Friday, 4 October 2013

Tanpa Usul Periksa : Mahsuri Di Hukum Bunuh

Hari ini, pengkaji menelusuri sejarah di negeri Kedah iaitu kisah Mahsuri. Seperti yang kita sedia maklum, kisah Mahsuri memang terkenal dalam sejarah negeri Kedah. Peristiwa pembunuhan Mahsuri ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muazam Shah II. Sultan Muhammad Jiwa merupakan sultan Kedah yang ke-19 yang memerintah dari tahun 1710-1778 (Zurina Ismail, 1987).

Menurut Zurina Ismail (1978), Mahsuri adalah anak kepada Pandak Maya, seorang penduduk kampung yang miskin. Isterinya bernama Mak Endang Alang. Tambahnya lagi, satu kejadian aneh telah berlaku ke atas keluarga ini sebelum kelahiran Mahsuri. Kehidupan Pandak Maya tiba-tiba bertukar menjadi kaya-raya. Kekayaan yang diperolehinya itu adalah hasil daripada jualan sarang burung layang-layang yang dijumpainya dalam sebuah gua.

Setelah kelahiran Mahsuri dan Mahsuri mula meningkat dewasa, kecantikan Mahsuri menjadi mahsyur di seluruh Pulau Langkawi. Ramai orang lelaki yang ingin memiliki Mahsuri, baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin. Mereka benar-benar terpegun dengan kecantikan Mahsuri. Ini menyebabkan ramai anak gadis dan isteri orang cemburu dengan Mahsuri. Salah seorang daripada mereka ialah Mahura. Beliau adalah isteri kepada Datuk Seri Kerma Jaya. Mahura sangat marah apabila Datuk Seri Kerma Jaya menyatakan hasratnya ingin mengahwini Mahsuri untuk dijadikan isteri kedua. Sebagai seorang isteri, Mahura tidak mahu di madukan. Tidaklah jadi Datuk Seri Kerma Jaya mengahwini Mahsuri, sebaliknya mereka berdua ingin mengambil Mahsuri untuk dijadikan menantu. Dengan itu, Mahsuri pun dikahwinkan dengan Mat Deris anak lelaki mereka (Zurina Ismail, 1978).

Malangnya, walaupun telah bersuami dan mempunyai seorang anak lelaki (Mat Arus), Mahsuri telah difitnah oleh Mahura (Emak mentua sendiri) yang menuduh Mahsuri berlaku curang dengan Deramang. Sebenarnya, Mahura berasa iri hati dan cemburu kerana ramai orang yang datang ke rumah Mahsuri untuk mendengar Deramang bersyair dan membaca hikayat. Deramang merupakan seorang miskin dan pandai bersyair. Oleh kerana kepandaiannya dalam bersyair, Mahsuri telah menugaskan Deramang untuk menghiburkan hatinya lantaran menunggu kepulangan suaminya yang berniaga ke Siam (Zurina Ismail, 1978).

Tanpa usul periksa, Ketua Pemerintah Langkawi telah menjatuhkan hukum bunuh ke atas Mahsuri. Hukumannya ialah ditikam tombak hingga mati. Hairannya semua tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akhirnya, Mahsuri memberitahu mereka hanya tombaknya sahaja yang boleh menembusi badannya. Setelah ditikam menggunakan tombaknya, darah putih telah keluar dari jasadnya dan bukannya darah merah. Sebelum beliau ditikam, Mahsuri telah bersumpah bahawa Pulau Langkawi tidak akan aman sehingga genap 7 keturunan (Zurina Ismail, 1978).

Akibat daripada pembunuhan itu, Pulau Langkawi telah diserang oleh Siam dan habis semua jelapang padi di Padang Masirat dibakar. Datuk Kerma Jaya dan Isterinya Mahura turut terbunuh. Negeri Kedah pada masa itu huru-hara. Berlakunya perebutan kuasa di antara adinda Sultan Muhammad Jiwa dengan Sultan Muhammad Jiwa. Sultan Muhammad Jiwa meminta bantuan daripada Raja Bugis (Lima bersaudara) manakala adindanya telah meminta bantuan dari Kerajaan Siak yang dipimpin oleh Raja Kecil. Dalam peperangan itu, Sultan Muhammad Jiwa telah berjaya menewaskan adindanya (Zurina Ismail, 1978).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Zurina Ismail (1978). Kedah Darul Aman : Siri Sejarah Ringkas Tanahair. Selangor : Pelanduk Publication (M) Sdn. Bhd.




Socrates Di Fitnah Dan Dihukum Bunuh Oleh Algojo Athens

Hari ini, pengkaji menyingkap sejarah Athens yang dulunya gah tetapi dengan pemfitnaan terhadap Socrates akhirnya Athens mengalami kejatuhan selepas Socrates dihukum mati. Kisahnya bermula pada tahun 399 SM, Socrates diadili di mahkamah Athens atas tuduhan menyebarkan ajaran ketuhanan baharu yang bertentangan dengan ajaran dewa-dewa Athens (Muhammad Alexander, 2013). Tuduhan itu mendakwa bahawa Socrates adalah ejen provokasi yang merosakkan jiwa anak-anak muda. Beliau tidak mempercayai dewa-dewa yang dipercayai oleh warga kebanyakan. Sebaliknya, mempercayai dewa (daimonia) yang lain.

Socrates tampil berpidato membela diri di hadapan mahkamah Athens. Dalam pembelaan beliau, Socrates dengan yakin menunjukkan kesalahan-kesalahan penuduhnya, iaitu Miletus. Socrates mampu mematahkan setiap hujah Miletus. Socrates berjaya membuka rahsia fitnah-fitnah yang ditujukan kepada beliau. Akan tetapi, akibat daripada plot jahat yang dirancang sejak awal oleh Miletus dan sekutunya, Anytus, serta barisan orang yang sakit hati kepada Socrates, maka kesudahan perbicaraan itu adalah hukuman mati ke atas Socrates (Muhammad Alexander, 2013).

Keputusan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Socrates melalui dua tahap undian. Tahap pertama, suara-suara yang setuju menjatuhkan hukuman mati kepada Socrates adalah seramai 280 orang. Socrates kemudian membela diri lagi. Kemudian, sekali lagi undian dibuat. Dalam undian kali kedua ini, majoriti juri yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Socrates berjumlah 360 orang (meningkat 80 orang). Akhirnya, tepat pada musim bunga tahun 399 SM, Socrates meninggal dunia dengan dihukum minum racun oleh algojo Athens (Muhammad Alexander, 2013).

Kematian Socrates diikuti dengan kehancuran armada laut Athens ketika melawan pakatan Sparta dan Corinthia. Kekalahan ini berlaku 12 tahun selepas Socrates dihukum mati oleh rejim demokrasi Athens. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Socrates mendapat balasan setimpal, seperti mana yang pernah diramal Socrates sendiri ketika beliau membela diri di hadapan hakim Athens (Muhammad Alexander, 2013).

"Aku memperingatkan kamu semua, para hakim pembunuhku. Aku bersumpah, sejurus selepas aku dihukum mati, maka akan berlaku pembalasan ke atas kamu semua yang jauh lebih kejam berbanding hukuman yang kalian berikan kepadaku." (Plato, Apology, 39c).


Rujukan :

Muhammad Alexander (2013). Menyingkap Rahsia Ahli Falsafah Agung Yunani : Luqmanul Hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam. Kuala Lumpur : BS Print Sdn. Bhd.



Friday, 20 September 2013

Viking Di Iceland

Hari ini, pengkaji menelusuri pula kisah Orang Viking di Iceland. Iceland atau lebih dikenali sebagai Republik Iceland merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Atlantik Utara (The World Fact Book, 2006). Jumlah keluasan Pulau tersebut dianggarkan 103 000 km persegi. Ibu negaranya adalah Reykjavik.

Sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, jumlah penduduk di Iceland dianggarkan 800 000 orang penduduk. Asal-usul kebanyakan Orang Iceland wujud sejak penempatan awal Orang Viking, walaupun bukti sejarah dan genetik menunjukkan Orang Irish memberikan sumbangan besar kepada takungan gen negara tersebut. Sejauh mana kebenarannya ? Tetapi sesetengah Orang Iceland berkata, mereka merupakan kacukan Orang Iceland dan Orang Viking (Kevin Davies, 2001).

Antara watak Viking yang paling terkenal dalam tradisi Iceland ialah Egil Skallagrimsson, yang lahir pada tahun 910. Beliau merupakan seorang penyair purba Viking, pembunuh, pemabuk dan seorang peladang. Menurut Kevin Davies (2001) lagi, Egil seorang yang panas baran dan perangainya itu telah kelihatan seawal usianya 6 tahun apabila beliau mengejar seorang budak lelaki dalam permainan bola sepak di Iceland. Egil meluru menangkapnya dan menghayunkan kapak di kepala budak tersebut sehingga menembusi otaknya. Egil juga pernah mengorek mata Armod sehingga keluar dengan jari dan membiarkannya terjuntai dipipi Armod dalam satu pertandingan meminum arak.

Kedudukan Egil dalam sejarah Iceland memang terpelihara. Kini, 1000 tahun dan lebih daripada 30 generasi kemudian, keturunan Egil kembali ke tanah tumpah darahnya untuk menempa namanya dalam sejarah. Jika berjaya, beliau akan mencipta kisah unggul dalam sejarah Viking (Kevin Davies, 2001).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Kevin Davies (2001). Merungkai Genom. Selangor : Percetakan Warni sdn. Bhd.

The World Fact Book (2006). ______________ .



Monday, 9 September 2013

MNLF : Diasaskan Oleh Nur Misuari (Bajak Laut / Balangingi).

Hari ini, pengkaji menceritakan pula tentang MNLF. Menurut Stephen E. Atkins (2004) :


Nur Misuari was the leader of the Moro National Liberation Front (MNLF) during its revolt against the Philippines government. He was born 1932 in Jolo, Philippines, to a poor Tausug Fisherman (Bajak Laut). Despite this background, Nur Misuari a good student and it allowed him access to a good eduction. Nur Misuari became a political science professor at the University of the Philippines. In 1972, he formed the Moro (MNLF) to fight for a separate Islamic state in the southern Philippines. After a cease-fire with the Philippines government in 1977, Nur Misuari left the MNLF and moved to the friendly Muslim countries of Saudi Arabia and Libya until 1986. He then returned to the Philippines and resumed control of the MNLF. Over the next decade the MNLF waged a military war against the Philippine government. In 1986, he negotiated a peace agreement and limited Muslim self-rule. However, the peace agreement failed and he went to exile once again.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Stephen E. Atkins (2004). Encyclopaedia of Modern. America : Printed In The United States of America.



Ramai Mengaku Sultan Sulu

Hari ini, pengkaji singgah pula ke Sulu. Jika dilihat daripada senarai waris-waris yang menuntut takhta Sultan Sulu, waris keluarga Kiram paling ramai berebut-rebut mengangkat diri sendiri menjadi Sultan Sulu (Mohamed Radzi, 2013). 

Walaupun Kesultanan Sulu tidak lagi wujud dan diiktiraf oleh mana-mana negara sebagai kerajaan yang berdaulat, ramai individu terus menuntut takhta sebagai Sultan Sulu dengan mengemukakan pelbagai dokumen bagi menyokong dakwaan dan tuntutan mereka (Mohamed Radzi, 2013). Ini merujuk kepada perjanjian pada tahun 1878 di antara Sultan Jamalul Alam dengan British North Borneo Company. Berikut adalah isi kandungan perjanjian tersebut :

"Ditanah besar Pulau Berunai dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah-tanah di sebelah barat sampai sepanjang tanah-tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan yang termasuk sekalaian jajahan-jajahan di pantai Sungai Pandasan dan pesisir Paitan dan Sugut dan Bonggaya dan Labok dan Sandakan dan Kinabatangan dan Mumiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan dan pesisir-pesisir di sebelah selatannya itu di pantai Teluk Darvel sampai Sungai Sibuku bersama-sama sekalian pulau-pulau yang termasuk dalamnya itu sejauh sembilan batu dari tepi laut."

Pajakan yang dikurniakan Sultan Sulu itu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian 'selagi ada bintang dan cakerawala'. Dengan kedua-dua perjanjian Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara, mahupun sebuah kerajaan tetapi hanya sebagai sebuah institusi beraja tanpa kekuasaan (Mohamed Radzi, 2013). Perjanjian ini ditandatangani selepas satu perjanjian awal antara Sultan Jamalul Alam dengan Gustavus Baron De Overback serta Alfred Dent yang mewakili BNBC British North Borneo Company pada 22 Januari 1878. Protokol ini kemudiannya diiktiraf sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa 2003 (Mohamed Radzi, 2013).

Selepas itu, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Jamalul Kiram II dengan Sepanyol pada tahun 1885. Perjanjian inilah menyaksikan terhapusnya Kesultanan Sulu di mana beliau telah bertindak menyerahkan wilayah, kerajaan dan kedaulatannya kepada Sepanyol. Kemudian, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di antara Jamalul Kiram II dengan Amerika iaitu Perjanjian Carpenter pada tahun 1915.

Antara mereka yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa Sultan Sulu ialah :
  1. Sultan Bantilan Muhammad Muizuddin II : Beliau berjaya menghimpunkan puluhan ribu penyokongnya di Jolo, beliau diangkat menjadi Sultan Sulu pada tahun 2009 oleh rakyatnya di Jolo dengan cara aman.
  2. Ismael Kiram II : Beliau mendakwa sebagai Sultan Sulu yang ke-35. Beliau mengemukakan memorandum order 427 of 1974, di mana bekas Presiden Ferdinand Marcos telah mengiktiraf bapanya, Sultan Mahakuttah A.Kiram, sebagai Sultan Sulu.
  3. Datu Mohammad Akjan : Seorang lagi penuntut ialah Datu Mohammad Akjan seorang peniaga dari Malaysia mendakwa sebagai Sultan Sulu ke-33 pada tahun 2011. Selain mereka, Datu Abdul Rajak Aliudin dan Datu Seri Putra Eddy T. Sulaiman turut mendakwa mereka adalah Sultan Sulu.
Oleh itu, Blog Tongkat Besi juga turut tidak bersetuju dengan tindakan pencerobohan di Lahad Datu yang berlaku sebelum PRU ke-13 yang dipimpin oleh Sultan Kiram III. Namun begitu, siapakah waris sebenar Kesultanan Sulu ? dan siapakah yang memiliki Pulau Janggi ? Persoalan yang timbul seterusnya ialah mengapa Sultan Kiram III menuntut Sabah sedangkan Kesultanan Sulu sudah tidak wujud lagi dan siapakah orang ketiga yang terlibat dalam pencerobohan tersebut ? 

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Mohamed Radzi (2013). Majalah Variasi. Selangor : KUM Printers Sdn. Bhd.



Saturday, 7 September 2013

Tongkat Besi : Tak Ada Akaun FACEBOOK

Hari ini, Pengkaji ingin memberitahu kepada Rakan-Rakan Blogger bahawa Tongkat Besi tidak mempunyai Akaun FACEBOOK, TWITTER dan INSTAGRAM. Jadi, sesiapa yang membuat penyamaran nama itu saya menyeru agar si penyamar pulang ke pangkal jalan.


Oleh : Tongkat Besi



Friday, 6 September 2013

Apa Itu Yahudi, Israel, Zionisme dan Judais ?

Hari ini, pengkaji terbang ke Negara Israel pula untuk menyingkap sejarahnya. Kali ini pengkaji menampilkan tentang apa itu Yahudi, Israel, Zionisme dan Judais ? Menurut Ibnu Yaacob (2010), Yahudi dan Judais adalah dua perkara yang berbeza. Yahudi bukanlah merujuk kepada agama. Yahudi adalah suatu bangsa. Manakala agama bagi Yahudi itu ialah Agama Judais yang diamalkan sehingga sekarang.

Mengikut kepercayaan masyarakat Yahudi, agama Judais dibawa oleh Abraham (Nabi Ibrahim a.s) yang mana berdasarkan pendapat mereka bahawa Abraham itu dianggap bapa kepada seluruh keturunan Yahudi walaupun hakikatnya ia menyimpang dengan ahli sejarah (Ibnu Yaacob, 2010). Menurutnya lagi, walaupun mereka berpendapat Abraham sebagai pengasas agama Judais, tetapi kitab rasmi yang digunakan ialah Kitab Taurat yang dibawa oleh Moses (Nabi Musa a.s). Selain dari Kitab Taurat, mereka juga berpegang kepada Kitab Talmud yang dihasilkan sendiri oleh Rabbi-Rabbi mereka. Kitab Talmud lebih meluas penggunannya berbanding Kitab Taurat kerana Talmud mencakupi segala adat-istiadat kehidupan seharian masyarakat Yahudi walaupun pada hakikatnya ia sudah menyimpang dari ajaran sebenar Nabi Musa a.s.

Perkataan Israel pula merujuk kepada satu gelaran yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Yaakub a.s. Menurut Imam Al-Khazim dalam kitabnya yang bertajuk Lubab at-Takwil menyatakan :

Para ahli tafsir bersepakat bahawa Israel adalah Yaakub (Nabi) Bin Ishak Bin Ibrahim, selawat dan salam Allah ke atas para nabi sekalian.

Pendapat ini juga disandarkan pada petikan dalam Surah Al-Imran ayat 63 yang bermaksud :

Semua makanan adalah halal kepada Bani (keturunan) Israel kecuali apa yang Israel haramkan ke atas dirinya sebelum diturunkan Taurat.

Mengikut kepercayaan kuno Yahudi pula, Nabi Yaakub dianugerahkan gelaran Israel kerana Nabi Yaakub berjaya menewaskan Tuhan Tahweh (nama Tuhan Yahudi) semasa tuhan turun ke bumi. Menurut mereka, perkataan Isra' bermaksud hamba manakala el adalah singkatan dari perkataan elohem yang bermakna tuhan (Ibnu Yaacob, 2010). Disamping itu, Israel juga merujuk kepada 'negara' bangsa Yahudi.

Zionisme pula bermaksud satu dasar atau pergerakan politik yang bertujuan menegakkan sebuah negara Yahudi di Palestin (Kamus Dewan, 2010).

Oleh yang demikian, perencanaan Yahudi-Zionis dalam usaha menghancurkan umat Islam dan risalah tauhid para nabi telah diberitakan Allah hampir keseluruhan juz Al-Quran. Kelompok kuffar yang sangat minoriti ini boleh dikatakan berjaya mencengkam dunia dengan kuku-kuku kediktatoran mereka (Ibnu Yaakob, 2010).

Hakikatnya, kesemua penonjolan simbol-simbol dan perencanaan genius mereka adalah satu cabaran dan dugaan kepada kaum muslimin agar terus melipat gandakan lagi usaha ke arah menangkis segala bentuk konspirasi Yahudi. Dan sudah pastinya dalam usaha itu, ia memerlukan sifat sabar dan taqwa yang sangat tinggi dikalangan umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Imran ayat 111 :

"Mereka kaum Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan-ejekan dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas). Dan jika memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan (kalah dengan sehina-hinanya) sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan,"

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ibnu Yaacob (2010). Rahsia Simbol Yahudi. Pulau Pinang : ES Publisher Sdn. Bhd.

Kamus Dewan (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.