Thursday 24 April 2014

Kisah Tauladan II : Segenggam Kopi



Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda tinggal disebuah kampung. Hidupnya penuh dengan keperitan, stress memanjang, hutang keliling pinggang, keluarga porak-peranda dan macam-macam masalah. Dengan kehidupan yang mendesak itu, lalu pemuda itu mengambil keputusan untuk membunuh diri. Ketika beliau berada di sebatang sungai, pemuda itu sedar bahawa tindakannya itu adalah tidak wajar malah berdosa besar. Beliau kemudiannya membuat keputusan untuk berjumpa dengan pakar kaunseling.

Keesokan harinya, ketika beliau berhajat untuk menemui pakar kaunseling, secara tiba-tiba beliau terserempak seorang lelaki tua di hadapan rumahnya. Pemuda itu pun menjemput lelaki tua itu masuk ke rumahnya. Kemudian, pemuda itu menceritakan masalahnya kepada lelaki tua itu. Lelaki tua itu meminta pemuda mengambil segenggam kopi dan segelas air. Selepas itu, lelaki tua itu meminta pemuda itu memasukkan segenggam kopi ke dalam gelas yang berisi air. Kemudian, lelaki tua itu meminta pemuda itu meminum air kopi tersebut. Pemuda itu pun berkata, "rasa kopi ini amat pahit".

Lelaki tua itu tersenyum melihat gelagat pemuda itu. Selepas itu, lelaki tua itu mengajak pemuda itu keluar lalu menuju ke sebuah perigi sambil membawa segenggam kopi lagi. Kemudian, lelaki tua itu pun meminta pemuda itu mencampakkan kopi itu ke dalam perigi. Selang beberapa minit kemudian, lelaki tua itu meminta pemuda itu memutarkan tombol perigi itu agar kopi itu bercampur dengan air perigi tersebut lalu lelaki tua itu meminta pemuda itu meminum secawan air dari perigi itu. Pemuda itu pun berkata, "rasa kopi ini tidak pahit."

Lelaki tua itu pun tersenyum lalu menerangkan kepada pemuda itu bahawa masalah yang kita hadapi ini seperti kopi itu tadi. Walau sepahit kopi yang kita rasa, jika kita tuangkan ke dalam bekas yang besar kopi itu tidak rasa pahit. Begitulah juga dengan masalah kita. Segenggam kopi itu merujuk kepada masalah. Manakala bekas itu pula merujuk kepada hati manusia. Jadi, jika kita ada masalah, besarkanlah hati kita, lapangkanlah jiwa kita dan terima musibah itu dengan berlapang dada yakni bersabar. Jika kita bersabar, pasti kita mendapat rahmat dari-Nya.

Tinta Oleh Tongkat Besi



No comments:

Post a Comment