Friday 6 September 2013

Kempen Anti British Di Kelantan : Sarjan Che Wan Ditikam Oleh Tok Janggut

Hari ini, pengkaji menuju semula ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim. Kempen anti-British ini bermula pada tahun 1905 apabila undang-undang hasil padi diperkenalkan di mana setiap penduduk dimestikan melaporkan kepada Tok Kweng jumlah keluasan sawah padi yang dimiliki dan kedudukan tanah itu. Dengan ini bermakna orang-orang Pasir Puteh tidak boleh lagi mengelakkan diri daripada cukai kerana jumlah keluasan tanah mereka didaftarkan (Abdullah Zakaria, 1985). 

Disamping itu, sistem cukai telah diperkenalkan di Pasir Puteh dan sistem ini berbeza sekali dengan sistem cukai yang dijalankan sebelum ini. Sistem cukai ini  kemudiannya mendatangkan masalah dan beban kepada petani-petani di Pasir Puteh. Melalui sistem cukai baru ini semua tanah, sama ada dikerjakan atau tidak, dimestikan membayar cukai. Selain daripada itu cukai-cukai ditetapkan  ke atas perkara-perkara tertentu. Mislanya sirih dikenakan lima sen sejunjung, lembu dan kerbau dikenakan 20 sen seekor setahun. Sebelum perlaksanaan sistem cukai baru ini, kutipan cukai di Pasir Puteh didasarkan kepada jumlah keluaran. Sekiranya hasil keluaran banyak, maka tinggilah cukai yang dikenakan. Begitulah juga sebaliknya (Abdullah Zakaria, 1985).

Selain daripada itu, kempen anti-British ini berlaku disebabkan adanya kekasaran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Orang-orang yang tidak membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Kadangkala mereka ini dimaki hamun. Kata-kata kesat ini sesungguhnya menyakiti penduduk Pasir Puteh dan menyebabkan penduduk Pasir Puteh membenci British. Oleh sebab itulah Tok Janggut, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak telah menjalankan kempen anti-British agar tidak membayar cukai dan tidak mengikut peraturan baru itu. Penduduk Pasir Puteh turut serta memberi sokongan terhadap perjuangan Tok Janggut dan pengikutnya (Abdullah Zakaria, 1985).

Akibatnya, satu tentangan terbuka tercetus pada tahun 1915 apabila Encik Latif, Pegawai Daerah, menghantar Sarjan Che Wan untuk menangkap Tok Janggut. Dalam pertemuan ini berlaku pertengkaran di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan. Ini menyebabkan Tok Janggut telah menikam mati Sarjan Che Wan. Encik Latif telah menghantar beberapa orang Polis untuk menangkap Tok Janggut yang telah membunuh Sarjan Che Wan itu, tetapi dipertengahan jalan Polis ini dinasihatkan pulang kerana angkatan Tok Janggut sedang mara ke Pasir Puteh (Abdullah Zakaria, 1985).

Memandangkan keadaan ini, Encik Latif dan kakitangan lain menyelamatkan diri ke Kota Bharu dengan perahu besar melalui Kuala Semerak. Tok Janggut menduduki bandar Pasir Puteh dan mendudukinya selama 3 hari. Di sini, Engku Besar Jeram dilantik sebagai Pemerintah Pasir Puteh. Setelah 3 hari berada di Pasir Puteh, Tok Janggut dan angkatannya mengundurkan diri. Penasihat British kemudiannya meminta bantuan dari Singapura. Setelah angkatan itu tiba, angkatan itu mara ke Pasir Puteh. Pertembungan akhirnya berlaku di Kampung Dalam Pupuh dan Tok Janggut terkorban. Mayatnya dibawa ke Kota Baharu, diarak serta di kebumikan di Pasir Pekan (Abdullah Zakaria, 1985).


Rujukan :

Abdullah Zakaria Ghazali (1985). Kebangkitan Anti-British Di Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.





No comments:

Post a Comment