Hari ini, pengkaji menceritakan pula tentang tajuk di atas. Menurut filosopis liberal-individualistik-klasik Barat, Jean Jacques Rousseau, dalam karyanya, Du Contract (1762), kebebasan perlu dikawal kerana kebebasan tanpa batasan, akan membawa kepada kehancuran.
Menurut pandangan Mohammad Kamil Abdul Majid (2010), peperangan utama yang perlu dihadapi oleh gerakan dakwah, harakah dan kebangkitan Islam pada zaman sekarang ialah peperangan melawan kebebasan yang tidak terbatas. Oleh itu, mereka yang ingin menegakkan Islam harus membentuk satu barisan untuk berjuang sekali gus mempertahankan konsep kebebasan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t.
Menurut Yusuf Al-Qaradhawi pula, beliau berpendapat bahawa kebebasan politik merupakan salah satu keutamaan yang diperlukan pada zaman sekarang. Islam tidak akan bangkit, dakwahnya tidak akan tersebar dan penyakitnya akan terus merebak kecuali jika ia diberi kebebasan. Namun, kebebasan yang diberikan mestilah yang tidak terbatas dan mempunyai peluang kepadanya untuk berjalan seiring dengan fitrah manusia seperti memperdengarkan azan dan pelbagai lagi kegiatan yang boleh meningkatkan syiar Islam.
Tambahnya lagi, apa yang menimpa umat Islam dan dakwahnya pada zaman sekarang adalah kerana sistem yang dilaksanakan oleh pemerintah berasal dari sistem autokrasi yang menyekat kebebasan manusia dengan sempadan pangkat kehormatan dan harta benda. Dalam kehidupan mereka, syariat Islam disingkirkan, sekularisme diterapkan dan manusia disogok dengan westernisasi yang semuanya dilakukan dengan menggunakan kekerasan dan tekanan. Sebaliknya dakwah dan harakah Islam dihancurkan, para da'i diancam, sedangkan yang menyimpang tetap dibiarkan menyimpang, dan anggota masyarakat mesti tunduk kepada sistem autokrasi dengan berselindung di sebalik demokrasi yang palsu. Hal ini sesuai dengan senario yang sudah dirangka sebegitu rupa dengan menggunakan pelbagai kekuatan untuk memusuhi Islam dengan berhujah di sebalik undang-undang.
Kesimpulannya, Yusuf Al-Qaradhawi berpendapat bahawa apa yang diharapkan daripada sistem demokrasi ialah ciri-cirinya sebagai kaedah yang mudah untuk menyeru kepada Allah s.w.t dan kepada agama Islam. Di samping tujuan ini, ia juga memastikan seluruh anggota masyarakat memperoleh kehidupan yang bebas dan terhormat, iaitu bebas memilih pemimpin yang baik dan menggantikan dengan orang lain jika mereka menyeleweng tanpa mengorbankan revolusi atau melibatkan pertumpahan darah. Inilah sebenarnya demokrasi yang sangat diharapkan. Selain itu, sistem syura Islam dilihat mempunyai roh yang serupa dengan roh demokrasi, atau boleh juga dikatakan bahawa sistem demokrasi sama dengan roh syura yang diamalkan oleh Islam.
Rujukan :
Mohammad Kamil Abdul Majid, Norafifah Abdul Hamid & Norhidayah Mohammad (2010). Sayyid Qutb : Cetusaan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jean Jacques Rousseau (1762). Du Contract. _____________________________ .