Friday 22 May 2015

Hak Kebebasan

Menurut Dato' Dr. Haron Din seorang pendakwah dan ikon agama Islam di Malaysia, Islam menetapkan hak kebebasan bagi tiap-tiap insan sejak mula dia dilahirkan ke dalam dunia ini. Tiap-tiap insan  diperanakkan dengan bebas. Sebab itu Umar bin Khattab berkata, bagaimanakah kamu memperhambakan manusia padahal dia diperanakkan dengan bebas ?

Tegasnya lagi, hak kebebasan manusia tidak perlu dilucut melainkan pada keadaan darurat, iaitu semasa mempertahankan kemerdekaan dan keselamatan bagi umat Islam. Pada masa musuh Islam dapat mengalahkan kaum muslimin mereka melucutkan hak ini dan menjalankan penindasan serta cengkaman ke atas kaum muslimin. Hak-hak kebebasan itu merangkumi kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan beragama dan lain-lain. 

Teras atau pokok bagi segala kebebasan ialah kebebasan fikiran. Seorang muslim berhak melahirkan pendapat atau fikirannya tanpa diganggu undang-undang. Begitu juga halnya dalam kebebasan beragama. Allah s.w.t menjelaskan dalam surah al-baqarah, " tidak ada paksaan dalam beragama,". Bukannya pula apabila seseorang individu yang melahirkan anak, anak itu pula bebas memilih agama. Itu adalah salah. Maksudnya di sini ialah masyarakat di Malaysia ini bebas mengamalkan agama masing-masing iaitu Budha, Kristian, Islam dan Hindu. 

Allah s.w.t memberikan garis kasar kepada negara Islam iaitu mereka yang diberi kuasa di bumi, maka mereka menggunakan kuasa politik bagi menegakkan 4 strategi  demi kebajikan dan kebaikan masyarakat iaitu :
  1. Menyuruh rakyat menunaikan solat
  2. Menyuruh rakyat mengeluarkan zakat
  3. Menggunakan kuasa politik bagi menyuruh rakyat melakukan kebajikan
  4. Menggunakan kuasa untuk melarang rakyat daripada melakukan kemungkaran
Semua ciri kebebasan yang disebutkan di atas adalah terikat dengan muslihat umum atau kepentingan orang ramai. Muslihat umum perlu dikawal dalam Islam. Sebaliknya muslihat umum jangan pula menghancurkan muslihat individu. Jadi kebebasan dalam Islam adalah terikat dengan garis hukum-hukum Allah demi keselamatan manusia sendiri.

Sultan Kedah pernah berkata, "Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah".

'Keadilan Islam membebaskan manusia, bukan memenjarakan,' Dato Dr. Haron Din.


Rujukan :

Dato' Dr. Haron Din (2007). Islam Keadilan Membebaskan Manusia. Selangor : PTS Millenia Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment