Monday, 4 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya III : Syria


Syria merupakan negara yang banyak menyimpan kesan sejarah Islam. Tanah bumi negara inilah yang menjadi saksi kepada kisah pembunuhan pertama di muka bumi ini (A. Azizan, 2013). Menurutnya lagi, Nabi Adam a.s dan Hawa mempunyai 2 pasang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan. Qabil dengan kembar perempuannya bernama Iqlima dan Habil dengan kembar perempuannya bernama Labuda. Oleh sebab syariat agama ketika itu tidak boleh dikahwinkan dengan saudara lahirnya (dianggap satu keturunan), maka Qabil dikahwinkan dengan kembar Habil dan Habil pula dikahwinkan dengan kembar Qabil. Qabil tidak mahu menerima keputusan itu, dia mahu berkahwin dengan kembarnya iaitu Iqlima kerana kembarnya itu mempunyai rupa paras yang cantik berbanding dengan Labuda.

Nabi Adam a.s pun menyuruh kedua-dua anaknya membuat korban untuk Allah s.w.t. Korban siapa yang diterima maka dia akan berkahwin dengan Iqlima, kembar Qabil yang cantik jelita itu. Qabil melakukan korban bukan dengan niat yang ikhlas. Dia melakukannya semata-mata kerana nafsu. Sementara Habil pula melaksanakan korban dengan penuh ikhlas untuk mengikut perintah ayahnya (A. Azizan, 2013). Sudah tentulah korban Habil yang diterima dan Qabil harus berkahwin dengan Labuda, kembar Habil. Hal ini menyebabkan timbul rasa sakit hati dalam diri Qabil lalu beliau pun membunuh Habil. Kisah pembunuhan ini tercatat dalam Al-Quran, Surah Al-Mai'dah ayat 30 yang bermaksud :

"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang kerugian."

Qabil membunuh Habil kerana berebutkan seorang perempuan. Qabil memaksa Iqlima lari bersamanya, melarikan diri dari ayahnya. Adam a.s pun berkata : 

"Pergilah kamu bersama kemurkaan Allah dan kemarahanku kepada kamu dan sesiapa yang melakukan perbuatan seperti kamu akan mendapat kemurkaan yang sama dari Allah s.w.t."

Akhirnya, Qabil mendapat balasan yang sama. Dia (Qabil) dibunuh oleh anaknya sendiri dan bermulalah siri pembunuhan manusia yang berterusan di muka bumi ini hasil perbuatan pertama yang dilakukan oleh Qabil. Secara tepatnya, pembunuhan itu berlaku di Jabal Qasiyun (A. Azizan, 2013).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.



No comments:

Post a Comment