Tuesday, 28 May 2013

Kisah Semerluki : Disuruh Merompak Ke Ujong Tanah

Pada hari ini, pengkaji terus menyingkap Sejarah Lampau pada zaman dahulu. Hari ini, pengkaji cuba menceritakan kisah Semerluki dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan bahawa :

Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri di Tanah Mengkasar, Meluluki namanya, Keraeng Majiko nama Rajanya ; terlalu besar kerajaan Raja itu, segala negeri di tanah Mengkasar itu takluk kepadanya. Maka ia beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh bersaudara. Ketujuhnya dibuat isteri oleh baginda itu ; akan puteri yang bongsu itu terlalu baik parasnya. Adapun puteri yang tua sekali beranak seorang lelaki, dinamai ayahandanya Semerluki. Berapa lamanya Semerluki pun besarlah ; terlalu berani, lagi dengan perkasanya tiada berbagai dalam Tanah Mengkasar itu.

Pada suatu hari, Semerluki masuk mengadap ibunya, ia terpandang kepada emak bongsunya itu ; maka Semerluki pun berahi hendakkan emak bongsunya itu. Maka Keraeng Majiko pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiadalah diberi oleh Keraeng Majiko, katanya pada Semerluki, "Bagaimana engkau hendakkan emak bongsumu ? Kerana ia saudara emakmu, isteri kepada aku. Jikalau engkau hendak beristeri baik paras, pergilah engkau merompak ke Ujong Tanah ; di sana banyak perempuan yang seperti kehendakmu, dan yang lebih daripada emak bongsumu itu."

Maka Semerluki pun berlengkaplah ; 200 banyaknya kelengkapan pelbagai rupa perahu. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun pergilah, kasadnya hendak mengalahkan segala negeri di bawah angin ini. Pertama-tama ia pergi ke Jawa, banyak dirosakkannya jajahan Jawa ; tiada berani orang mengeluari dia. Maka Semerluki pun lalu ke Siam, banyaklah teluk rantau Siam dialahkannya, tiada juga dikeluari orang Siam.

Maka lalulah ia ke laut Ujong Tanah, dirosakkannya segala teluk rantau jajahan Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, "Berapa segala jajahan kita banyak binasa oleh Raja Mengkasar yang bernama Semerluki itu." Maka baginda pun menitahkan Laksmana pergi memairi Semerluki. Maka Laksmana pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun datanglah ke laut Melaka. Maka Laksmana pun keluarlah dengan segala kelengkapan. Setelah bertemu lalu berperang berlanggar-langgaran ; rupa panah dan sumpitan seperti hujan yang lebat. Maka banyaklah kelengkapan Mengkasar yang rosak oleh kelengkapan Melaka.

Maka perahu Laksmana bertemulah dengan perahu Semerluki. Maka oleh Semerluki disuruhnya campaki sauh terbang ke perahu Laksmana, lekat ; maka disuruhnya putar, maka oleh Laksmana disuruhnya tetas, sambil bertikam. Maka kelengkapan Semerluki pun banyaklah alah oleh kelengkapan Laksmana ; tetapi Orang Melaka banyak mati oleh sumpitan, kerana pada masa itu Orang Melaka belum lagi tahu akan tawar ipuh.

Beberapa persoalan timbul di sini. Adakah Laksmana yang dimaksudkan itu adalah Laksmana Hang Tuah ? Adakah Raja Mengkasar yang menyerang Melaka itu merupakan keturunan Hang Tuah ? Ini kerana Hang Tuah dikatakan oleh A. Samad Ahmad yang ditulis oleh penulis sebelum ini berasal dari Tanah Mengkasar. Wallah hualam Bisawab.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

Post a Comment