Monday 12 August 2013

Singapura Dilanggar Todak : Budak Cerdik Dibunuh Raja

Pada hari ini pengkaji menyingkap kisah kezaliman Raja. Dengan titahnya,  maka orang-orang Besar telah membunuh seorang budak yang pintar. Menurut A. Samad Ahmad (2008) dalam karyanya, ada menceritakan peristiwa itu. 

Kisahnya bermula apabila Tuan Jana Khatib menggunakan ilmu sihirnya untuk memikat wanita. Kebetulan pula wanita itu adalah isteri Raja. Tuan Jana Khatib adalah seorang hamba Allah yang datang dari Pasai. Perbuatannya itu telah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja. Berikut adalah kenyataan A. Samad Ahmad (2008) :

Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka; titah baginda, "Lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada dipintu maka ia menunjukkan ilmunya." Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; di sanalah ia ditikam orang.

Ada diceriterakan orang, badan Tuan Jana Khatib terhantar di Lengkawi berdasarkan pantun di bawah :

Telur itik dari Singora,
Pandan tersandar di batang tui,
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di Lengkawi.

Hatta tiada berapa lama peristiwa itu, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan lalu ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati todak itu; barang yang kena terus-menerus olehnya. Maka tiadalah dapat orang berdiri di pantai itu lagi. Maka gemparlah orang berlari-larian ke sana ke mari, semuanya mengatakan, "Todak datang menyerang kita". Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda ke luar diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu (A. Samad Ahmad, 2008).

Setelah melihat ikan-ikan todak itu menyerang dan berlompatan, maka baginda menitahkan orang berkotakan betis. Namun, serangan todak itu seperti hujan dan semakin banyak orang yang mati. Maka pada ketika itu, datang seorang budak memberikan pandangan bahawa "Apa kata Tuanku jika kita berkotakan batang pisang alangkah baiknya ?". Apabila raja itu mendengar pandangan seorang budak, maka dikerahkah rakyatnya agar membuat benteng menggunakan batang pisang. Ikan-ikan todak yang menyerang di pantai itu, terpacak di batang pisang. Akhirnya, serangan todak itu berjaya dipatahkan.

Menurut A. Samad Ahmad (2008) lagi dalam karyanya itu :

Setelah itu maka raja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah Orang-Orang Besar, "Tuanku, akan budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi ? Lebih baik ia kita bunuh tuanku." Maka dengan titah raja, "Benarlah bagai kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia! Maka adalah budak itu, tatkala ia akan dibunuh, maka ia menanggungkan haknya atas negeri itu; lalu ia pun dibunuh oranglah.

Akibat daripada khianat itu, akhirnya Singapura dikalahkan oleh tentera Majapahit. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment