Tuesday 18 February 2014

Minda Melayu

Hari ini, pengkaji tertarik dengan karya Hassan Ahmad (2005), yang bertajuk Minda Melayu Dalam Kesusateraan Melayu Tradisional. Beliau telah mengupas isu ini lebih terperinci. Menurutnya, Adakah perlu orang Melayu membaca karya kesusasteraan Melayu Tradisional pada zaman ini iaitu zaman sains dan teknologi, sedangkan nilai pasarannya semakin lama semakin tidak ada lagi ?

Persoalan seperti ini hanya timbul dikalangan bangsa yang sedang mengalami krisis minda, bangsa yang tidak menyedari lagi akan nilai bangsanya sendiri, jati diri bangsanya, pemikiran dan pandangan hidup bangsanya. Mereka ini terpesona dan tertipu dengan pengaruh pandangan bangsa lain. Kebanyakan orang Barat tidak terlintas di hati mereka untuk bertanya, perlukah orang British hari ini membaca karya kesusateraan klasik Inggeris seperti Shakespeare, Charles Dickens, Robert Louis dan lain-lain lagi. Orang British tentu berasa bangga melihat karya bangsa mereka tersebar ke seluruh dunia, memenuhi kedai buku di negara bekas tanah jajahan British, termasuk negara kita Malaysia. Di dua buah kedai buku yang tersebar di Malaysia iaitu MPH di Mid Valley dan Kinokuniya di KLCC, Kuala Lumpur, koleksi buku kesusateraan berbahasa Inggeris jauh lebih terpampang, lebih menonjol dan lebih banyak daripada buku kesusateraan klasik (Tradisional) dan karya kreatif moden dalam Bahasa Melayu. Kanak-kanak kita terpesona dengan cerita khayalan siri karya Harry Potter ciptaan J.K Rowling; mereka dibawa ke dunia dan budaya cerita khayalan dari alam ciptaan J.K Rowling ini dengan penuh minat. Selain itu, animasi seperti Power Rangers, X-Men, G.I.Joe dan Incredible Hulks tidak kurang juga hebatnya. Namun, tiada siapa pula yang  mengadu bahawa cerita ini adalah cerita karut!.

Dalam industri perfileman Amerika Syarikat sering pula menayangkan watak-watak fantasi iaitu kejaguhan orang barat dan bangsa Amerika misalnya melaui filem Terminator, Rambo, Black Hawk Down, Commando, Cyborg, Robocop, Pirates Of The Caribbean, Lone Ranger, Spiderman dan macam-macam lagi. Mereka juga mencipta mitos kejahatan terhadap orang lain seperti istilah pengganas dan melabel bangsa lain adalah bangsa yang lemah. Menurut Mary Midgley (2003) dalam bukunya The Myths We Live By, kita orang barat :

are accustomed to think of myths as the opposite of science. But in fact they are central part of it, the part that decides its significance in our lives. Myths are not lies. Nor are they detached stories. They are imaginative patterns, networks of powerful symbols that suggest particular ways of interpretation the world.

Persoalan lain yang timbul ialah adakah kanak-kanak dan pelajar orang Melayu hari ini bahkan golongan dewasa membaca juga karya fiksyen dan karya budaya bangsanya sendiri, yang sesetengahnya setaraf dengan karya agung dunia misalnya Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Hang Tuah atau kumpulan karya yang lebih berat isinya dari segi pemikiran Melayu yang membincangkan soal konsep kewujudan, metafizik dan ketasawufan, misalnya karya Hamzah Fansuri abad ke-17 atau siri cerita jenaka Melayu ?


Rujukan :

Hassan Ahmad. 2005. Minda Melayu Dalam Kesusateraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment