Saturday, 17 August 2013

Tercetusnya Tiga Golongan Di Zaman Khulafa-Rasyidin

Hari ini, pengkaji meninjau kisah sejarah lampau pada zaman Khulafa-Rasyidin bagaimana tercetusnya aliran Syiah yang semakin menular dan membimbangkan pada hari ini. Menurut Hj. Dusuki Hj. Ahmad (1983), kisahnya bermula apabila berlakunya pembunuhan Khalifah Islam yang ke-3 iaitu Saidina Osman dan perlantikan Saidina Ali sebagai khalifah yang ke-4. Peristiwa pembunuhan ini telah menimbulkan perselisihan dan perang saudara yang menjadikan Saidina Ali sibuk menghalangnya daripada mengadakan sebarang sumbangan yang membina sepanjang waktu pemerintahannya selama lima tahun. Daerah Syam yang dikuasai oleh Muawiyah bin Abu Sufian yang menganggap bahawa perlantikan Saidina Ali itu tidak sah kerana Muawiyah menuduh Saidina Ali adalah antara mereka yang bertanggungjawab di atas pembunuhan Khalifah Osman. 

Sebaik sahaja Saidina Ali bin Abu Talib dilantik sebagai Khalifah yang ke-4, beliau terus bertindak  tegas memberhentikan semua gabenor yang dilantik oleh Khalifah Osman. Alasannya bahawa salah satu daripada sebab-sebab mengapa orang ramai berasa tidak puas hati dengan pemerintahan Khalifah Osman ialah langkahnya melantik sebilangan besar keluarganya sendiri memegang jawatan penting dalam pentadbirannya (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983). Tindakan Khalifah Ali ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan setengah rakyat dan sahabat-sahabat, terutamanya bagi mereka yang ada hubungan keluarga dengan Khalifah Osman dan mereka yang masih bersimpati dengan tragedi pembunuhan itu. Tindakannya itu mengikut pandangannya sahaja tanpa meminta fikiran dan nasihat dari sahabat-sahabat yang terkemuka pada zamannya. Ini juga merupakan satu kesempatan yang baik bagi mereka yang sudah lama ada perbalahan peribadi dengan Khalifah Ali untuk bertindak.
  1. Penentangan Aisyah - Sahabat-sahabat seperti Talhah dan Al Zubir telah mengambil kesempatan di atas tindakan itu. Mereka berpindah ke Mekah dengan alasan hendak mengerjakan Haji. Di Mekah mereka membuat pakatan dengan Aisyah. Gerakan mereka ini mendapat sokongan ramai daripada orang Mekah, terutamanya Bani Umayyah. Pusat pergerakan mereka ini akhirnya berpindah ke Basrah, kemudian mempengaruhi pemimpin-pemimpin di sana antaranya Al-Munzir, Al-Ahnaf dan lain-lain lagi (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  2. Penentangan Muawiyah - Salah seorang yang terlibat dengan tindakan Khalifah Ali ini ialah Muawiyah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang kuat di Syam. Muawiyah menyusun satu barisan tentera yang besar dan melakukan penentangan yang hebat. Beliau melakukan demikian dengan alasan menuntut Khalifah Ali agar menjatuhkan hukuman ke atas penderhaka-penderhaka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan Khalifah Osman  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983). Khalifah Ali menolak tuntutan itu tetapi memberi kesanggupan akan menyiasat apabila umat Islam terlebih dahulu membulatkan taatsetia mereka kepada Khalifah. Muawiyah tidak puas hati dengan alasan yang diberi. Beliau mengambil keputusan menentang Khalifah Ali secara sungguh-sungguh dengan tuduhan Khalifah Ali berkomplot dengan pembunuhan Khalifah Osman dan mendakwa Khalifah Ali membiarkan pembunuh itu berada dalam pasukan tenteranya. Sebenarnya tuduhan Muawiyah itu hanya merupakan alasan secara langsung sahaja untuk dijadikan sebab baginya melakukan pemberontakan (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
Akibatnya, terjadilah Perang Saudara pada zaman pemerintahan Khalifah Ali iaitu Perang Jamal dan Perang Saffin. Juga terjadinya Perundingan Tahkim. Setelah berlakunya Rundingan Tahkim di mana Saidina Ali dan Muawiyah terlucut dari jawatan masing-masing, kemudian menyerahkan  sahaja soal  pemilihan Khalifah itu kepada orang ramai. Dengan berlakunya  perundingan tahkin ini jelas sekali bahawa tujuannya bukan kerana mencari penyelesaian dan kesefahaman tetapi ia  adalah helah Muawiyah untuk menghindarkan kekalahan mereka di tangan tentera Saidina Ali. Langkah ini merupakan  satu tamparan hebat buat kepada Saidina Ali. Peluang untuknya  mencapai kemenangan yang pasti di Medan perang telah luput. Langkah ini juga telah menyebabkan pecah-belah dan kekacauan dikalangan tenteranya (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  1. Golongan Syiah - Golongan ini pro, kasih dan menyanjung Saidina Ali. Mereka mahu supaya Saidina Ali menjadi Khalifah sejak zaman Abu Bakar lagi. Mereka berpendapat bahawa Saidina Ali dan keturunannya sahaja yang berhak dan mewarisi takhta Khalifah. Mereka mengenali jawatan Khalifah dengan nama Imamah. Pada pandangan mereka, Saidina Ali adalah imam yang pertama kerana beliau adalah menantu Rasulullah yang menurunkan keturunan baginda. Kemudian jawatan imam itu turun kepada anaknya iaitu Imam Hassan dan Imam Hussien. Golongan Syiah ini sentiasa patuh kepada imamnya, bukan sahaja dari aspek politik, bahkan melibatkan aspek-aspek ibadat dan aqidah. Di samping itu, mereka juga mengembangkan satu dasar yang disebut taqiah yang bererti bahawa mereka diizin menyembunyikan watak mereka yang sebenar ketika berhadapan dengan ancaman musuh kerana sifat-sifat ganas dan kejam yang dilakukan oleh Kerajaan Umayyah terhadap mereka terutamanya keturunan Saidina Ali  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  2. Golongan Khawarij - Golongan ini pula mereka membenci dan marah kepada Saidina Ali, Muawiyah dan Amru Ibnul Al-As. Mereka bercita-cita dan berusaha hendak membunuh ketiga-tiga pemimpin yang terlibat dalam perundingan Tahkim. Dengan terbunuhnya mereka ini, maka satu susunan politik yang baharu bagi mewujudkan sebuah kerajaan islam yang kukuh dan gagah dapat dilaksanakan. Muawiyah telah kufur kepada Tuhan kerana menuntut jawatan khalifah kepada dirinya secara kekerasan. Saidina Ali pula terlibat dengan kekufuran itu kerana menerima tawaran  damai melalui perundingan Tahkim yang dianjurkan oleh Muawiyah. Dan Amru Ibnul Al-As pula kufur kerana merancang perundingan tersebut. Begitulah pendapat Golongan Khawarij ini. Pendapat mereka yang paling agresif sekali ialah mempertahankan kebaikan Islam hendak dilakukan walaupun secara kekerasan (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  3. Golongan Ahli Sunnah / Sunni - Golongan ini pro kepada Muawiyah yang berpendapat bahawa jawatan Khalifah dalam Islam bukanlah suatu perkara yang diwarisi seperti harta pusaka. Khalifah hendaklah dipilih dari orang ramai yang cukup syaratnya dengan tidak membezakan antara seorang dengan yang lain. Mereka juga berpendapat  bahawa perselisihan dikalangan sahabat-sahabat adalah semata-mata suatu perkara ijtihad. Ertinya perselisihan ini tidaklah merupakan suatu perkara asasi yang merosakkan iman. Walau pun mereka bersimpati dengan tuntutan Golongan Syiah ini terhadap jawatan Khalifah, tetapi mereka menyokong orang yang berkuasa dan memusatkan minat kepada pelaksanaan ibadat dan pengajian agama. Golongan As-Sunnah ini berpegang kepada Sunnah (Hadith) dan Al-quran serta amalan-amalan Rasulullah s.a.w  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera,


Rujukan :

Haji Dusuki Haji Ahmad (1983). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment