Friday, 30 August 2013

Apa Erti Sebuah Kemerdekaan ?



Tanggal 31 Ogos, maka genaplah negara kita merdeka selama 56 tahun. Namun, ramai yang belum memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan. Erti kemerdekaan menurut pandangan pengkaji ialah merdeka dari kezaliman, merdeka dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan bebas dari hamba manusia kepada hamba Allah. 

Pengkaji hanya menumpukan kepada merdeka dari kezaliman. Jika diimbau semula pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu, baginda hidup di Makkah yang dikuasai oleh masyarakat Arab Jahilliah lalu baginda bangkit memperjuangkan agama Islam untuk memerdekakan Makkah dan Madinah dari cengkaman masyarakat Arab jahilliah. Perjuangan inilah yang dikatakan oleh pengkaji merdeka dari kezaliman.

Di Tanah Melayu, nama-nama seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong merupakan tokoh-tokoh pejuang yang menentang penjajahan. Di Borneo nama-nama seperti Mat Salleh, Rentap, Sharif Usman, Antanom, Kamunta, Pak Musa dan lain-lain juga merupakan tokoh yang menentang penjajah di Borneo.

Selain daripada itu, pada zaman penjajahan Sepanyol di Selatan Filipina. Orang Sulu-Mindanao bangkit menentang penjajahan Sepanyol yang ingin mengkristiankan seluruh penduduk Filipina. Inilah misi sebenar penjajahan Sepanyol di Filipina. Seperti yang kita sedia maklum, sebelum kedatangan sepanyol ke Filipina, banyak ahli-ahli sufi yang datang ke Filipina untuk berdakwah dan seterusnya mengasaskan Kesultanan Sulu dan Mindanao.

Apabila Sepanyol berjaya menduduki Bandar Manila, penjajah berazam untuk menakluki Pulau Mindanao dan Sulu di Selatan Filipina. Hal ini, Orang Islam di Selatan Filipina tertindas dan dizalimi oleh penjajah Sepanyol. Faktor inilah mereka bangkit untuk memperjuangkan tanah air mereka dari penjajahan. Malah, perjuangan mereka ini adalah jihad semata-mata kerana Allah s.w.t. 

Sebelum penentangan mereka ini dilakukan, banyak tohmahan dari Sepanyol yang mana penjajah telah melabel atau membuat stigma terhadap Orang Islam di Selatan Filipina iaitu Orang Islam di Selatan Filipina adalah moor dalam bahasa Sepanyol. Moor bermaksud manusia biadap, jahat, dan lanun. Penjajah Sepanyol juga menyamakan Orang Islam di Selatan Filipina dengan Andalusia di Sepanyol. Penjajah bertindak kejam, zalim dan memaksa mereka untuk mengikuti ajaran Kristian. Stigma bermaksud sifat atau perbuatan yang  menjatuhkan maruah, kecelaan dan keaiban (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002)

Malah, di bumi Palestine juga tidak kurang hebatnya. Mereka juga dijajah dan dizalimi oleh Israel-Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat. Hingga ke hari ini, mereka terus ditekan dan banyak pembunuhan berlaku di negara mereka misalnya di Tebing Barat dan Setla. Pertumpahan darah ini seringkali kita dengar dan tontoni di televisyen. Perjuangan inilah yang dikatakan oleh pengkaji Merdeka dari kezaliman dan memperjuangkan Agama Islam. Begitu juga dengan perjuangan di Kashmir dan di Selatan Thailand.

Wallah Hu Alam Bisawab.


Rujukan :

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002).





No comments:

Post a Comment