanya dua malaikat penyoal. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

Apabila diletakkan jenazah (di dalam keranda) dan para lelaki mengusungnya di atas bahu-bahu mereka (ke perkuburan), jika jenazah itu seorang yang soleh, maka ia akan berkata, bawalah aku segera! bawalah aku segera!. Namun jika jenazah itu tidak soleh, maka ia akan berkata, alangkah celakanya! Ke mana mereka ingin membawa jasadku ? Suaranya dapat didengari oleh sekalian makhluk kecuali manusia dan jika manusia turut mendengarnya nescaya akan pengsanlah mereka. [Riwayat al-Bukhari].


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh Dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment