Tuesday, 9 April 2013

Presiden Filipina Era Gloria Mancapagal Arroyo

Pada hari ini, penulis terus menelusuri lembaran sejarah negara Filipina pada zaman lampau. Apabila Ferdinand Marcos berjaya digulingkan, Joseph Estrada telah menjadi Presiden Filipina. Selepas itu, Gloria Mancapagal Arroyo telah menjadi Presiden Filipina.


Presiden Filipina Gloria Mancapagal Arroyo telah mengekalkan dasar Presiden terdahulu iaitu Filipina masih berhak ke atas Sabah. Benarkah Filipina masih menuntut Sabah dan Adakah Filipina berhak ? Para kerabat Kesultanan Sulu telah mempersoalkan kewajaran tuntutan Kerajaan Filipina terhadap Sabah yang kebanyakan tuntutannya menggunakan hak Kesultanan Sulu. Dalam beberapa laman web yang turut membahas perkara ini di dalam forum-forum mereka didapati hujah-hujah telah membuktikan bahawa bukan sahaja Filipina tidak layak menuntut Sabah, malah turut tidak layak menamakan rakyat Moro (Sulu dan Mendanao) sebagai rakyat mereka (Filipina). Kerajaan Filipina tidak akan berjaya atau pun mampu menuntut Sabah. Mengapa ? Kerana Kerajaan Filipina sendiri bila ditanya, mengapa mereka menuntut Sabah ? Maka mereka menjawab, Sabah itu adalah kepunyaan Kesultanan Sulu. Berikut adalah hujah di antara Kerajaan Filipina dan Kesultanan Sulu :

Soalan : Milik Sultan Sulu ? Sultan Sulu yang mana ?
Jawab : Kerajaan Filipina menuding jari pada Sultan Muhammad Fuad Kiram kerana telah diangkat oleh Kerajaan Filipina sendiri sebagai Sultan di Manila (bukan di Sulu).

Soalan : Sultan Sulu dahulu memiliki keseluruhan kepulauan Sulu termasuk Borneo Utara (Sabah), Apa kuasa Sultan yang ada sekarang ?
Jawab : Ya, Kesultanan Sulu sudah melantik Sultan Fuad Kiram di Manila sebagai Sultan maka Sultanlah ia.

Soalan : Baik, kalau beliau Sultan Sulu, adakah beliau berkuasa di Sulu dan pulau-pulau sekitarnya sebagai sebuah Kerajaan Sultan yang berkuasa dan boleh membuat keputusan ?
Jawab : Tidak! Sultan Sulu yang ini tidak berkuasa membuat keputusan, beliau cuma simbol sahaja.

Soalan : Mengapa beliau cuma simbol dan tiada kuasa sebagai Sultan Sulu ? Bagaimana anda mengatakan beliau Sultan Sulu sedangkan anda telah menghilangkan kuasanya ?
Jawab : Sultan Sulu hanya sebagai simbol dan sememangnya Kerajaan Filipina telah mengurangkan kuasanya seminimum mungkin pada 1937 oleh Presiden Manila (Manuel L.Quezon) dengan menandatangani satu memorandum bertarikh 20hb September 1937. Dengan itu, Sultan Sulu tidak dapat lagi menentang Kerajaan Filipina selamanya dengan mengumpul orang-orang Tausug untuk memerangi Filipina.

Soalan : Bagaimana anda (Kerajaan Filipina) tergamak menggunakan nama Sultan Sulu untuk menuntut Sabah sedangkan Kerajaan Filipina sendiri telah menghilangkan kuasa Sultan itu ?
Jawab : Tiada jawapan

Soalan : Bagaimana anda (Kerajaan Filipina) tergamak menggunakan nama Sultan Sulu untuk menuntut Sabah sedangkan Kerajaan Filipina sendiri telah membunuh hampir setengah juta rakyat Sulu dan Mendanao era Ferdinanad Marcos hinggakan mereka menjadi pelarian ?
Jawab : Tiada jawapan

Seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia telah menulis dan membidas tuntutan Filipina ke atas Sabah :

" tidaklah jelas apa yang dimaksudkan dengan  hak milik yang telah diperolehnya daripada Kesultanan itu (Sultan Sulu). Barangkali apa yang dimaksudkan dengan hak milik ialah satu dokumen iaitu surat bertarikh 5hb Februari 1962 yang telah dihantar kepada Jabatan Hal-Ehwal Luar Negeri Filipina oleh wakil waris Sultan Sulu. Surat itu mengandungi perutusan waris itu menuntut hak terhadap wilayah Borneo Utara dan hasrat mereka untuk memastikan supaya wilayah itu termasuk dalam sebahagian daripada wilayah semula jadi Republik Filipina. Jika hak milik Filipina bergantung semata-mata kepada dokumen itu maka bolehlah dianggap bahawa, tanpa dokumen itu, Filipina tidak mempunyai sebarang tuntutan terhadap wilayah itu," (Mohd Arif Othman, 1988).

Kesimpulan daripada perbahasan tersebut, Sultan Sulu yang ada pada anda itu telah pun menjadi rakyat Kerajaan Filipina dan bukan rakyat mahupun Sultan Sulu lagi sebab itu Kerajaan Filipina tidak akan berjaya menuntut Sabah sampai bila-bila.


Rujukan :

Mohd Arif Othman (1988). Tuntutan Filipina Terhadap Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tarsila Kesultanan Sulu.


Sunday, 7 April 2013

Faktor-Faktor Kejatuhan Ferdinand Marcos


Ferdinand Marcos dilahirkan pada 11 September  1917 di Bandar Sarrat Illocos Norte Luzon. Beliau menjadi ahli senat dan mendapat undi yang tertinggi pada tahun 1959. Rakyat Filipina berharap agar Marcos dapat membawa keamanan dan kemajuan kepada rakyat Filipina. Sebaliknya, Marcos telah membawa Filipina kepada hampir muflis. Pemerintahan secara diktator telah mewujudkan penentangan sehingga beliau digulingkan. Faktor kejatuhan Ferdinand Marcos adalah disebabkan :
  1. Undang-Undang Tentera dan Masyarakat Baru : Situasi meruncing telah melanda Filipina mendesak memperkenalkan undang-undang tentera. Keistemewaan undang-undang tentera ini telah memperuntukkan Presiden Marcos sebagai Ketua Angkatan Tentera merangkap Presiden Filipina. Mana-mana individu yang mengancam keselamatan negara akan diambil tindakan. Selain itu, ia membataskan semua aktiviti dan pergerakan rakyat. Seolah-olah rakyat berada dalam kurungan.
  2. Sosio-Politik : Pembunuhan Benigno Aquino Jr. pada 21 Ogos 1983 telah menjadi politik Filipina mejadi tegang. Presiden Marcos telah menubuhkan Suruhanja bebas bagi menyiasat pembunuhan tersebut. Belum pun siasatan bermula, Marcos telah mengeluarkan kenyataan bahawa pembunuh dilakukan oleh Komunis atau New People's Army. Suruhanjaya bebas telah mendapati ada konspirasi kerajaan dalam pembunuhan tersebut. Pada Ogos 1985, 46 orang anggota parlimen telah menandatangani satu resolusi memberi  tekanan kepada Marcos berhubung dengan isu rasuah dan melakukan pelabagai jenayah berskala tinggi. Selain itu, ahli parlimen membuat tuduhan bahawa Marcos merosakkan budaya kerana memberi kontrak kepada pengusaha-pengusaha filiem Pornografi untuk beroperasi di Filipina.
  3. Sosio-Ekonomi : Pergolakan politik disebabkan oleh ekonomi Filipina telah menjunam. Pada tahun 1951 hingga 1965, kadar pertumbuhan ekonomi Filipina ialah 3.5%. Rejim Marcos pada tahun 1966 hingga 1986 kadar pertumbuhan ekonomi Marcos hanya 1.4%. Pelabur memberi tekanan kepada pengusaha tempatan yang akhirnya semua keuntungan mereka dibawa keluar negara-negara pelabur. Pemonopolian keluarga Marcos dalam banyak bidang menyebabkan kekayaan kepada golongan elit tetapi golongan bawahan semakin miskin.
  4. Penentangan People Power dan Gereja : Negara yang mempunyai 80% rakyatnya menganut agama Kristian Katolik, mempunyai pengaruh dan kuasa. Marcos telah menyatakan beliau tidak menentang gereja walau pun ada serbuan terhadap gereja. Pembunuhan Aquino dan penindasan serta diskriminasi menyebabkan gereja menentang Marcos. Mereka menggunakan keagamaan sebagai pendorong penentangan. Pengaruh Kardial Sin sangat kuat dan ini menyebabkan pihak gereja sering mengkritik kerajaan disamping membakar semangat rakyat bagi menentang Marcos.
  5. People Power dan Golongan Pelajar : Pada tahun 1960 hingga 1970, populasi pelajar di Filipina semakin bertambah. Seramai 50 000 pelajar Filipina dan pekerja telah melakukan mogok dan tunjuk perasaan di depan istana Marcos. Marcos rasa tercabar dan beliau menggunakan kekerasan tentera di mana 4 orang pelajar terkorban. Pada bulan Oktober 1970, penunjuk perasaan dikalangan pelajar telah berulang di Manila. 18 000 pelajar telah memulaukan kelas mereka dan menuntut pengubahsuaian ko-kurikulum Universiti.
  6. Tentangan Komunis dan New People's Army : The Malayang Samahang Magsasaka dianggotai oleh golongan Petani, The Kabalang Makabayan dianggotai oleh golongan pelajar dan Moment For the Advaancement of Nationalist dianggotai oleh golongan professional. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan oleh pelajar adalah didalangi oleh Komunis. Beberapa pertempuran telah berlaku dengan pihak Kerajaan. 
  7. Tindakan Berani Tentera Marcos : Pasukan Reform The Armed Forces (RAM) memperjuangkan ketelusan dan pembasmian rasuah dalam angkatan tentera dan mempuyai hubungan baik dengan gereja telah berpaling tadah. Pada 16 Februari, RAM dengan beraninya mengeluarkan kenyataan dengan menyokong dakwaan gereja bahawa kerajaan Marcos telah melakukan penipuan dalam Pilihan Raya 1986 dan penindasan. Ketua Tentera Enribe dan Ramos keluar dari kem tentera dan menyertai gerakan People's Power yang dipimpin oleh Croy dan Laurel.
  8. Perubahan Dasar  Amerika Syarikat : Sebelum ini, Amerika adalah sekutu Marcos. Namun dengan tiba-tiba, Amerika telah menyekat bantuan ekonomi. Marcos telah menamatkan undang-undang tentera pada awal tahun 1981.Ronald Regan Presiden Amerika didesak oleh ahli kongres supaya menghentikan bantuan ekonomi kepada Filipina. Regan tidak mempunyai pilihan selain mengikut arus perubahan di Filipina dan mengambil keputusan menyokong People's Power.
Secara kesimpulannya, kejatuhan Presiden Marcos adalah disebabkan faktor-faktor di atas. Akhirnya, pada 27 Februari 1986 Marcos telah meninggalkan Istana Malacanang yang menggunakan Helicopter dan menuju ke Hawaii.



Rujukan :

Buku Sejarah Asia Tenggara

Thursday, 4 April 2013

Presiden Filipina Era Ferdinand Marcos

Pada hari ini, penulis meneruskan membuat penyelidikan sejarah mengenai Negara Filipina di bawah pemerintahan Ferdinand Marcos. Orang Islam di Sulu dan Mendanao menuntut bahagian dari hasil bumi mereka daripada Kerajaan Pusat dengan permintaan yang berbeza iaitu pelaburan ke kawasan mereka, pendidikan, penjagaan kesihatan, mendapat hak sistem keadilan dan beberapa permintaan lagi iaitu pemangkin aspirasi kepada kemerdekaan sebelum ini (Professor Cesar Adib Majul, 1973). Tetapi kumpulan militan Kristian telah bersekongkol dengan angkatan polis tempatan yang telah melakukan kekejaman terutamanya pembunuhan beramai-ramai Jabidah pada 18 Mac 1968, telah menjadi bencana melahirkan tindak balas ganas dari Orang Islam di Filipina Selatan (Sulu dan Mendanao) ketika era pemerintahan Ferdinand Marcos. Tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 200 orang Islam yang direkrut di Corregidor Island. Para rekrut Islam telah ditembak setelah enggan mengikut arahan (Asreemoro, 2007)

Setelah tercetus ini maka tiba-tiba secara diam-diam tertubuh satu formasi tentera iaitu Moro National Liberation Front (MNLF) lewat 1969. Para pelajar Moro dari seluruh Universiti Filipina, Mesir dan di mana-mana tempat di Timur Tengah yang prihatin untuk mewujudkan negara Islam yang merdeka di Filipina Selatan bersatu menubuhkan MNLF (Professor Cesar Adib Majul). MNLF semakin kuat dengan bantuan asing seperti Muammar Qaddafi dari Libya dan turut membantu ialah Gabenor Sabah dan Malaysia yang menyumbang persenjataan dan lain-lain bantuan perubatan dari Libya yang juga melatih latihan ketenteraan para belia Moro (Asreemoro, 2007).

Dengan sokongan bantuan persenjataan dari luar dan bermacam-macam lagi bantuan, dalam pertengahan 1970-an MNLF dianggarkan mempunyai ahli yang mencecah 30 000 tentera lelaki lengkap bersenjata bertempur dengan tentera Filipina dan polis di Kepulauan Sulu dan Mendanao. Pada awalnya telah menampakkan kejayaan tetapi mula lemah penentangannya pada lewat 1975, walau bagaimanapun para pemimpinnya berpindah ke Sabah dan mendapat sedikit bantuan dari kerajaan serta Program Amnesty di Telipok, Kota Kinabalu dan Kg. Bahagia Sandakan adalah sebahagian penempatan Amnesty untuk pelarian Filipina yang masih wujud sehingga ke hari ini. Gencatan senjata pada 1976, dan pembangunan di kawasan otonomi sementara telah diberikan, tetapi bukannya kemerdekaan, zon kawasan masyarakat Islam di Selatan Filipina seolah-olah adalah kawasan mutlak MNLF. Disusuli oleh Iran dengan kebangkitan revolusinya pada tahun 1979 turut membantu datangnya bantuan dan sokongan semula antarabangsa kepada MNLF (Professor Adib Majul, 1973).

Kemudian pada tahun 1987 di Jolo Filipina, seorang Datu yang bernama Datu Halun Amilusia yang bersenjatakan senapang antik ayahnya era Perang Dunia ke II, jenis M-I Carbine yang begitu bangga dengan riflenya yang ketika dulu pernah digunakan membunuh tentera Jepun juga pernah melalui zaman kerajaan Islam ketika dulu dan juga pernah membunuh tentera Filipina. Adik lelaki dan ayah Datu ini, pernah mendapat anugerah Bronze Star kerana keberanian menjadi tentera gerila menentang tentera Jepun. Beliau telah dibunuh pada tahun 1985 ketika tentera Filipina menyerang rumahnya (Professor Adib Majul, 1973).


Rujukan :

Asreemoro (2007). Tausug dan Sejarah Kesultanan Sulu. Selangor : RNH Marketing Sdn. Bhd.

Professor Cesar Adib Majul (1973). Islam di Filpina. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Tuesday, 26 March 2013

Ferdinand Magellan Dibunuh Oleh Datu Lapu-Lapu

Pada hari ini, penulis cuba menyelongkar sejarah pembunuhan Ferdinand Magellan yang menjadi tokoh Sepanyol membuat pelayarannya ke Filipina. Pada 16 Mac 1521, penjelajah Sepanyol iaitu Ferdinand Magellan (1480-1521) telah mendarat di Cebu ketika dalam misinya mengelilingi dunia disamping mencari tanah jajahan (Dzulasree, 2013). Matlamat Penjajahan Sepanyol di Filipina sebenarnya adalah untuk menguasai kawasan dan laluan rempah. Kedua adalah untuk membina persefahaman di antara Dinasti China dengan Jepun dan ingin mengkristiankan masyarakat Filipina keseluruhannya. Matlamat pertama dan kedua telah pun berjaya dengan cemerlang, cuma matlamat yang ketiga mereka gagal melaksanakannya hingga hari ini kerana terdapat penentangan daripada masyarakat Islam sendiri yang sukar ditewas dan dikalahkan disebabkan punya senjata yang menggerunkan pihak Sepanyol sebagai "Juramentado" atau Berani Mati . Sejarah juga telah memberitahu kita, hanya bahagian selatan Filipina sahaja yang tidak pernah mereka masuki dan tawan secara menyeluruh disebabkan berlakunya tentangan yang hebat daripada masyarakat Islam yang diketuai oleh Sultan-Sultan Magindanao dan Sulu serta Datu-Datunya. Perlu juga diakui bahawa Sepanyol dan misi keagamaannya telah berjaya di bahagian Utara Filipina. Bukti kejayaan mereka ialah hingga ke hari ini majoriti penduduk dari tengah Filipina hingga ke Utara adalah Kristian. Manakala sebelah Selatan Filipina penduduknya adalah Islam (Dzulasree, 2013).

Tanah Pulau Cebu telah dimasukkan sebagai wilayah baru hak milik Raja Charles I di Sepanyol. Sebulan kemudian, Ferdinand Magellan telah dibunuh oleh Datu Lapu-Lapu seorang Panglima Islam dalam satu pertempuran di tepi pantai Maktan. Peristiwa pembunuhan Ferdinand Magellan ini adalah yang paling bersejarah di Filipina hingga ke hari ini sehingga didirikan tugu peringatan Panglima Islam tersebut iaitu Panglima Datu Lapu-Lapu di Bandar Maktan, Cebu (Dzulasree, 2013).

                                           Tugu Peringatan Datu Lapu-Lapu

Pada tahun 1565, Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor diraja telah sampai ke Pulau Cebu dari Sepanyol, Enam tahun kemudian setelah berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran Islam ditangan para Datu, beliau telah ke Manila dan mendirikan pelabuhan komersil di bandar utama Manila sebagai pusat pentadbiran ketenteraan dan keagamaan. Maka disinilah bermula nama Filipina (Phillipines) sempena nama Raja Philip II dari Sepanyol yang memerintah pada tahun 1556 hingga 1598 (Dzulasree, 2013).


Rujukan :

Dzulasree Hajad (2007). Tausug Dan Kesultanan Sulu [Edisi Kedua]. Kuala Lumpur : Advanco Sdn. Bhd



Tuesday, 5 March 2013

Boy Saicon dan Dendam: Isu di Lahad Datu

Manila - Seorang paderi Filipina yang juga penyusun strategi politik, Pastor Boy Saicon semalam tampil mengaku menjadi penasihat Sultan Jamalul Kiram III. Menurut Setiausaha Agung Majlis untuk Hal-Ehwal Filipina itu, tindakan berkenaan di buat atas kapasiti peribadi dan tiada kena-mengena dengan jawatannya. Kata Saicon, dia mengetahui rancangan menceroboh Sabah itu sejak Ogos tahun lalu, tetapi dia membantah cadangan berkenaan. Ada empat cubaan menyeberang ke Sabah itu sejak Ogos tahun lalu, tetapi Boy Saicon telah menghalanganya.

Menurut Boy Saicon, pengikut Sultan Sulu di Sabah 'malu' kerana tidak berbuat apa-apa. Agbimudin mengadu pengikut mereka menghadapi tindakan pihak berkuasa di Sabah, katanya. Boy Saycon berkata, penduduk keturunan Sultan Sulu telah disebat polis sebelum diusir keluar ke Sulu dan Tawi-Tawi. Selepas kerajaan Filipina menandatangani perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro pada Oktober tahun lalu, wujud ketegangan dalam pentadbiran Sultan Sulu, tetapi tiada rancangan memasuki Sabah disebut ketika itu. 

Percubaan mereka yang keempat telah membuahkan hasil iaitu berjaya menyusup ke Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Pelbagai persoalan telah timbul dalam isu ini: 

1. Bagaimanakah mereka boleh menyusup ke Kampung Tanduo Lahad Datu ?
2. Siapa Dalangnya ? PKR, Boy Saicon sendiri atau pun memang di rancang sejak dulu lagi ?
3. Adakah kerana Dendam ? wallahualam ....


Rujukan :

Harian Metro 2013. 5 March - Selasa


Monday, 4 March 2013

Peristiwa 13 Mei: Mayat Dipolitikkan

" Pemuda itu dihantar ke Hospital Besar, Kuala Lumpur dan mati di hospital. Namun, mayatnya tidak di bawa ke rumahnya. Sebaliknya, disimpan di Jalan Sultan, Kuala Lumpur. Parti Buruh bertekad mengadakan perarakan jenazah walau pun ayah si mati tidak bersetuju. Pada 9-13 mei, Parti Buruh dan DAP dan Parti Gerakan giat melancarkan perarakan terutamanya di kawasan ramai penduduk Melayu di Kuala Lumpur dengan tidak menghiraukan polis," (Aisah Ghani).

Rusuhan kaum 1960-an  telah tercetus pergaduhan Melayu-Cina pada 1964 (Bukit Mertajam), 1965 (Kuala Lumpur) dan 1967 (Pulau Pinang); kawasan majoriti Cina dan minoriti Melayu. Sehingga 1964 dalam kempen PRU, isu-isu sensitif terus dimanipulasikan oleh politikus perkauman Melayu-Cina-India: kemuncaknya pada tahun 1969.

13 Mei punca dan pengajaran ; bermula dengan kempen bersifat perkauman dalam PRU 1969 yang tidak disekat oleh undang-undang. Semua parti bebas melepaskan kegeraman politik masing-masing tanpa perasaan bertanggungjawab - tidak mempedulikan kesannya terhadap rakyat. Berlagak menjadi wira perkauman.

Akibatnya, pada senja 13 Mei, pertumpahan darah telah berlaku antara Melayu-Cina di Kuala Lumpur. Darurat telah disytiharkan serta merta tetapi pembunuhan Melayu-Cina masih berlaku sehingga akhir Jun 1969.

Apa kata Tunku : "Saya amat kesal kerana membenarkan PRU 1969 diteruskan. Saya terlalu angkuh, saya sungguh yakin bahawa saya akan menang dengan mudah ... Apa yang harus saya buat ialah menggantung PRU, mengisytiharkan darurat dan memberi masa kepada setiap orang meredakan kemarahan mereka,"



Rujukan :

Aisah Ghani 1992. Memoir seorang Pejuang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.



Wednesday, 20 February 2013

Tragedi Berdarah, Angkara Perkauman: Peristiwa 13 Mei

Peristiwa berdarah ini adalah satu peristiwa yang paling menyedihkan di Tanah Melayu yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Antara puncanya ialah :

(a) dasar pecah perintah oleh British
(b) dasar diskriminatif Jepun
(c) kekejaman MPAJA
(d) ancaman PKM dan darurat
(e) Isu-isu politik yang berunsur perkauman dalam pilihan raya umum 1955

Apa kata Mahathir ? Beliau menegaskan punca tercetusnya 13 Mei ialah kerana sikap Tunku Abdul Rahman yang terlalu "lembut" dengan golongan perkauman. Tegasnya lagi, orang Melayu telah hilang kepercayaan dan tidak menghormatinya lagi. Akibatnya pada 12 Julai 1969, Dr. Mahathir telah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman daripada UMNO.

Kisah 1 : Sedikit gambaran berdasarkan buku Memoir Seorang Pejuang.

" Pada petang 13 Mei itu, Aisah Ghani bersama dua rakan pergi ke Batu 9, Gombak. Sejam kemudian, suami saya datang dan menyuruh saya pulang segera ke Kampung Baru. Tangan saya menggeletar apabila saya ternampak beratus-ratus pemuda Melayu memegang parang, lembing dan kapak berarak menuju ke Setapak,"

Kisah II : Nyawa di bucu peluru.

" Semalaman tidak ada sesiapa pun dapat tidur kerana bunyi tembakan tidak berhenti-henti. Kira-kira pukul 11:00 malam, Aisah Ghani melihat sendiri bangunan 4 tingkat dekat pasar Chow Kit dibakar. Di Kampung Baru sendiri, beribu-ribu orang berkumpul di masjid (untuk mencari perlindungan),".

Kisah III : Kemarahan tidak terkawal lagi.

" Keadaan pemuda-pemuda Melayu pada malam itu seperti dirasuk hantu. Mereka keluar tidak berbaju, hanya memakai seluar dan kain lilit di kepala berwarna hitam sambil membawa sebilah parang berkilat dilumur dengan minyak,"

Kisah IV : Si cacat, mangsa ekstremis perkauman.

" Cerita yang paling menyedihkan ialah seorang kanak-kanak cacat (Melayu) di Kampung Hujung Pasir, Kuala Lumpur yang tidak dapat melarikan diri bersama-sama keluarganya ketika rumahnya dibakar oleh persusuh anti Melayu. Dia hangus terbakar bersama-sama rumahnya dan ketika mayatnya yang tinggal tulang dijumpai, kanak-kanak ini masih menggenggam wang syiling 20 sen di tangannya,"

Kisah V : Kuku Komunis.

" Pada malam 4 Mei, polis terserempak dengan sekumpulan pemuda Cina yang membawa tong cat merah di Kepong. Mereka tidak lari tetapi membaling dan memukul polis, oleh sebab bertindak kasar, polis melepaskan tembakan dan terkena salah seorang daripada mereka,"

" Dalam suasana kacau sebegitu rupa,  Cik Liza Ahmad telah didatangi oleh pemuda Cina sambil memegang kayu meluru ke arahnya. Ketika itu juga seorang peniaga Cina menarik Liza masuk ke dalam kedai dan meyorokkannya di celah-celah kain yang bergulung-gulung,"

Kisah IV : Bukan semua menyukai perkauman.

" Rumah saya (Aisyah Ghani) di Jalan Daud, didatangi oleh ramai orang yang mencari perlindungan. Saya masih teringat bagaimana seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang tidak berkasut tersu masuk ke rumah saya meminta pertolongan,"

Akhirnya pada 13 Mei, peristiwa 13 tercetus pada sebelah malamnya. Semoga akan mejadi satu pengajaran yang berguna kepada generasi akan datang supaya jangan bermain api.


Rujukan :

Aisah Ghani (1992).  Memoir Seorang Pejuang. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur