Wednesday 12 June 2013

Salahudin Al-Ayubi : Penakluk Jerusalem

Salahudin Al-Ayubi adalah antara contoh agung bagaimana ummah mampu mengalahkan musuh yang kelihatan gagah perkasa tetapi sebenarnya kontang dan tandus jiwa mereka (Abdul Latip Talib (2007). Kelahiran Salahudin Al-Ayubi adalah ketika keadaan yang sukar kerana ayahnya diusir keluar dari Iraq dan hilang kekuasaan. Ayahnya menceritakan bagaimana keadaan yang susah ketika itu dengan kata-kata : "Anak itu lahir dalam keadaan yang benar-benar menyedihkan. Saya benar-benar merasa sial dengan kelahirannya," (Arif Awang, 2008).

Salahudin dilahirkan pada 543H di Azarbaijan, berketurunan Kurdish. Bagaimanapun perasaan sedih dan kecewa itu tidak dikongsi bersama oleh rakan-rakannya yang lain kerena mereka berpendapat anak tersebut akan menjadi seorang raja yang agung, namanya baik dan terkenal (Arif Awang, 2008). Menurut Arif Awang (2008) lagi, perjalanan ke puncak kekuasaan Salahudin berlaku ketika perebutan kuasa dan jawatan sebagai perdana menteri kerana ramai yang hendakkan kedudukan berkenaan. Salahudin dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Khalifah Al-Adhid bagi menggantikan Asadudin, seorang Panglima tentera yang juga bapa saudara Salahudin.

Selepas menjawat Perdana Menteri, Salahudin telah membuat perubahan dan peraturan seperti :
  1. Menyederhanakan peraturan tentang pemilikan keluarga Fatimyah.
  2. Menghapuskan dan menghilangkan tokoh-tokoh penyamun harta negara samaada secara terang-terangan ataupun sembunyi.
  3. Memecat sesiapa sahaja yang menyeleweng dan menyimpang daripada undang-undang bagi menghentikan gejala rasuah dan kezaliman.
Operasi pembersihan ini melibatkan seluruh pegawai kerajaan supaya maruah dan martabat pentadbiran kerajaan yang baru itu menjadi mulia dan dihormati (Arif Awang, 2008). Ketegasan Salahudin dalam pentadbiran mendapat sokongan daripada rakyat Mesir yang ketika itu hidup di bawah kerakusan rasuah dan kezaliman. 

Peribadi Salahudin yang tegas dan beragama diulas oleh Lanepoole seorang ahli sejarah Inggeris. Menurutnya, Salahudin seorang yang warak dan zuhud. Berpaling daripada hidup bersenang-senang kepada hidup yang sederhana serta menjadikan dirinya sebagai teladan kepada tenteranya.

Usia yang muda ketika menjadi Perdana Menteri membuatkan pegawai kerajaan yang lebih senior berasa iri hati dan mendendami Salahudin (Arif Awang, 2008). Bagaimanapun pengaruh beliau yang cepat merebak dan peribadi yang diterima ramai menjadikannya sentiasa diberi sokongan. kebijaksanaan dan kepintarannya menggunakan pendekatan yang sesuai membolehkan agenda perubahan yang hendak dilaksanakan mendapat sokongan ramai.

Salahudin Al-Ayubi memerintah dari Mesir hingga ke Yaman namun beliau tidak hidup mewah. Ketika meninggal dunia, beliau tidak memiliki walau pun sebuah rumah dan wang simpanannya hanya empat dinar. Namun, apakah kata-kata Salahudin ini merupakan kebenaran jika umat Islam ingin menguasai dunia ?

"Sesiapa yang menakluki Palestin, dialah yang menguasai dunia."


Rujukan :

Abdul Latip Talib (2007). Salahudin Penakluk Jerusalem. Selangor : PTS Fortuna Sdn. Bhd.

Arif Awang (2008). Haluan : Mendidik Minda Mendidik Hati. Pulau Pinang : Percetakan Fadhilat.





No comments:

Post a Comment