Monday, 11 November 2013

Nabi Ibrahim a.s Berdebat Dengan Hakim dan Raja Namrud

Nabi Ibrahim a.s merupakan anak kepada Azar Bin Sam Bin Nuh. Nama sebenar ayahnya ialah Tarikh Bin Sam. Ayahnya terkenal dengan gelaran Azar kerana pekerjaannya mengukir patung berhala yang dijadikan penyembahan mereka (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Menurut Muhammad Abdul Wahab (2011) lagi, Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada tahun 2295 sebelum masihi, dinegeri Mausul, Palestin pada zaman Raja Namrud. Beliau seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada satu kaum di negara Iraq pada ketika itu dikuasai oleh Raja Namrud. Tambahnya lagi, Raja Namrud mengamalkan pemerintahan tanpa sebarang kecundang sebagaimana situasinya ketika itu. Raja Namrud seorang raja yang zalim dan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kaum Raja Namrud mempercayai dan mengamalkan penyembahan berhala. Nabi Ibrahim a.s menyeru mereka untuk menyembah Tuhan yang sebenarnya.

Setelah Nabi Ibrahim memulakan dakwahnya dalam menegakkan syiar Islam, beliau kemudiannya merencanakan sesuatu sebagai membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar. Beliau menyatakan bahawa berhala dan patung-patung mereka benar-benar tidak berguna bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri (Muhammad Abdul Wahab, 2011). Ketika kaum Raja Namrud mengadakan pesta dan tempat penyembahan mereka ditinggalkan seketika, pada masa itu Nabi Ibrahim mengambil kesempatan untuk menghancurkan patung-patung berhala mereka. Beliau kemudian menendang dan menampar patung berhala tersebut lalau dihancurkannya. Beliau memotong patung tersebut dengan kapak yang berada digenggamannya (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Selepas peristiwa tersebut, terdapat individu yang mengetahui bahawa Nabi Ibrahim memasuki perkarangan itu. Keterangan tersebut disampaikan kepada Raja Namrud. Akhirnya, Nabi Ibrahim a.s dihadapkan ke muka pengadilan.

Hakim Mahkamah : Apakah engkau yang menghancurkan dan merosakkan Tuhan-Tuhan penyembahan kami ?
Nabi Ibrahim : Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu, siapakah yang menghancurkannya ?
Hakim mahkamah : Engkau telah mengetahui bahawa patung-patung itu tidak mampu bercakap atau berkata-kata, mengapa engkau minta kami untuk bertanya kepadanya ?
Nabi Ibrahim : Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manafaat atau menolak kemudaratan, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan ? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu dan menciptakan alam ini ?
Hakim Mahkamah : Selepas Nabi Ibrahim berpidato, akhirnya hakim telah memutuskan bahawa Nabi Ibrahim mesti dibakar hidup-hidup kerana menghina Tuhan mereka dan menghancurkan Tuhan mereka. 

Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim a.s terselamat daripada api yang panas itu dengan izin dan kekuasaan Allah s.w.t. Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Wahai api! Jadilah engkau sebagai dingin dan selamatkan Nabi Ibrahim." (Surah al-Anbiya : ayat 59)

Selepas peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s. dan terselamatnya Nabi Ibrahim, sekali lagi Raja Namrud telah berdebat dengan Nabi Ibrahim. Berikut adalah perdebatan antara mereka berdua :

Raja Namrud : Ibrahim! Siapakah yang menjadikan alam ini ?
Nabi Ibrahim : Alam ini merupakan kurniaan Zat yang dapat menghidupkan dan mematikan serta berkuasa atas segala-galanya. 
Raja Namrud : Aku juga berkuasa, barang siapa yang aku perintahkan untuk membunuhnya, maka matilah ia, dan apabila aku tidak bunuh ia, maka hiduplah ia.
Nabi Ibrahim : Tuhan kami ialah yang menerbitkan matahari dari sebelah timur, maka cubalah kamu putar terbitannya dari arah barat.

Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu, Raja Namrud tercengang dan tidak dapat menjawab. Akhirnya Raja Namrud dan pengikutnya menerima azab Allah dengan didatangi nyamuk yang sangat banyak tidak terkira. Raja Namrud sendiri dimasuki nyamuk hingga ke lubang telinganya sampai mati. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Muhammad Abdul Wahab (2011). Kisah Hidup 25 Nabi dan Rasul. Selangor : Berlian Publications Sdn. Bhd.



Rahsia Kematian : Nikmat dan Azab Kubur


Menurut Ahmad Adnan Fadzil (2012), kematian di dunia adalah permulaan kepada kehidupan di alam barzakh. Tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenarnya melainkan Allah s.w.t. Berita-berita kedahsyatan kiamat kecil ini serta gegak gempitanya, kehidupan di alam barzakh hanyalah bersandarkan daripada mutiara-mutiara hadis baginda Nabi Muhammad s.a.w yang berbicara dengan panduan wahyu ilahi. 

Menurutnya lagi, tiada siapa boleh menceritakan betapa sakitnya saat kematian kerana mereka sudah berpindah ke alam yang lain. Tiada siapa juga boleh mengkhabarkan keadaan di alam barzakh kerana mereka sudah tidak boleh kembali ke alam fana ini. Justeru, manusia tiada pilihan lain melainkan beriman dan meyakini perkara ini dengan pertimbangan mata hati, bukannya hawa nafsu.

Antara sebahagian nikmat-nikmat yang diperolehi bagi orang-orang yang beriman setelah mati menurut Ahamd Adnan Fadzil (2012) adalah :
  1. Diluaskan kubur sehingga 70 hasta daripada segenap arah atau diluaskan sejauh mata memandang
  2. Disediakan untuknya hamparan dari syurga
  3. Dibukakan satu pintu pada kuburnya dari syurga
  4. Kubur dipenuhi dengan bau-bauan yang wangi
  5. Dijadikan kubur sebagai taman dari taman syurga
  6. Diterangi kubur mereka
  7. Ditemani oleh amalan-amalan kebaikan
Manakala, ini pula sebahagian daripada bentuk-bentuk azab seksaan kubur bagi orang-orang yang tidak beriman :
  1. Memukul kepala mereka sendiri dengan batu
  2. Memakai pakaian koyak-rabak dan makan umpama haiwan ternakan
  3. Dihidang daging yang elok dan daging yang busuk tetapi mereka memilih daging yang busuk
  4. Ahli kubur didedahkan kepada bahang api neraka setiap hari iaitu pada waktu pagi dan petang
  5. Disediakan untuknya hamparan daripada api neraka
  6. Kubur disempitkan hingga tulang-tulang rusuk saling bersilang
  7. Ditemani seorang lelaki yang berwajah buruk dan berbau busuk
  8. Didatangkan 99 ekor ular yang berbisa dan menggerunkan
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera. Wallah hu alam bisawab.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.




Wednesday, 6 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya V : Mesir


Kota Fayoum terletak lebih kurang 90 km dari bandar Kaherah. Kota Fayoum merupakan daerah tertua di Mesir (A. Azizan, 2013). Nabi Yusof a.s. merupakan orang yang membangunkan Kota Fayoum, Mesir. Beliau membangunkan kota tersebut berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t untuk menyelamatkan Mesir yang dilanda musim kemarau selama 7 tahun. 

Kota Fayoum adalah antara 2 buah kota yang dibangunkan berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t selain Mekah melalui Nabi Ibrahim a.s. Kota Fayoum ini juga telah menjadi saksi kesombongan dan ketamakan Qarun yang ditelan bumi (A. Azizan, 2013). Selain itu, kincir air yang dicipta oleh Nabi Yusof berada di kota ini. Idea untuk membuat kincir ini ketika Nabi Yusof diperintah oleh Allah s.w.t untuk menangani masalah musim kemarau selama 7 tahun. Jumlah kesemua kincir air yang terdapat di kota tersebut sebanyak 200 buah.

Kincir tersebut dikatakan telah wujud semenjak zaman Nabi Yusof dan ribuan tahun yang lalu. Kincir tersebut masih utuh dan berfungsi sehingga ke hari ini. Ia berfungsi untuk mengalirkan air sungai ke kawasan-kawasan pertanian di sekitarnya sebelum dibangunkan bandar Fayoum. Apa yang menarik tentang kincir air tersebut ialah ia berfungsi menggunakan kuasa air sungai yang mengalir di bawahnya (A. Azizan, 2013).

Nabi Yusof a.s. berjaya mengalirkan air dari Sungai Nil yang jaraknya 100 km ke kawasan ini. Ada beberapa saluran air yang dialirkan ke daerah pertanian seluas 340 000 hektar di Kota Fayoum. Perintah untuk merancakkan pertanian sebelum tiba musim kemarau yang berpanjangan hasil dari tafsiran mimpi raja yang mengangkat Nabi Yusof sebagai menteri pertanian dan kewangan yang berpengaruh di Mesir jika dipadankan jawatannya pada zaman sekarang (A. Azizan, 2013).

Dengan kebijaksanaan yang Allah s.w.t berikan kepada Nabi Yusof, kemarau selama 7 tahun itu berjaya dilalui sedangkan negara-negara sekeliling mereka berada dalam keadaan krisis yang teruk. Kemarau tersebut telah mempertemukan semula Nabi Yusof dengan ayahnya dan adik-beradiknya yang terpisah sejak dari kecil (A. Azizan, 2013). Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Ladybug Publishing and Distribution.



Tuesday, 5 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya IV : Jordan


Jordan merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat dan bersempadan dengan Syria, Iraq, Tebing Barat, Israel dan Arab Saudi. Jordan juga terletak berhampiran dengan Laut Mati dan Teluk Aqabah. Di Jordan, terdapat banyak kesan peninggalan Sejarah Islam di zaman lampau. Antaranya yang paling terkenal ialah lokasi Perang Muktah (A. Azizan, 2013).

Muktah merupakan sebuah kampung yang terletak di perbatasan Syam. Di desa yang terletak di tepi Sungai Jordan inilah terjadi peperangan antara orang-orang Arab (Islam) dengan Pakatan Arab yang beragama Nasrani yang bergabung dengan bangsa Eropah dari Empayar Rom. Secara tepatnya lokasi perang ini merupakan sebuah tempat yang berada di hujung Al-Balqa'. Inilah perang pertama umat Islam melawan bangsa Eropah yang berlaku pada sekitar tahun 629 M ketika pada akhir kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. (A. Azizan, 2013).

Menurutnya lagi, Islam bukanlah agama yang suka berperang sebagaimana yang didakwa oleh Sarjana Barat tetapi pertempuran ini bermula apabila utusan damai Rasulullah s.a.w. yang bernama Al-Harits Bin Umar telah dibunuh oleh Kaisar Rom iaitu Heraclius. Mendengar utusan damainya dibunuh, Rasulullah s.a.w. berasa sangat sedih. Nabi Muhammad s.a.w. berunding dengan para sahabat lalu diutus pasukan tentera Islam berangkat ke Syam.

Perang itu terjadi di daerah Mut'ah, Jordan. Perang bermula pada 5 Jamadil Awal tahun 8 Hijrah atau tahun 629 M. Pasukan tentera Islam yang hanya sejumlah 3000 orang tidak menyangka pasukan musuh yang akan dihadapi begitu besar jumlahnya yang dianggarkan 200 000 orang tentera (A. Azizan, 2013). Ketua Pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh Zaid Bin Haritsah r.a. telah bertempur dengan berani, menghayun pedangnya. Setelah beliau tersungkur dari kudanya kerana kudanya telah ditombak, Zaid r.a. gugur apabila beliau di penggal oleh pihak lawan. Pimpinan perang diambil ailh oleh Ja'afar Bin Abu Thalib yang bertempur dengan gagahnya sambil memegang bendera pasukan tentera Islam. Saat tangan kirinya putus ditebas pihak lawan, lalu bendera yang jatuh itu dipegang dengan tangan kanannya pula. Namun tangan kanannya juga ditebas pihak lawan. Akhirnya Ja'afar gugur di medan perang.

Menurut A. Azizan (2013) lagi, jawatan Panglima tentera Islam pula dipimpin oleh Abdullah Bin Rawahah r.a. Nasibnya pun sama, beliau telah gugur sebagai Syuhada. Ketua Pasukan diambil alih oleh Singa Gurun iaitu Khalid Al-Walid. Beliau terkenal dalam strategi perang. Beliau telah menyusun dan mengatur strategi, diwujudkan rasa takut dalam diri musuh iaitu formasi pasukan diubah pada setiap hari. Pasukan di barisan hadapan ditukar ke belakang dan yang di belakang ditukar ke depan. Pasukan sayap kanan berganti di posisi kiri dan begitulah sebaliknya. Dengan berganti posisi yang bertujuan agar tentera Rom menganggap pasukan tentera Islam sentiasa mendapat bantuan dan mengelirukan pihak musuh. Strategi ini berhasil apabila pasukan tentera Islam dapat berundur dan pasukan tentera Rom tidak berani mengejarnya. Setelah berhari-hari berperang, akhirnya perang berhenti tanpa ada yang menang. Di pihak tentera Islam gugur seramai 12 orang, namun tidak tercatat jumlah yang mati dipihak Rom. Jika dilihat gigihnya perjuangan tentera-tentera Islam, dipercayai ramai tentera musuh yang telah terkorban. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution. 



Monday, 4 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya III : Syria


Syria merupakan negara yang banyak menyimpan kesan sejarah Islam. Tanah bumi negara inilah yang menjadi saksi kepada kisah pembunuhan pertama di muka bumi ini (A. Azizan, 2013). Menurutnya lagi, Nabi Adam a.s dan Hawa mempunyai 2 pasang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan. Qabil dengan kembar perempuannya bernama Iqlima dan Habil dengan kembar perempuannya bernama Labuda. Oleh sebab syariat agama ketika itu tidak boleh dikahwinkan dengan saudara lahirnya (dianggap satu keturunan), maka Qabil dikahwinkan dengan kembar Habil dan Habil pula dikahwinkan dengan kembar Qabil. Qabil tidak mahu menerima keputusan itu, dia mahu berkahwin dengan kembarnya iaitu Iqlima kerana kembarnya itu mempunyai rupa paras yang cantik berbanding dengan Labuda.

Nabi Adam a.s pun menyuruh kedua-dua anaknya membuat korban untuk Allah s.w.t. Korban siapa yang diterima maka dia akan berkahwin dengan Iqlima, kembar Qabil yang cantik jelita itu. Qabil melakukan korban bukan dengan niat yang ikhlas. Dia melakukannya semata-mata kerana nafsu. Sementara Habil pula melaksanakan korban dengan penuh ikhlas untuk mengikut perintah ayahnya (A. Azizan, 2013). Sudah tentulah korban Habil yang diterima dan Qabil harus berkahwin dengan Labuda, kembar Habil. Hal ini menyebabkan timbul rasa sakit hati dalam diri Qabil lalu beliau pun membunuh Habil. Kisah pembunuhan ini tercatat dalam Al-Quran, Surah Al-Mai'dah ayat 30 yang bermaksud :

"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang kerugian."

Qabil membunuh Habil kerana berebutkan seorang perempuan. Qabil memaksa Iqlima lari bersamanya, melarikan diri dari ayahnya. Adam a.s pun berkata : 

"Pergilah kamu bersama kemurkaan Allah dan kemarahanku kepada kamu dan sesiapa yang melakukan perbuatan seperti kamu akan mendapat kemurkaan yang sama dari Allah s.w.t."

Akhirnya, Qabil mendapat balasan yang sama. Dia (Qabil) dibunuh oleh anaknya sendiri dan bermulalah siri pembunuhan manusia yang berterusan di muka bumi ini hasil perbuatan pertama yang dilakukan oleh Qabil. Secara tepatnya, pembunuhan itu berlaku di Jabal Qasiyun (A. Azizan, 2013).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.



Sejarah Bumi Anbiya II : Parsi (Iraq)


Sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan, istana Raja Parsi (iaitu Iraq sekarang ini) telah bergegar. Kerajaan Parsi merupakan kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sedang disembah oleh kaum Majusi tiba-tiba telah terpadam walhal api yang disembah sejak beribu-ribu tahun itu tidak pernah padam walaupun seketika (A. Azizan, 2013). Menurut A. Azizan (2013) lagi, bukan itu sahaja malah gegaran itu telah menyebabkan Tasik Sawwah berdekatan dengan Istana Parsi tertimbus.

Apabila Raja Parsi yang bernama Raja Kisra melihat kejadian-kejadian pelik itu, maka baginda berasa sangat takut dan terus memanggil ahali-ahli nujum yang dapat berkomunikasi dengan jin. Perlu diingatkan bahawa jin-jin pada waktu itu sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w memang jin yang boleh naik ke langit untuk mengintai berita dari langit (A. Azizan, 2013). Setelah ahli nujum berhubungan dengan jin dan mendapat beritanya, ahli nujum memberitahu Raja bahawa gegaran kuat yang terjadi itu sebagai petanda lahirnya seorang nabi dan runtuhnya 14 anjung istana itu bermakna Kerajaan Parsi akan bertahan selama 14 orang raja lagi dan selepas itu Kerajaan Parsi akan jatuh. Raja Kisra menjawab, 14 orang raja lagi adalah masa yang masih panjang dan tidak perlu bimbang. Tetapi selepas kematian Raja Kisra, anak-anaknya mula berebut kuasa. Hanya dalam masa 4 tahun, 10 orang Raja berebut-rebut memerintah Parsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu dan akhirnya dalam waktu yang singkat Kerajaan Kisra pun tumbang (A. Azizan, 2013).

Sehingga ke hari ini kesan bangunan istana Kisra yang runtuh ketika gegaran menandakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w itu masih kekal ada di Madain, Selatan Baghdad dan Iraq. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.




Sejarah Bumi Anbiya I : Jeddah


Di Jeddah, terdapat banyak tempat yang menarik untuk diketahui oleh umat Islam. Jeddah ialah Kota Pelabuhan utama di Arab Saudi dan juga lapangan terbang serta laluan masuk ke Mekah atau Madinah (A. Azizan, 2013). 

Jeddah terletak di kawasan tepi Laut Merah. Kota ini pada asalnya sebuah kota nelayan dan didirikan pada tahun 647M oleh Khalifah Uthman Bin Affan yang akhirnya digunakan sebagai pelabuhan untuk kepentingan jemaah Haji (A. Azizan, 2013). Tambahnya lagi, antara yang menarik di Jeddah ini ialah :
  1. Masjid Qisas - Masjid ini sama seperti masjid-masjid yang lain, iaitu sebagai tempat solat tetapi di perkarangan masjid ini digunakan untuk memancung kepala yang dikenakan Hukuman Hudud. Di Masjid tersebut didirikan sebuah bangsal yang digunakan sebagai tempat hukuman pancung bagi kesalahan yang melibatkan kematian (A. Azizan, 2013). Biasanya, hukuman pancung dilakukan setiap selesainya Solat Jumaat. Hukuman ini sangat cepat dan efektif dengan disaksikan oleh orang ramai. Sebaik sahaja kepala si pesalah ditundukkan, si pesalah terus dipenggal. Kemudian, lantai disiram dengan air dan dibersihkan. Manakala mayat yang sudah dipancung itu disolatkan di masjid.
  2. Makam Hawa - Satu lagi yang menarik di Kota Jeddah ini ialah Makam Hawa. Makam Hawa terletak di Al-Amariyah Distrik, daerah Kota Lama Jeddah. Lebih jelas lagi, Makam Hawa berada di Jalan Maukib Al-Iman. Di daerah kota lama ini merupakan peninggalan zaman kekhalifaan Turki (A. Azizan, 2013). Menurut Muhammad Abdul Wahab (2011), Jeddah merupakan tempat turunnya Siti Hawa ke Bumi setelah melanggar perintah Allah s.w.t di syurga manakala Nabi Adam pula diturunkan di Tanah Hindustan.
  3. Masjid Terapung di Pinggir Laut Merah - Dipinggir Laut Merah, terdapat sebuah masjid yang terkenal dengan gelaran Masjid Terapung. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina secara terapung, kemudiannya baru diikuti oleh masjid di negara-negara lain. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Al-Rahmah. Masjid ini dipanggil masjid terapung kerana sebahagian besar daripada bangunan masjid ini berada di bahagian laut dan berada di atas air (A. Azizan, 2013).
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.

Muhammad Abdul Wahab (2011). Kisah Hidup 25 Nabi dan Rasul. Selangor : Berlian Publication Sdn. Bhd.