Tongkat besi, setelah aku mengenalimu, engkau bukanlah manusia biasa, Tetapi engkau hanyalah sebatang tongkat, sebatang tongkat yang diperbuat daripada besi. Besi yang bukan berkarat, besi yang bukan besi buruk. Tetapi diperbuat daripada besi berani. Lambang kemasyhuran di zaman lampau.
Saturday, 1 June 2013
Tuesday, 28 May 2013
Kisah Semerluki : Disuruh Merompak Ke Ujong Tanah
Pada hari ini, pengkaji terus menyingkap Sejarah Lampau pada zaman dahulu. Hari ini, pengkaji cuba menceritakan kisah Semerluki dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan bahawa :
Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri di Tanah Mengkasar, Meluluki namanya, Keraeng Majiko nama Rajanya ; terlalu besar kerajaan Raja itu, segala negeri di tanah Mengkasar itu takluk kepadanya. Maka ia beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh bersaudara. Ketujuhnya dibuat isteri oleh baginda itu ; akan puteri yang bongsu itu terlalu baik parasnya. Adapun puteri yang tua sekali beranak seorang lelaki, dinamai ayahandanya Semerluki. Berapa lamanya Semerluki pun besarlah ; terlalu berani, lagi dengan perkasanya tiada berbagai dalam Tanah Mengkasar itu.
Pada suatu hari, Semerluki masuk mengadap ibunya, ia terpandang kepada emak bongsunya itu ; maka Semerluki pun berahi hendakkan emak bongsunya itu. Maka Keraeng Majiko pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiadalah diberi oleh Keraeng Majiko, katanya pada Semerluki, "Bagaimana engkau hendakkan emak bongsumu ? Kerana ia saudara emakmu, isteri kepada aku. Jikalau engkau hendak beristeri baik paras, pergilah engkau merompak ke Ujong Tanah ; di sana banyak perempuan yang seperti kehendakmu, dan yang lebih daripada emak bongsumu itu."
Maka Semerluki pun berlengkaplah ; 200 banyaknya kelengkapan pelbagai rupa perahu. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun pergilah, kasadnya hendak mengalahkan segala negeri di bawah angin ini. Pertama-tama ia pergi ke Jawa, banyak dirosakkannya jajahan Jawa ; tiada berani orang mengeluari dia. Maka Semerluki pun lalu ke Siam, banyaklah teluk rantau Siam dialahkannya, tiada juga dikeluari orang Siam.
Maka lalulah ia ke laut Ujong Tanah, dirosakkannya segala teluk rantau jajahan Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, "Berapa segala jajahan kita banyak binasa oleh Raja Mengkasar yang bernama Semerluki itu." Maka baginda pun menitahkan Laksmana pergi memairi Semerluki. Maka Laksmana pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun datanglah ke laut Melaka. Maka Laksmana pun keluarlah dengan segala kelengkapan. Setelah bertemu lalu berperang berlanggar-langgaran ; rupa panah dan sumpitan seperti hujan yang lebat. Maka banyaklah kelengkapan Mengkasar yang rosak oleh kelengkapan Melaka.
Maka perahu Laksmana bertemulah dengan perahu Semerluki. Maka oleh Semerluki disuruhnya campaki sauh terbang ke perahu Laksmana, lekat ; maka disuruhnya putar, maka oleh Laksmana disuruhnya tetas, sambil bertikam. Maka kelengkapan Semerluki pun banyaklah alah oleh kelengkapan Laksmana ; tetapi Orang Melaka banyak mati oleh sumpitan, kerana pada masa itu Orang Melaka belum lagi tahu akan tawar ipuh.
Beberapa persoalan timbul di sini. Adakah Laksmana yang dimaksudkan itu adalah Laksmana Hang Tuah ? Adakah Raja Mengkasar yang menyerang Melaka itu merupakan keturunan Hang Tuah ? Ini kerana Hang Tuah dikatakan oleh A. Samad Ahmad yang ditulis oleh penulis sebelum ini berasal dari Tanah Mengkasar. Wallah hualam Bisawab.
Rujukan :
A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Monday, 27 May 2013
Daeng Mempawah Nama Asal Hang Tuah
Hari ini, pengkaji terus menyelongkar Sejarah Lampau. Kali ini, penulis cuba berbicara mengenai asal usul Hang Tuah yang dikatakan Pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menyebut dari mana Hang Tuah berasal. Berikut adalah kenyataan beliau :
Maka sembah Seri Bija Pikrama, " Sebenarnyalah titah tuanku itu ; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku." Adapaun anak Raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya ; umurnya baru dua belas tahun. Diceritakan orang yang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.
Setelah ke esokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap Raja Mengkasar, didapatinya Raja di Goa telah pepak diadap orang. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh Raja di Goa utusan kedua itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah. Maka titah Raja di Goa, "katakan kepada saudaraku, Orang Kaya, akan Daeng Mempawah ini pertaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, Raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku, Raja Melaka, dalam Mengkasar ini menyuruh ia kepada aku." Maka sembah utusan kedua itu, "Baiklah tuanku."
Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang. Maka baginda pun keluarlah, semayam diadap segala Orang Besar-Besar dan hulubalang sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa Daeng Mempawah.
Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu, Maka titah baginda, "Bagaimana maka Raja Mengkasar berkirimkan anak Raja Bajung ini ?" Dilanggarkah Raja Bajung maka anaknya tertawan ini ?"
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada Tuanku, Raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah. Maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah Keris Tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya.
Adapun 'perhangan' ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Husssin serta tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.
Kesimpulannya, nama asal Hang Tuah ialah Daeng Mempawah anak daripada Raja Mengkasar. Jika dilihat nama asal Hang Tuah iaitu "Daeng", beliau adalah berketurunan Bugis. Seperti juga Daeng Kemboja, Daeng Chelak, Daeng Parani, Daeng Merewah dan lain-lain.
Rujukan :
A. Samad Ahmad, 2008. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sunday, 26 May 2013
Panglima Awang @ Enrique
Hari ini, penulis cuba menceritakan tentang "Orang Islam Pertama menjadi murtad pada Zaman Penjajahan" iaitu Panglima Awang. Namanya dalam Kristian ialah Enrique. Ada beberapa pandangan mengenai asal-usul Panglima Awang dalam buku sejarah. Berikut adalah pandangan-pandangan mereka :
- Menurut Catatan Antonio Pigaffeta seorang sukarelawan berbangsa Itali turut serta belayar bersama Ferdinand Magellan telah menyatakan bahawa : Enrique adalah seorang Melayu yang ditangkap dan dijadikan hamba dalam kapal. Enrique dikatakan berasal dari 'Zamatra' atau Sumatera.
- Menurut Pandangan Sejarawan yang lain : Enrique merupakan seorang hamba dari Sumatera yang telah dibeli dipasar Melaka. Beliau telah di baptis dan diberi nama Enrique.
- Ada juga ahli Sejarawan berpendapat bahawa : Enrique merupakan seorang penduduk Cebu, Filipina yang bekerja di Melaka semasa Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511. Enrique dibawa dari Cebu ke Melaka dan diberi nama Enrique of Malacca. Ini dibuktikan dengan bahasa yang digunakan oleh Enrique iaitu Visaya bahasa yang digunakan di Cebu, Filipina.
Walau bagaimanapun, dalam buku ilmiah yang ditulis oleh Abu Talib Ahmad ada mengatakan bahawa :
"Harun Aminnurrashid experimented with a special way of instilling historical consciousness by writing a novel, Panglima Awang, based on historical facts he obtained from two essays, similar in content, were about a Malay Seaman who was acclaimed as the first person to have sailed around the world for the simple reason that he had followed Ferdinand Magellan on the later historic trip. But Ferdinand Magellan did not complete the trip as he was murdered in the Philippines, and it was the Malay Seaman, known as 'Enrique' in the news-paper essays, who completed the journey. By rights therefore, Enrique should be recognized as the first person to have sailed around the world. Harun Aminnurrashid suggested that it was western prejudice that had denied Enrique that honor and proposed, it is the duty of historians of the Malay race who have become independent to revise our history, which has been suppressed for about five centuries by western colonialist and it is. Most proper to trace the background of Enrique. Harun's aim in writing Panglima Awang as a historical novel was to present history from the native point of the view. The book describes the famous adventure as an imaginary trip by the Seaman Awang, a common Malay name chosen to suggest that he could be any person who was an expert sailor,".
Dalam satu kenyataan lain yang berbunyi :
Ferdinand Magellan was able to communicate with the native peoples because his Malay interpreter, Enrique, could understand their language. Enrique was indentured by Magellan in 1511 right after the sacking of Malacca, and was at his side during the battles in Africa, during Magellan's disgrace at the King's court in Portugal, and during Magellan's successful raising of a fleet. They traded gifts with Raja of Mazua who guided them to Cebu.
Dalam Sejarah Melayu pula yang ditulis oleh A. Samad Ahmad ada menyatakan perkara berikut biarpun ia kurang jelas diceritakan. Menurutnya :
"Maka segala cucu-cicit yang duduk hampir Bendahara Lubuk Batu, budak-budak belaka ; maka kata Bendahara Lubuk pada seorang cucunya, Awang, Awang, hendakkah sepah ?". Maka sahut cucunya, "Mahu, Datuk." Maka kata Bendahara, "Tumbukkan aku sirih," Maka ditumbukkan oleh cucunya, diberikan kepada Bendahara ; Maka dikunyah-kunyah oleh Bendahara Lubuk Batu, diberikannya kepada cucunya. Maka ia memandang pula pada seorang lagi cicitnya, katanya,"Engkau hendakkan sepah ?". Maka sahut cicitnya, "Mahu Datuk," maka kata Bendahara Lubuk Batu, "Tumbukkanlah aku sirih ; maka ditumbukkannya sirih, diberikannya pada Bendahara, maka dikunyahlah oleh Bendahara, diberikannya pada cicitnya. Demikianlah sudah seorang, seorang pula."
Begitulah kisah Panglima Awang pada zaman lampau. Namun asal-usulnya belum jelas lagi ditemui. Walau bagaimanapun, Adakah nama Awang yang terdapat dalam Sejarah Melayu itu adalah Panglima Awang ? Wallah hu alam Bisawab.
Rujukan :
Abu Talib Ahmad (2003). New Terrains In Southeast Asian History. Singapore : National University of Singapore.
A. Samad Ahmad (2008). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
A. Samad Ahmad (2008). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saturday, 18 May 2013
Perpaduan Kaum
Pada hari ini pengkji meneruskan pengembaraan dan menelusuri lembaran sejarah lampau. Tajuk hari ini ialah mengenai Perpaduan Kaum yang ditulis oleh (Chamburi Siwar, 2005). Menurutnya, Falsafah dan matlamat DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan DPN (Dasar Pembangunan Nasional) adalah untuk mencapai perpaduan dan toleransi antara kaum. Masyarakat majmuk Malaysia semakin berpadu dan bertoleransi sekarang berbanding sebelum DEB. Ciri positif dan negatif dalam kehidupan masyarakat majmuk dan perhubungan kaum masih wujud. Secara positif, pada permukaannya, masyarakat majmuk Malaysia kelihatan semakin bertoleransi dan mampu hidup berpadu dalam keadaan aman dan harmoni. Dalam keadaan terbatas, terdapat juga perkongsian dan kerjasama antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera dalam bidang perniagaan, pekerjaan dan politik.
Dari segi negatifnya, masih terdapat polariasi kaum yang amat jelas, interaksi terbatas dan hambatan kepada percampuran yang lebih terbuka di sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat kerja dan sebagainya. Perundingan ekonomi antara kaum, misalnya dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN 2) masih memperlihatkan wakil pelbagai kaum menuntut bahagian masing-masing, memperjuangkan dan memohon pertambahan bahagian kaum masing-masing daripada "kek ekonomi' di samping kaum bukan Bumiputera mempersoalkan isu keistemewaan kepada kaum Bumiptera. Pada amnya, walaupun perpaduan dan toleransi antara kaum kelihatan meningkat, namun sensitiviti kaum masih menjadi isu yang boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan. Misalnya, pergaduhan di kawasan setinggan Kampung Medan, Jalan Klang Lama pada bulan Mac 2001, yang membuktikan kerapuhan integrasi kaum dan perpaduan kebangsaan. Kita melihat bibit peristiwa 13 Mei 1969 berulang dalam kejadian di Kampung Medan.
Faktor kemiskinan, keterpinggiran, keperitan hidup dalam persekitaran fizikal dan sosial serta kemudahan asas yang serba daif mewujudkan suatu keadaan "bom jangka' yang mencambahkan perlakuan sosial seperti devian, keganasan, kesamsengan, pengemis di jalanan, pelacuran, rompakan dan sebagainya, serta sedia meletus oleh suatu kejadian luar jangkaan yang mudah merebak menjadi pergaduhan kaum, jika tidak dikawal.
Rujukan :
Chamburi Siwar (2005). Perpaduan Kaum. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Friday, 17 May 2013
Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu : Derhakakah Si Jebat ?
Pada hari ini pengkaji menelusuri pula tentang adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu yang ditulis oleh Jelani Harun (2005). Menurutnya, Adab ketatanegaraan memberi penekanan yang khusus tentang kepentingan akal kepada Raja. Raja dinasihati agar sentiasa menggunakan akal dengan sebaiknya. Akal merupakan alat bagi Raja mendapatkan ilmu pengetahuan tentang adab pemerintahan negara dan dapat melaksanakan tugas sebagaimana tuntutan agama. Akal dan ilmu pengetahuan lebih utama daripada kuasa dan kekayaan harta.
Kewujudan konsep adab ketatanegaraan berkait rapat dengan kedatangan dan perkembangan Agama Islam di Alam Melayu. Melalui ajaran Islam, kesucian martabat Raja tidak lagi diagungkan melalui mitos para dewa tetapi tertanam kukuh sebagai sebahagian daripada asas keimanan manusia terhadap Tuhan. Islam menentukan Raja adalah pemimpin yang wajib dipatuhi oleh rakyat. Ketaatan kepada Raja mempunyai hubung kait dengan ketaatan kepada agama. Walau bagaimanapun, Islam meletakkan syarat ke atas keistemewaan kedudukan Raja. Walaupun Raja dianggap sebagai 'Bayangan Tuhan di Dunia' tetapi dengan andaian mereka melaksanakan urusan pemerintahan berasaskan garis panduan yang dtentukan (Jelani Harun, 2005). Persoalan ini sudah lama terungkap dalam pemikiran masyarakat Melayu melalui penulisan adab ketatanegaraan. Raja Ali Haji ada menjelaskan bagaimana sifat Raja yang tidak baik dalam karyanya yang berbunyi :
" Raja yang sesat sangkanya pada makna kerajaan, kerana sangkanya maka Raja itu memperbuat apa sukanya atas rakyatnya, jadilah ia mengikutkan hawa nafsunya tiada tahu akan halal dan haram, dan dosa dan pahala, dan sah dan batal, serta melalaikan dia daripada memenuhkan perutnya dengan makanan yang lazat-lazat, dan membatalkan akal cerdiknya dengan memperbanyakkan sekedudukan dengan perempuan sebab memenuhi syahwatnya, serta tamak dan lobanya pada beristeri dan bergundik, hingga berjalanlah segala askarnya segenap dusun dan kampung-kampung rakyatnya mencari perempuan yang baik-baik rupa supaya memenuhi nafsu syahwat rajanya,".
Dalam Sejarah Melayu juga ada dikisahkan bagaimana Hang Jebat bangkit menentang kezaliman Raja. Ungkapan keramat Hang Jebat adalah seperti berikut : "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Raja yang zalim secara langsung melanggar prinsip keadilan dalam pemerintahannya. Raja yang bersifat demikian tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara sebaliknya mengundang bala bencana dan kehancuran diri sendiri serta negara. Sifat keadilan Raja turut mendapat perhatian Syeikh Duyung dalam karyanya yang berbunyi :
"Maka hendaklah bersungguh-sungguh atas segala yang jadi Raja itu memeliharakan dari mengerjakan zalim dan aniaya. Maka keduanya itulah pohon yang jadi kebinasaan dan asal yang jadi kerosakan dan sebab yang jadi keruntuhan dan kehancuran kerajaannya. Kerana apabila sudah mengetahui orang akan Raja dan Sultan itu dengan zalim dan aniayanya nescaya bencilah akan dia segala rakyatnya dan dukacitalah hati mereka itu daripadanya pada malam dan siang. Dan sukalah mereka itu akan hilang kerajaannya dan kebinasaannya dan melepaskan lidah mereka itu dengan mencaci serta doa sekalian mereka itu dengan kejahatan dan kerosakan kerajaan,".
Petikan di atas memberikan satu persepsi terhadap Raja selaku ketua bagi sebuah negeri. Andainya Raja tidak berpegang kepada hukum syariat, sebaliknya meruntuh atau melanggar hukum syariat dengan amalan adat-istiadat yang bertentangan dengan Islam, maka Raja atau pemerintah dianggap selaku ketua yang zalim.
Bagi rakyat yang hidup di bawah pemerintahan seseorang Raja yang tidak disukai ataupun zalim, Nuruddin al-Raniri menasihati mereka supaya bersabar, dan menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Sifat sabar akan memelihara keselamatan diri rakyat daripada ancaman kezaliman Raja. Rakyat yang tidak dapat menahan sabar akan menjerumuskan diri mereka ke kancah penderhakaan (Bustan al-Salatin, MS USM 41, hlmn. 292-297) :
"Barang siapa melihat daripada suatu pekerjaan Rajanya maka benci ia akan dia, maka bersabarlah, bahawasanya tiada seorang jua pun menceraikan dirinya daripada segala jemaah kira sejengkal jua pun, maka ia mati melainkan adalah kematian derhaka,".
Oleh itu, derhakakah Si Jebat ?
Rujukan :
Jelani Harun (2005). Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thursday, 16 May 2013
Wasiat Sebagai Cerminan Kerangka Keilmuan
Pada hari ini pengkaji berbicara mengenai wasiat atau amanat. Telah dijelaskan bahawa sejak awal kedatangan Islam ke Alam Melayu lagi andaian tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam melaksanakan tugas peribadi dan kemasyarakatan pada peringkat tertinggi jelas kelihatan pada wasiat yang merupakan titik kenyataan dan kesedaran tertinggi seseorang muslim (Wan Mohd. Nor Wan Daud, 2005). Berikut adalah wasiat atau amanat Sultan-Sultan Melayu dan Bendahara pada zaman lampau kepada para menterinya dalam Hikayat Melayu :
- Wasiat Sultan Malikul Salleh - " Wahai Perdana Menteri kedua, baik-baik kamu kedua memelihara cucuku kedua ini insyaallah jangan kamu beri kesalahan ia dua bersaudara serta kamu kedua ajari : Hendaklah jangan kamu berdua mengubahkan setia kamu akan cucuku kedua. Juga jangan kamu beri teraniaya daripada segala hamba Allah dan jangan kamu mengerjakan segala pekerjaan yang bersalahan dengan hukum Allah, kerana firman Allah dalam Al-Quran demikian ertinya : Barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang diturunkan Allah, maka bahawasanya mereka itu jadi kafir, ".
- Amanat Sultan Mansur Syah (Sultan Melaka) - " Wahai anakku, hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala Orang-Orang Besarmu kerana Raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jika tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana ia akan dapat melakukan kebijaksanannya itu ? Dan tiada akan sentosa kerajaannya kerana Raja-Raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu: kerana api tu tiada akan nyala. Seperti pepatah Parsi Yakni rakyat itu umpama akar, dan Raja itu umpama pohon : Jikalau tiada akar pohon tiada akan berdiri. Demikianlah Raja itu dengan segala rakyatnya. Wahai Anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini supaya beroleh berkat dari Allah s.w.t,".
- Wasiat Bendahara Tun Perak Paduka Raja - " Wahai segala anak cucuku, janganlah kamu tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini : Yang hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya. Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah dan Rasulullah : Dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian kerana pada segala hukum bahawa Raja-Raja yang adil itu dengan Nabi umpama dua buah permata pada sebentuk cincin. Apabila berbuat kebaktian kepada Raja, serasa berbuat kebaktian kepada Nabi. Inilah wasiatku pada kamu semua. Hendaklah jangan kamu lupai, agar kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh,".
- Wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah - "Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat 'ibadat' sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau selidiki baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu kerana sabda Rasulullah s.a.w : segala kamu yang menggembala lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu. Ertinya, segala Raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah daripada segala kebelaannya daripada segala rakyatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan saksama agar di sana engkau dipelihara Allah s.w.t,".
Selepas Melaka ditakluk oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah yang menyesali kesilapannya yang lalu, telah mewasiatkan kepada Putera baginda di Kampar agar melaksanakan keadilan dan kesaksamaan ke atas rakyat dan tentera serta mengambil nasihat Bendahara dan Menteri serta hulubalang. Kesimpulannya, seseorang memerlukan kefahaman dan keyakinan yang tinggi untuk mewasiatkan segala perkara di atas. Sehubungan itu, beliau meyakini yang pendengarnya juga faham akan maksud dan implikasi wasiatnya itu. Ini mengandaikan bahawa kerangka keilmuan Islam untuk memahami pandangan alam, akhlak dan perundangan Islam telah berakar kerana Pendidikan Islam dilaksanakan dipelbagai tempat.
Rujukan :
Wan Mohd Nor Wan Daud (2005). Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu : Satu Cerminan Ketamadunan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Subscribe to:
Posts (Atom)