Tuesday 20 August 2013

Kedatangan Agama Islam Di Bentan (Selatan Sumatera)

Hari ini, pengkaji menyelinap ke Bentan menyingkap sejarah lampaunya. Pengkaji menumpukan bagaimana kedatangan agama Islam ke Bentan, Selatan Sumatera. Kisahnya bermula apabila Islam tersebar dari Demak ke Bentan pada awal kurun ke-16 ketika tentera Demak di bawah pimpinan Sharif Hidayatullah dapat menaklukinya (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983). Penaklukan ini penting bagi kerajaan Islam Demak kerana Bentan adalah batu loncatan untuk bertapak di pantai sebelah Selatan Sumatera, iaitu Lampung dan Palembang. Walau bagaimanapun, penaklukan tentera tidak diikuti dengan paksaan agar Raja Bentan dan Pajajaran memeluk Islam. Islam diperkukuhkan dan disebar secara damai hingga ke daerah-daerah yang masih beragama Hindu. Dalam tahun 1522, Bentan diperintah oleh Sultannya yang pertama bernama Sultan Hasanudin putera Sharif Hidayatullah. Dalam masa pemerintahan sultan-sultan Islam, perniagaan di pelabuhan Bentan bertambah maju dan perhubungan perdagangan semakin meluas (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).

Menurut Muhammad Fairuz (2005), Ayah Sharif Hidayatullah merupakan seorang ulama terkenal yang berasal dari Mesir. Selepas kemangkatan ayahnya, beliau mendalami ilmu agama di Timur Tengah dan berdakwah menyebarkan agama Islam ke Tanah Jawa sehingga ke Demak dan Bentan. Di Tanah Jawa, Sharif Hidayatullah ini lebih dikenali sebagai Sunan Gunung Jati dan merupakan salah satu Wali Songo yang bermazhab syafie.

Bagi pandangan Moh. Noeryadi pula, Sharif Hidayatullah bersama ibunya Sharifah Muda'im datang ke Jawa Barat pada tahun 1475. Kemudian, beliau tiba di Pajajaran dan seterusnya berdakwah ke Serang, Bentan. Kedatangannya telah disambut oleh Adipati Banten (Bentan). Bahkan, Sharif Hidayatullah telah mengahwini puteri Adipati Banten (Bentan) yang bernama Nyi Kawungten. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Nyi Ratu Winaon dan Pangeran Sebakingking. Pangeran Sebakingking inilah yang bergelar Sultan Hasanudin yang menjadi Sultan di Bentan.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Hj. Dusuki Hj. Ahmad (1983). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Fairuz (2005). Koleksi Kisah Wali Songo. Surabaya : Pustaka Media Surabaya.

Moh. Noeryadi ____. Kisah Wali Songo : Penyebaran Agama Islam Di Tanah Jawa. Jakarta : Penerbit Bintang Indonesia.




No comments:

Post a Comment