Hari ini, pengkaji menyingkap sejarah Athens yang dulunya gah tetapi dengan pemfitnaan terhadap Socrates akhirnya Athens mengalami kejatuhan selepas Socrates dihukum mati. Kisahnya bermula pada tahun 399 SM, Socrates diadili di mahkamah Athens atas tuduhan menyebarkan ajaran ketuhanan baharu yang bertentangan dengan ajaran dewa-dewa Athens (Muhammad Alexander, 2013). Tuduhan itu mendakwa bahawa Socrates adalah ejen provokasi yang merosakkan jiwa anak-anak muda. Beliau tidak mempercayai dewa-dewa yang dipercayai oleh warga kebanyakan. Sebaliknya, mempercayai dewa (daimonia) yang lain.
Socrates tampil berpidato membela diri di hadapan mahkamah Athens. Dalam pembelaan beliau, Socrates dengan yakin menunjukkan kesalahan-kesalahan penuduhnya, iaitu Miletus. Socrates mampu mematahkan setiap hujah Miletus. Socrates berjaya membuka rahsia fitnah-fitnah yang ditujukan kepada beliau. Akan tetapi, akibat daripada plot jahat yang dirancang sejak awal oleh Miletus dan sekutunya, Anytus, serta barisan orang yang sakit hati kepada Socrates, maka kesudahan perbicaraan itu adalah hukuman mati ke atas Socrates (Muhammad Alexander, 2013).
Keputusan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Socrates melalui dua tahap undian. Tahap pertama, suara-suara yang setuju menjatuhkan hukuman mati kepada Socrates adalah seramai 280 orang. Socrates kemudian membela diri lagi. Kemudian, sekali lagi undian dibuat. Dalam undian kali kedua ini, majoriti juri yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Socrates berjumlah 360 orang (meningkat 80 orang). Akhirnya, tepat pada musim bunga tahun 399 SM, Socrates meninggal dunia dengan dihukum minum racun oleh algojo Athens (Muhammad Alexander, 2013).
Kematian Socrates diikuti dengan kehancuran armada laut Athens ketika melawan pakatan Sparta dan Corinthia. Kekalahan ini berlaku 12 tahun selepas Socrates dihukum mati oleh rejim demokrasi Athens. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Socrates mendapat balasan setimpal, seperti mana yang pernah diramal Socrates sendiri ketika beliau membela diri di hadapan hakim Athens (Muhammad Alexander, 2013).
"Aku memperingatkan kamu semua, para hakim pembunuhku. Aku bersumpah, sejurus selepas aku dihukum mati, maka akan berlaku pembalasan ke atas kamu semua yang jauh lebih kejam berbanding hukuman yang kalian berikan kepadaku." (Plato, Apology, 39c).
Rujukan :
Muhammad Alexander (2013). Menyingkap Rahsia Ahli Falsafah Agung Yunani : Luqmanul Hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam. Kuala Lumpur : BS Print Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment