Tuesday 19 February 2013

Tuntutan Filipina Terhadap Sabah: Wujudkah ?

Bagi mengupas permasalahan ini, kita perlu melihat terlebih dahulu "Ikrar Malaysia dan Filipina" yang dimeterai. Nampaknya, kedua-dua buah negara telah berjanji dalam Persetujuan Manila dan Pernyataan Bersama. Ketiga-tiga ketua negara telah menerima dan mengambil tindakan penyelesaian yang dinyatakan dalam memenuhi kehendak perenggan 10 dan 11 Persetujuan Manila sebagai syarat terdahulu sebelum Indonesia dan Filipina mengalu-alukan Penubuhan Malaysia. Tidak diragui Malaysia sentiasa mematuhi peruntukan perjanjian itu. Malaysia telah menyatakan dalam satu nota bertarikh 7 Februari 1966 bahawa Malaysia tidak pernah berganjak daripada Persetujuan Manila 31 Julai 1963 dan Pernyataan Bersama yang menyertainya (Mohd Arif, 1988). Malaysia juga telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan mematuhi perjanjian itu, khususnya perenggan 12 Persetujuan Manila dan perenggan 8 Pernyataan Bersama, yang ketiga-tiga ketua negara mengambil perhatian tentang kedudukan tuntutan Filipina terhadap Sabah selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Dalam pengumuman 3 Jun 1966 kedua-dua buah negara itu telah pun sebenarnya berikrar untuk mematuhi Persetujuan Manila dan Pernyataan Bersama itu.

Hasil daripada ikrar bagi kedua-dua negara itu, tidak syak lagi bahawa setiap pihak terus menekankan bahawa masing-masing mempunyai hak terhadap wilayah Sabah itu. Jika keadaan demikian berterusan, sikap ini akan sentiasa menjadi punca bahaya. Barangkali, seseorang tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan jawapan kepada persengketaan ini. Jawapan itu pada halnya telah pun diperuntukkan dalam perenggan 13 Persetujuan Manila yang mungkin tidak jelas ketika perdebatan hangat. Perenggan itu menyatakan :

"Berdasarkan pertalian sejarah yang rapat di antara rakyat Filipina dengan rakyat Borneo Utara dan berhampiran dengan kedudukan geografinya, Menteri bersetuju bahawa sekiranya Borneo Utara memasuki Persekutuan Malaysia yang dicadangkan oleh Kerajaan Malaysia, dan Kerajaan Filipina hendaklah memelihara keharmonian dan hubungan persahabatan yang sedia di rantau mereka untuk memastikan keselamatan dan kestabilan kawasan itu,"

Mereka harus menerimanya jika mereka benar-benar memandang berat tentang keamanan dan keharmonian rakyat negara masing-masing. Kedua-dua buah negara itu adalah ahli anggota ASEAN dan ASA yang menjadi harapan besar dalam kestabilan ekonomi dan politik. Filipina seharusnya menggugurkan tuntutannya dan menumpukan segala usahanya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam konteks ASA dan ASEAN. Jika tidak, amat sukar untuk dibayangkan apa yang berlaku nanti. Lagipun, Borneo telah bersetuju menyertai Penubuhan Malaysia dan Filipina sendiri sebenarnya telah bersetuju dalam Perjanjian Manila. 

Oleh yang demikian, masih wujudkah tuntutan Filipina itu ? atau hanya semata-mata dipolitikkan ? 


Rujukan :

Mohd Arif Othman (1988). Tuntuan Filipina Terhadap Sabah. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.


No comments:

Post a Comment