Monday, 27 May 2013

Daeng Mempawah Nama Asal Hang Tuah

Hari ini, pengkaji terus menyelongkar Sejarah Lampau. Kali ini, penulis cuba berbicara mengenai asal usul Hang Tuah yang dikatakan Pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menyebut dari mana Hang Tuah berasal. Berikut adalah kenyataan beliau :

Maka sembah Seri Bija Pikrama, " Sebenarnyalah titah tuanku itu ; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku." Adapaun anak Raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya ; umurnya baru dua belas tahun. Diceritakan orang yang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.

Setelah ke esokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap Raja Mengkasar, didapatinya Raja di Goa telah pepak diadap orang. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh Raja di Goa utusan kedua itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah. Maka titah Raja di Goa, "katakan kepada saudaraku, Orang Kaya, akan Daeng Mempawah ini pertaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, Raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku, Raja Melaka, dalam Mengkasar ini menyuruh ia kepada aku." Maka sembah utusan kedua itu, "Baiklah tuanku."

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang. Maka baginda pun keluarlah, semayam diadap segala Orang Besar-Besar dan hulubalang sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa Daeng Mempawah.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu, Maka titah baginda, "Bagaimana maka Raja Mengkasar berkirimkan anak Raja Bajung ini ?" Dilanggarkah Raja Bajung maka anaknya tertawan ini ?"

Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada Tuanku, Raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah. Maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah Keris Tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya.

Adapun 'perhangan' ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Husssin serta tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.

Kesimpulannya, nama asal Hang Tuah ialah Daeng Mempawah anak daripada Raja Mengkasar. Jika dilihat nama asal Hang Tuah iaitu "Daeng", beliau adalah berketurunan Bugis. Seperti juga Daeng Kemboja, Daeng Chelak, Daeng Parani, Daeng Merewah dan lain-lain.


Rujukan :

A. Samad Ahmad, 2008. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment