Tuesday 18 June 2013

Nama Asal Sultan Mansur : Sultan Terengganu 1740M

Pada hari ini, penulis cuba menyingkap kisah sejarah lampau dalam buku sejarah Terengganu Darul Iman. Kira-kira pada tahun 1739M, semasa Yang Dipertuan Raja Kechik (Sultan Mansur) berada di Riau baginda  telah berkahwin dengan Raja Bakul Puteri Yam Tuan Muda Daeng Chelak kemudian tidak beberapa lama pula baginda berkahwin dengan Raja Bulang puteri Sultan Sulaiman dengan istiadat kebesaran raja-raja (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman). Sebelum dari tarikh itu, kira-kira dalam tahun 1735 Sultan Sulaiman berada di Kuala Terengganu, dan dilangsungkan perkahwinan anak saudaranya yang bernama Tun Abdul Majid (anak Bendahara Tun Abas) dengan Tun Enah anak bendahara Tun Husain Terengganu (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman).

Semasa Sultan Sulaiman berangkat balik ke Riau di akhir tahun 1735, baginda Sultan Mansur berangkat sama. Dalam tahun 1740 baginda berangkat ke Muar kerana mengiringi Sultan Sulaiman. Adalah diceritakan dalam tahun itu juga Sultan Sulaiman berangkat ke Terengganu bersama puteranya Raja Ibrahim, Tun Sulong Muda, Tun Abdul Majid (anak saudaranya), Tun Pasang, Tun Hassan Indera Bungsu dan beberapa orang pembesarnya mengikut serta kerana pertabalan Sultan Mansur menjadi Sultan Terengganu (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman). Selepas tujuh minggu dari ketibaan Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, maka Long Pandak dari Kelantan dengan diiringi oleh pembesarnya telah tiba mengadap Sultan Sulaiman dan beliau telah dianugerah dengan gelaran Datuk Seri Maharaja.

Lebih kurang 5 bulan Sultan Sulaiman berada di Negeri Terengganu lalu berangkat ke Riau dengan diiringi oleh menantunya Sultan Mansur, Bendahara Tun Husain dan beberapa orang pembesar Terengganu. Sultan Mansur telah berangkat pulang ke Terengganu selepas berada di Riau lebih kurang dua tahun dan berangkat sekali lagi ke sana di dalam tahun 1746M (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman).

Oleh itu, berdasarkan daripada buku tersebut, jelas bahawa nama asal Sultan Mansur adalah Yang Dipertuan Raja Kechik.


Rujukan :

Buku Sejarah Terengganu Darul Iman.





No comments:

Post a Comment