Saturday 22 February 2014

Kisah Wali Songo : Raja (Sunan) Kalijaga

Raja Kalijaga atau nama sebenarnya Raden Said merupakan putera kepada Temenggung Wilatikta daerah Kadipaten yang menjadi naungan kerajaan Majapahit pada suatu ketika dahulu (Muhammad Fairuz NA, 2005). Kisahnya bermula apabila daerah Kadipaten dilanda kemarau. Sawah dan ladang-ladang di daerah tersebut menjadi kering-kontang sehingga berbulan-bulan lamanya. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Majapahit telah menaikkan cukai kepada petani-petani di daerah Kadipaten. Kenaikan cukai dan ufti ini menyebabkan petani-petani tersebut tertindas dan menderita. 

Menyedari hakikat ini, muncul Raja Kalijaga yang cuba membela nasib rakyat Kadipaten yang tertindas itu. Raja Kalijaga telah membuat keputusan untuk merompak harta para bangsawan, harta orang-orang kaya, dan golongan orang-orang kaya (bangsawan) yang enggan membayar zakat serta harta orang-orang yang menindas golongan-golongan yang lemah (Muhammad Noeryadi).

Hasil rompakan tersebut, Raja Kalijaga tidak pernah memakannya dan hasil rompakan tersebut diberikan kepada fakir miskin, rakyat yang menderita dan golongan yang tertindas. Kegiatannya ini akhirnya diketahui oleh ayahnya iaitu Temenggung Wilatikta melalui pengintipan yang dibuat oleh penjaga gudang Kadipaten. Akibat daripada peristiwa tersebut, ayahnya telah mengusir anaknya (Raja Kalijaga) dari daerah Kadipaten. Ke manakah Raja Kalijaga ?

Kisah ini sama seperti yang dilakukan oleh Panglima Nayan di Kedah yang merompak harta golongan tuan tanah dan hasil rompakan tersebut diberikan kepada golongan yang tertindas. Seperti yang kita sedia maklum, perkara yang dilakukan oleh Raja Kalijaga dan Panglima Nayan itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Namun begitu, pemerintahan yang zalim juga adalah bercanggah dengan hukum Islam.


Rujukan :

Muhammad Fairuz NA. 2005. Koleksi Kisah Wali Songo. Indonesia : Pustaka Media Surabaya.

Mohd Noeryadi. Kisah Wali Songo : Penyebaran Agama Islam Di Tanah Jawa. Jakarta : Penerbit Bintang Indonesia.




No comments:

Post a Comment