Thursday, 4 December 2014

Sastera Melayu Asli Dibunuh 'Penjajah'

Menurut Shahfizal Musa, Sastera tradisional Melayu yang bersifat membina jati diri telah pupus akibat agenda tersembunyi kuasa penjajah, kata seorang pakar sastera Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Noriah Taslim.

Prof Noriah, Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mendedahkan bagaimana penjajah telah menghapuskan sastera tradisional Melayu kerana ia merupakan perhubungan bangsa itu dengan kekuatannya iaitu Islam. Ini dilakukan oleh tali barut kuasa Barat pada suatu masa dahulu yang kini terus diagungkan sedangkan secara sedar atau tidak mereka inilah yang turut bertanggungjawab membunuh sastera Melayu.

Prof Noriah telah memberi ceramah bertajuk ‘Persona Eropah Di Dunia Melayu’ di ATMA. Ceramahnya itu tertumpu kepada bagaimana British menyisihkan manuskrip Melayu traditional dalam abad ke-18 dan 19 hasil dari penyelidikannya. Usaha itu dilakukan semata-mata untuk melahirkan generasi yang memuja Barat dan Eropah di samping memadamkan identiti Melayu sebenar yang mempunyai budaya sejarah yang kaya.

Akibatnya, Eropah diagungkan kerana dapat mendominasi separuh dunia dan Timur merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan kerana telah dijajah. Pihak Eropah berjaya merendahkan kebolehan dan tamadun Melayu melalui cerdik pandai mereka yang mempersenda dan mencemuhkan sastera Melayu lama sebagai bahan yang tidak mempunyai seni dan bersifat dongeng. Ini membuatkan orang Melayu menjadi malu dan menjauhkan diri dari sastera mereka hingga membantutkan perkembangan sastera itu. Sastera Melayu yang berkembang selepas kedatangan Islam ditohmah tidak mempunyai nilai kesusteraan dan seni. Tokoh Barat itu kemudian berdamping dengan penulis-penulis Melayu, yang kagum dengan penjajah. Beliau memberi contoh Thomson North, Keasberry dan Stanford Raffles bersama dengan Abdullah Munsyi, Robert Scott bersama dengan Ahmad Rijaludin dan Butter Hunnings bersama dengan Lau’din. Penguasa-penguasa Barat telah menggalak dan menyokong penulisan yang berasaskan model karya Eropah.

Dengan itu, kesusasteraan Melayu tradisional yang membina jati diri Melayu dan menjulang sifat baik hati, berdikari, bersopan, berperasaan kasih sayang, mendukung keadilan, bertoleransi dan keramahan digantikan dengan genre yang mengagungkan orang Eropah, untuk kebaikan orang Eropah dengan naratif yang diasaskan kepada individu dan tidak lagi kepada masyarakat. Mereka berjaya apabila tulisan jawi dikuburkan dengan skrip itu diubah kepada tulisan rumi. Hujah mereka ialah tulisan Jawi cacat kerana kekurangan vokal. Agenda tersembunyinya adalah untuk melemahkan identiti Islam dengan orang Melayu yang menjadi tunggak kekuatan mereka.

Prof Noriah berkata, penghapusan tulisan jawi telah menghilangkan ikatan yang kukuh di antara identiti Melayu dengan Islam dan hubungan mereka dengan dunia Islam. Ia juga tidak terkecuali melemahkan hubungan di antara orang Melayu dengan orang Arab. Tulisan yang menghasut orang Melayu agar jangan mendengar dan mendekati orang Arab seperti Hikayat Hikamat dan Hikayat Kapal Asap pula diagungkan. Ironinya, manuskrip tradisional sastera Melayu yang telah diejek oleh mereka, dipungut dari serata pelosok negara dan di angkut berkapal-kapal ke England. Sehinggakan sekarang jika seseorang mahu mengkaji sastera Melayu tradisional dia perlu pergi ke Pejabat Rekod Awam di Kew Gardens London. Turut hadir di sesi syarahan itu Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dato’ Zawiyah Baba dan Prof Ding Choo Ming.

Prof Ding ketika diminta pandangannya selesai ceramah itu berkata, kita masih dijajah hingga ke hari ini. Dari segi akademik, para cendiakawan tempatan perlu menerbitkan hasil kajian mereka dalam journal barat seperti Scorpus dan ISI kalau mahu mendapat pengiktirafan walaupun daripada universiti sendiri.

Beliau berkata, dua dekad yang lepas terdapat lebih dari 200 jurnal berbahasa Melayu diterbitkan tetapi akibat penjajahan minda jumlah jurnal tempatan boleh dikira dengan jari tangan sahaja. Rencana pertama yang diterbitkan oleh Portal Berita UKM, ketika ia mula beroperasi adalah keagungan ciptaan inovasi Aljazari pencipta Muslim di Turki yang telah pun memberi khidmat lebih 200 tahun sebelum Leornado Da Vinci dilahirkan. Ciptaan Aljazari dalam bidang kejuruteraan dan kuasa hidro untuk membawa air dari sungai ke tanah tinggi semasa kuasa elektrik belum ditemui telah melangkaui zamannya. Aljazari tidak pernah pun menerbitkan artikel dalam jurnal barat dan tidak mempunyai satu pattern pun tetapi ciptaannya masih memberi manfaat kepada manusia sejagat dari kurun ke-12 hingga ke hari ini.


Rujukan :

Shahfizal Musa. 2014. Sastera Melayu Asli Dibunuh Penjajah. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.



Wednesday, 3 December 2014

Ekonomi III : Punca Berlakunya Inflasi

Inflasi berlaku apabila jumlah permintaan melebihi penawaran barang mengikut harga semasa. Lebihan dalam permintaan ini memberikan tekanan kepada ekonomi. Inflasi akan muncul kalau permintaan bertambah tetapi barang-barang dan perkhidmatan tidak bertambah selaras dengan pertambahan permintaan itu. Hal ini membawa kepada peningkatan harga, disebabkan reaksi daripada orang ramai dalam meningkatkan pembelanjaan mereka kerana mereka bimbang akan berlaku kenaikan harga barang dan barang-barang akan habis di pasaran. Oleh itu, inflasi ini dikenali sebagai Inflasi tarikan permintaan (demand-pull inflation). Inflasi ini terjadi disebabkan oleh faktor-faktor di sebelah permintaan yang mana jumlah wang yang ingin dibelanjakan bertambah dengan cepat melebihi pertambahan barang dan perkhidmatan yang di tawarkan di pasaran. Dalam hal ini dikatakan bahawa, pertambahan permintaan agregat menarik harga supaya meningkat tinggi. Hal ini disebabkan oleh, lebihan wang yang dipegang oleh pengguna yang menyebabkan mereka meningkatkan perbelanjaan barangan dan perkhidmatan. Namun agak sukar untuk menambah barang dan perkhidmatan dalam masa yang cepat, maka wujud lebihan permintaan yang memaksa peningkatan harga. 

Kedua, Inflasi juga akan berlaku apabila daripada lebihan bekalan wang di pasaran. Hal ini mengakibatkan kenaikan harga barang. Bekalan wang berlebihan ini berlaku melalui dua cara iaitu berlebihan dalam melaksanakan perbelanjaan kerajaan. Keadaan inflasi yang amat kritikal berlaku disebabkan oleh pertambahan dalam bekalan wang. Hal ini demikian kerana, wang diperlukan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan yang melebihi kutipan cukai. Kerajaan perlu memungut cukai selaras dengan keperluan perbelanjaannya jika hendak mengatasi masalah inflasi. Kutipan yang dilakukan kepada rakyat berkemungkinan ada atau tidak bergantung kepada kestabilan ekonomi. Oleh itu, kerajaan terpaksa melakukan pinjaman wang daripada bank untuk membiayai perbelanjaannya. Peminjaman ini bererti, kerajaan menambah wang baru dalam bentuk kredit. Manakala perbelanjaan daripada pinjaman wang ini merupakan pertambahan perbelanjaan dalam ekonomi. Oleh itu, output barang dan perkhidmatan perlu ditingkatkan supaya harga barang menjadi stabil di pasaran. Namun, jika pengeluaran tidak ditambah, iniakan menaikkan harga barang. Kesannya, kerajaan terpaksa membuat pinjaman semula bagi membiayai perbelanjaan kerajaan. Hal ini sekaligus, menimbulkan desakan inflasi dan harga barangan serta perkhidmatan akan terus meningkat. 

Di samping itu, dalam masa melambung menjadi terlebih penanaman modal (over investment). Para pengusaha berlumba-lumba memulakan perusahaan-perusahaan baru. Oleh itu, permintaan terhadap bahan-bahan mentah juga bertambah. Harga barang-barang yang dibuat dari bahan-bahan mentah tersebut ikut naik. Akhirnya penanaman modal yang lebih ini mengakibatkan terlebih pengeluaran barang-barang dan berikutnya ini menyebabkan pula turunnya harga barang-barang tersebut.

Menurut Al-Maqrizi pula, beliau membahagikan inflasi kepada dua, inflasi yang disebabkan berkurangnya persediaan barang atau natural inflation dan inflasi akibat kesalahan manusia. Inflasi jenis pertama iniah yang terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w dan Khulafa‟ Al-Rasyidin, iaitu disebabkan kerana faktor kekeringan atau peperangan. Sedangkan inflasi jenis kedua, menurut al-maqrizi disebabkan oleh tiga hal iaitu pertama, gejala rasuah dan sistem pentadbiran yang buruk. Kedua, cukai berlebihan yang memberatkan petani dan ketiga, jumlah wang yang berlebihan.


Rujukan :

Kajian Nurazidah Mashan, Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Zamzuri Zakaria. Faktor-faktor Inflasi dan Kesannya Terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).




Ekonomi II : Zaman Mata Wang Apungan 1973-2009 Dan Inflasi

Sistem Bretton Woods telah berjalan dengan baik sehingga pada tahun 1971 apabila Amerika Syarikat mengalami defisit dalam imbangan pembayarannya akibat percetakan dolar yang berlebihan daripada rizab emas. Kemusnahan sistem tukaran tetap melambangkan manifestasi Amerika Syarikat mengekang defisit imbangan pembayarannya yang semakin besar.

Ketidakseimbangan tuntutan bayaran dengan simpanan emas yang ada menyebabkan Amerika Syarikat mengalami kemerosotan besar dalam rizab emasnya, iaitu daripada sebanyak AS$18.0 bilion pada tahun 1960 menjadi sebanyak AS$11.0 bilion pada tahun 1970. Jumlah ini akan menjadi lebih besar sekiranya dimasukkan segala tuntutan jangka pendek yang perlu dilunaskan oleh Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila semakin banyak negara yang meragui bahawa nilai pariti emas dolar Amerika Syarikat seperti yang ditetapkan pada awal sistem Bretton Woods tidak dapat dipertahankan (Mohidin 1994).

Pada 18 Disember 1971, negara-negara industri utama yang terdiri daripada kumpulan 10 iaitu Belgium, Kanada, Prancis, Jerman, Itali, Amerika Syarikat, Jepun, Belanda, Sweden dan United Kingdom (Chacholiades 1973) telah bersetuju membuat satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Smithsonian bagi meredakan sementara keadaan di pasaran tukaran asing. Melalui perjanjian tersebut, Amerika Syarikat bersetuju menurunkan nilai dolar dengan syarat Jerman, Jepun dan Prancis bersetuju untuk menaikkan nilai mata wang masing-masing. Amerika Syarikat bersetuju menaikkan nilai emas daripada AS$35 seauns kepada AS$38 seauns yang mana sama dengan penurunan dolar AS sebanyak 7.9%. Dengan perkembangan terakhir, dolar AS ternyata tidak berupaya menjadi mata wang rizab tunggal bagi seluruh dunia walaupun ia masih mengekalkan statusnya sebagai mata wang antarabangsa. Oleh itu, negara Eropah seperti Jerman, Itali dan Prancis telah memutuskan untuk mengapungkan mata wang masing-masing di pasaran tukaran mata wang asing (Mohidin 1994).

Bulan Februari pada tahun 1973, penurunan nilai terpaksa dilakukan sekali lagi sebanyak 10%, tetapi keadaan tidak berubah dan akhirnya pada bulan Mac 1973, pasaran tukaran asing terpaksa ditutup untuk beberapa minggu apabila keadaan tidak dapat dikawal. Apabila ia dibuka kembali, kadar pertukaran dibenarkan terapung dan dengan sendirinya menamatkan sistem Bretton Woods. Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilai pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekali gus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan (1994), dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan. Sistem kadar pertukaran terapung dengan rasminya dibenarkan oleh satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Jamaica pada tahun 1976 dan pada masa yang sama emas tidak lagi mempunyai nilai rasmi. Emas hanya dijual dan dibeli oleh bank pusat pada harga pasaran.

Sistem kadar pertukaran terapung beroperasi apabila pihak berkuasa kewangan biasanya bank pusat sesebuah negara tidak dipertanggungjawabkan untuk memastikan nilai pertukaran berada dalam satu had atau lingkungan yang telah ditetapkan. Dengan kata lain, sistem kadar pertukaran ini sama ada naik atau turun berdasarkan faktor-faktor penawaran dan permintaan terhadap sesuatu mata wang dalam pasaran. Seperti juga barang komoditi, apabila sesuatu mata wang melebihi penawaran di pasaran wang antarabangsa maka nilai mata wang tersebut akan turun.

Jadi, secara amnya sistem pertukaran terapung akan menjadi lebih mudah berubah daripada sistem kadar pertukaran tetap, disebabkan faktor permintaan dan penawaran mata wang yang tidak menentu dan tanpa campur tangan daripada pihak berkuasa kewangan (Wan Mansor 1983). Oleh itu, bermula tahun 1973 sehingga ke hari ini sistem kewangan dunia menggunakan sistem mata wang terapung. Mata wang tanpa sandaran akan mudah dispekulasi dan dimanipulasi oleh kuasakuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Manakala Inflasi pula bermaksud kenaikan tingkat harga umum secara berterusan di sesebuah negara dalam tempoh masa tertentu (Peter L. Bernstein 1968). Dalam ekonomi, inflasi bermaksud peningkatan yang berterusan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan. Inflasi juga boleh merujuk kepada peningkatan harga untuk barangan atau perkhidmatan tertentu seperti kenaikan harga makanan tanpa kenaikan gaji. Kejatuhan nilai mata wang juga boleh dianggap sebagai inflasi.

Ahli ekonomi bersetuju bahawa hiperinflasi (kadar inflasi yang tinggi) disebabkan oleh pertumbuhan tinggi bekalan wang. Pandangan tentang kadar inflasi yang sederhana pula pelbagai. Inflasi yang rendah atau sederhana di sumbang oleh turun naik permintaan sebenar barangan dan perkhidmatan, atau perubahan dalam bekalan seperti semasa kekurangan, dan juga pertumbuhan dalam bekalan wang. Kebanyakan ahli ekonomi bersetuju tempoh inflasi yang berterusan disebabkan kadar pertumbuhan bekalan wang lebih pantas daripada pertumbuhan produktiviti dalam sesuatu ekonomi.

Sejarah inflasi dunia menyaksikan bahawa terdapat perbezaan yang ketara sewaktu dunia mengamalkan penggunaan mata wang emas/perak atau bersandarkan piawaian emas dengan penggunaan mata wang kertas. Secara umumnya dapat ditunjukkan bahawa kadar inflasi adalah rendah pada masa regim mata wang menggunakan emas atau bersandaran emas berbanding kadar inflasi yang tinggi dalam tempoh mata wang apungan. 


Rujukan :

Kajian Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Wan Najihah. Kestabilan Mata Wang Dalam Menangani Krisis Ekonomi: Ke Arah Penggunaan Dinar Emas.


Ekonomi : Ringgit Malaysia (RM) Jatuh ?


SINGAPURA, 1 Dis - Ringgit Malaysia jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh 10 bulan berbanding dolar Singapura ekoran kebimbangan bahawa kejatuhan berpanjangan harga minyak mentah akan menjejaskan ekonomi negara pengeksport minyak itu.

Peniaga berkata ringgit terjejas akibat kejatuhan harga minyak kerana Malaysia selaku negara pengeksport komoditi tersebut akan mencatat penurunan pendapatan daripada sektor berkenaan. Pada jam 4 petang ini (1 Dis) , kadar tukaran ringgit Malaysia bagi satu dolar Singapura ialah RM2.63 susut 2.3 peratus. Ringgit juga jatuh sebanyak 2.5 peratus berbanding dolas AS dalam masa dua hari, iaitu kejatuhan terburuk sejak jun 1990 menurut laporan akhbar Straits Times Singapura hari ini.

Para penganalisis berkata, Malaysia berkemungkinan menjadi negara Asia yang paling teruk terjejas oleh jangkaan kejatuhan berterusan harga minyak dunia. Industri minyak menyumbang sebanyak satu pertiga kepada hasil Malaysia.

Sementara itu, pasaran saham Malaysia susut 3 peratus selepas Petronas mengumumkan pada Jumaat lalu rancangannya untuk memotong perbelanjaan modal antara 15 hingga 20 peratus tahun depan. Agensi berita Reuters memetik Johathan Cavenagh, Strategis Kanan tukaran asing di Westpac Singapura sebagai berkata, pengumuman tersebut menambahkan lagi berita negativedan beliau menjangka sehingga harga minyak kembali stabil, ringgit berisiko akan terus mengalami kejatuhan. - Agensi. Manakala Berita Harian dari Negara Brunei pula menyatakan bahawa, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) adalah disebabkan penurunan harga minyak mentah yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.

Benar atau tidak, penulis hanya merujuk kepada kedua-dua Akhbar di atas. Wallah hu alam.



Sunday, 16 November 2014

Puisi III : PORN [Jubah Ketelanjangan]

Kebenaran tengah mengenakan
jubah terindah dan yang paling bijaksana
iaitu ketelanjangan.

Namun para pembenci Kebenaran
telah menghasut semua manusia
untuk memperolok ketelanjangannya:
Lihatlah, Kebenaran kini tak lagi benar-benar benar!
Di hadapan kita dia bogel dan mempertontonkan segala!
Bukankah selalu ada yang seharusnya tersembunyi?
Bukankah selalu ada yang seharusnya menjadi misteri?
Mari kita paksa untuk mengenakan kembali jubah lamanya!
Bukankah jubah itu pemberian dari Sang Raja?
Bukankah compang-camping lebih baik daripada
tak mengenakan apa-apa?

Ribuan manusia seketika terhasut
mereka tak lagi bisa melihat ketelanjangan
sebagai kemurnian sebuah wujud.
Secara membabi buta mereka mengoyak-ngoyak bogelnya
dengan memakaikan jubah lama padanya
kemudian meninggalkannya begitu saja
di tepian jalan
di dekat selokan.

Sementara itu di hadapannya
Ketidakbenaran dengan begitu santai berseliweran
berbalut jubah terindahnya
iaitu tipu daya
sembari terus waspada
jangan sampai manusia melihat kebusukannya
di balik jubah-jubah yang menyilaukan mata.

Dalam bungkam yang teramat dalam
hati kecil Kebenaran memekik tajam:
Suatu saat aku akan menelanjangimu, Ketidakbenaran!


Nukilan Oleh : Norman Adi Satria


Puisi II : Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya



BERINGIN tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya.

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang

gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi.
Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang
dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan :

Selamat tinggal, selamat tinggal wahai awan
Selamat tinggal matahari selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang.

Namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.


Nukilan Oleh : Tongkat Warrant [Usman Awang]



Sunday, 10 August 2014

Piala Sumbangsih 2014 : Arsenal Juara


Arsenal sekali lagi langkah kanan pada tahun ini 2014 apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih musim ini. Arsenal yang beraksi atas tiket Juara Piala FA 2013 dan M. City sebagai Juara BPL 2013 telah membuktikan bahawa pembelian pemain oleh Arsene Wenger adalah berbaloi. Mengimbas perlawanan sebentar tadi, Arsenal didepan hasil jaringan Santi Cazorla dan disusuli oleh Aaron Ramsey di separuh masa pertama. Pada babak kedua, Olivier Giroud menambah jaringan pada minit ke-60. Keputusan penuh, Arsenal 3 - M. City 0.